Perancangan hidup Adira


ADIRA turut tercalon dalam AIM21 melalui kategori Vokal Terbaik Wanita Dalam Lagu menerusi lagu berjudul Hilang.

MEMANG bukan satu rahsia lagi hubungan cinta yang telah terbina antara Adira dengan kekasihnya, Presiden Gerakan Belia 1Malaysia, Shahrul Nasrun Kamaruddin.

Bukan sekali dua juga, ikatan cinta mereka didakwa akan segera disimpul dengan penyatuan rasmi sebagai suami dan isteri. Terbaharu, menerusi sebuah ruangan gosip akhbar mingguan lalu, Adira dikatakan akan menamatkan zaman solonya pada tahun hadapan.

Ironi, kata Adira, dia tidak menolak jodoh. Sekiranya benar jodohnya akan tiba awal, dia sudah memperkemaskan hatinya untuk menjadi seorang isteri. Dia juga mengakui, memang sedang serius dalam hubungan tersebut. Bohonglah jika dia tidak menginginkan hubungan itu berakhir ke jenjang pelamin.






“Siapa yang tidak mahu berkahwin. Dalam setiap perhubungan, sememangnya perkahwinan menjadi destinasi terakhir, bagaimanapun, buat masa sekarang saya masih belum mampu untuk mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut disebabkan saya dan dia (Nasrun) masih belum berbincang mengenai persiapan majlis.

“Saya tidak mahu bercakap lebih awal ataupun memberi kenyataan yang belum pasti kerana bimbang perkara itu tidak terjadi. Namun demikian, saya bersedia untuk mengumumkan tarikh perkahwinan kami apabila segalanya telah dirancangkan.

“Mungkin kekangan masa dengan kesibukan kerja masing-masing membataskan kami untuk memberi komitmen mengenai persediaan ke peringkat seterusnya,” kata Adira menafikan bahawa pertunangannya dengan Nasrun telah dilangsungkan.

Mana mungkin mereka sudah mengikat pertunangan, sedangkan Nasrun belum pun melamar dirinya. Itu penegasan Adira.

Belum merancang ke fasa tersebut, walau bagaimanapun Adira mengakui, ibu bapanya memang merestui perhubungan mereka dan mengetahui bahawa mereka merupakan pasangan kekasih.

“Dia ada datang ke Sabah pada Aidilfitri lalu dan telahpun berjumpa dengan kedua ibu bapa saya. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar apabila kedua ibu bapa saya merestui hubungan kami.

“Saya sangat bersyukur kerana merasakan inilah permulaan yang baik kepada kami untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya,” getusnya yang tercalon dalam Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM21) melalui kategori Vokal Terbaik Wanita Dalam Lagu menerusi runut Hilang.

Penyanyi itu menambah, sementara dia belum disunting menjadi isteri, biarlah fokusnya kini terhadap kariernya.

“Sebelum menempuh alam berumah tangga, biarlah saya mengumpul wang terlebih dulu. Sekurang-kurangnya, saya dapat menikmati hasil titik peluh sendiri sebelum bergelar seorang isteri,” katanya.

Tanggungjawab

Sekitar bulan lalu, sewaktu pertemuannya dengan Kosmo!, Adira tampil ringkas bercelana jeans biru, baju panas berona hitam dan sehelai hijab. Dia hadir untuk berbicara tentang penampilannya yang kini manis dengan penghijrahan dari segi imej dan tingkah lakunya.

Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi, 23, berkata, penampilan sebegitu langsung tidak menjadikan dia yang selama ini dikenali sebagai penyanyi yang ceria, berubah sikap. Bicaranya lebat menyentuhi banyak sisi. Paling tidak lepas dari bibirnya, Adira tidak malu bercerita tentang penghijrahan imej yang sudah hinggap ke perdu hidupnya.

Adira mengakui, keputusan berhijab sepenuhnya sekitar awal September menghadirkan banyak keinsafan ke dalam diri. Perasaan itu terbit tanpa disedarinya.

Rasa tanggungjawab menebal apatah lagi mengenangkan banyak kealpaan sudah dilakukan selama ini.

“Saya mengambil keputusan untuk berhijab kerana ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap wanita yang beragama Islam.

“Keputusan ini juga dibuat bukan atas desakan atau permintaan sesiapa. Saya juga tidak menganggap imej sebegini sebagai satu bebanan,” lembut gadis daripada Ranau, Sabah itu memulakan perbualan.

Mengakui penghijrahannya itu bukan satu bentuk pengorbanan terhadap kerjaya yang kian berkembang, kata Adira, dia percaya takdir dan ketentuan rezekinya telah sedia tertulis oleh Pencipta.

