Normen Rein tidak putus asa


TIDAK pernah ralat lambat popular dalam industri muzik tempatan, Rein mahu mencuba nasibnya sekali lagi.

Normen Rein seorang pendatang baharu dunia muzik yang tidak pernah kenal erti putus asa. Rein atau nama sebenarnya, Mohammad Nazrin Sinaya Mohammad Ilham, 22, sebelum ini pernah tampil dengan sebuah single berjudul Bagai Mula Dulu ciptaan komposer terkenal, Datuk M. Nasir dan lirik oleh Ad Samad empat tahun lalu.

Bagaimanapun, disebabkan kesuntukan waktu sebagai pelajar Diploma Sains Perubatan, Kolej Universiti Sains Perubatan Allianze, Pulau Pinang ketika itu, kerja promosi tidak berjalan rancak selain dia telah ditipu sebuah produksi yang dilantik untuk merakamkan muzik video lagu tersebut.






“Saya masih ingat, selepas melepasi uji bakat Datuk M. Nasir, saya sangka impian sebagai penyanyi bakal tercapai. Tidak sangka pula saya telah ditipu orang yang dilantik untuk merakamkan muzik video. Duit sudah diberi tetapi hasilnya tidak seperti yang dijanjikan.

Mengaku bahawa sikap terlalu cepat mempercayai orang yang baru dikenali sebagai kesilapannya sendiri, namun ia dijadikan pengajaran buatnya agar tidak tersilap langkah lagi pada masa hadapan.

“Waktu itu masih terlalu baharu, saya mudah percaya pada orang. Selepas pengalaman itu, saya lebih berhati-hati dan sekarang menguruskan semuanya sendiri. Bimbang jika bergantung kepada orang lain akan ditipu sekali lagi,” katanya.

Walaupun ditipu dan lagu Bagai Mula Dulu gagal meletakkan nama Rein sebaris dengan penyanyi popular, anak tunggal itu tidak pernah berputus asa. Bahkan dia sanggup menangguhkan pengajiannya di peringkat ijazah di luar negara buat sementara waktu demi memberi fokus kepada kerjaya nyanyian.

“Sebenarnya tahun ini saya harus menyambung pelajaran peringkat ijazah dalam bidang perubatan di United Kingdom, England kerana nenek saya teringin sangat melihat salah seorang cucunya bergelar seorang doktor. Saya juga sedar kerjaya seumpama itu mampu menjamin masa depan sendiri.

“Jujurnya, sukar untuk saya ketepikan minat dalam bidang nyanyian. Sebab itu, saya sanggup tangguhkan dahulu pelajaran. Saya ingin lihat bagaimana perkembangan kerjaya nyanyian terlebih dahulu, namun pada masa yang sama saya berjanji kepada ibu dan bapa untuk menyambung pelajaran supaya masa depan saya terjamin andai kerjaya nyanyian tidak menjadi seperti yang diharapkan,” kata Rein.




Justeru, dia tidak mahu melengahkan masa apabila diberi ‘lampu hijau’ untuk memeluk impiannya menjadi penyanyi. Berbekalkan sebuah album dengan judul Colours yang memuatkan tujuh buah lagu termasuk lagu Bagai Mula Dulu, Tak Lagi, Sejenak, Luntur, Derita serta sebuah lagu lama yang diberi nafas baharu iaitu Stanza Sekeping Hati, Rein mahu menerobos pasaran tempatan sebagai pendatang baharu.

Luahnya yang mengeluarkan bajet sendiri untuk pembikinan album tersebut, sedar bukan mudah untuk bergelar penyanyi popular dalam masa yang singkat, Rein sanggup berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur untuk memudahkan kerja promosi album terbaharu itu.

“Saya tahu, jika saya tinggal di Pulau Pinang ia akan menyukarkan kerja promosi kerana semua medium promosi terletak di Kuala Lumpur. Saya mencuba dan berkat sokongan ibu bapa yang tidak berbelah bahagi, saya mempunyai kekuatan untuk terus berjuang dan tidak berputus asa.

“Kalau lambat popular sekalipun saya tidak kisah. Prinsip saya, kita hidup hanya sekali, cuba sahaja apa yang ingin dicuba dalam hidup ini supaya pada hari tua tidak ada sebarang penyesalan kerana saya sudah berusaha. Walaupun impian itu tidak tercapai seperti yang diharapkan, sekurang-kurangnya saya berpuas hati,” luahnya penuh serius.

Seiring semangatnya yang berkobar-kobar sebagai pendatang baharu, dia berharap agar percubaan keduanya berjaya dengan sekali lagi mempertaruhkan Bagai Mula Dulu sebagai single pertamanya.
Previous Post Next Post