“Apabila memakai hijab bukan bermakna saya perlu mengorbankan karier saya sebagai penyanyi. Rezeki ada di mana-mana. Saya percaya, jika itu yang telah tertulis, maka ia merupakan perkara yang terbaik,” ujar Adira yang positif terhadap perubahannya setakat ini.

Baru menyambut hari lahir yang ke-23 pada 19 September lalu, Adira percaya keputusan untuk mengenakan hijab pada usia yang muda bukan satu halangan untuk meneruskan karier sebagai penyanyi.

“Muda atau tua, lambat laun saya perlu mengenakan hijab juga. Sejujurnya, saya sudah bersedia untuk menutup aurat. Tidak salah rasanya bermula pada usia yang muda. Mudah-mudahan, perkara ini dapat membawa kepada perubahan yang lebih baik pada peringkat seterusnya,” ujarnya dengan nada berharap.

Perubahan

Melanjutkan bicara mengenai perubahan ketara yang dialami, Adira berkata, walaupun telah mengenakan hijab sejak tiga bulan yang lalu, rutin sehariannya tidak banyak berbeza dengan kehidupan yang pernah dilalui selama ini.

Adira menganggap, penghijrahannya itu bakal membuka lebih banyak ruang buat dirinya yang serba-serbi kosong untuk menjalani kehidupan yang lebih baik sebagai seorang muslimah.

“Setakat ini, tiada banyak benda yang berubah. Kehidupan saya berjalan sama sahaja seperti sebelum ini. Cuma, keinginan untuk menjadi manusia yang lebih baik itu seperti semakin meruap-ruap.

“Pada masa yang sama, saya juga tidak mahu terburu-buru untuk berubah. Selari dengan keputusan saya untuk mengenakan hijab, saya juga berharap agar dapat mendalami ilmu agama secara perlahan-lahan,” ujar Adira yang memberitahu, dia mula pergi ke kelas agama sebelum mengenakan hijab lagi.

Bercakap tentang penerimaan khalayak, salah satu perkara yang paling menggembirakan hatinya ialah doa dan kata-kata semangat yang tidak putus-putus dikirimkan oleh peminat.

“Dahulu, setiap kali saya memuat naik gambar ke Instagram, pasti ada komen-komen negatif yang saya terima. Tetapi, sejak menutup kepala, saya jarang menerima kata-kata sedemikian. Lebih mengujakan juga, para pengikut di Instagram juga tidak putus-putus memberikan galakan untuk saya terus mengenakan hijab.

“Saya berasa sangat gembira. Hal seperti ini membuatkan saya menjadi sentiasa istiqamah dalam setiap keputusan yang bakal saya ambil pada kemudian hari,” kongsi Adira sambil tersenyum.




Kritikan

Sebelum berhijrah, pemenang tempat kedua Akademi Fantasia (AF) musim kelapan itu pernah menerima kritikan hebat setelah rakaman video lama yang menampilkan aksinya menyanyi sambil mengenakan tudung labuh tersebar di internet. Rakaman video itu dirakamkan sebelum Adira menyertai AF.

Justeru, ada cakap-cakap nakal mengatakan pelantun lagu Ruhi Kasih itu bertindak menanggalkan tudung semata-mata mahu menyertai program realiti nyanyian tersebut.

“Ramai yang tidak tahu, ketika zaman remaja, saya memang mengenakan tudung kerana mengikut dan menghormati peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Hakikatnya, saya sama sahaja seperti gadis-gadis lain tidak bertudung,” katanya.

Jelas Adira, menguatkan kritikan berkenaan, pada zaman persekolahan dia tidak mahir bersukan. Jadi, bagi memenuhi kehendak kokurikulum sekolah, dia banyak menyertai pertandingan nasyid dan hafazan Al-Quran.

“Disebabkan aktiviti sebegitu, saya sering dilihat menyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan dan menyertai pertandingan nasyid, orang mula menganggap bahawa saya memang mengenakan tudung sejak zaman persekolahan.

“Tetapi, saya melakukan aktiviti tersebut semata-mata mengikut sukatan ko-kurikulum di sekolah tempat saya belajar,” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kundasang, Sabah itu.

Cabaran

Pernah dikritik sebelum mengenakan hijab, penyanyi berketurunan Kadazan-Dusun itu juga tidak terlepas dengan tohmahan sebaik sahaja mengambil keputusan untuk berhijab.

“Acara pertama yang saya hadiri ketika awal mengenakan hijab ialah majlis pengenalan pelajar-pelajar AF2014 yang berlangsung pada penghujung Ogos lalu. Ketika itu, saya mengenakan baju kemeja labuh paras lutut bersama seluar jean berpotongan runcing. Terus saya dikritik kerana ada yang menyangka saya menggayakan seluar jenis legging.

“Sekarang, setiap kali ingin menghadiri majlis rasmi atau keluar bertemu rakan, cabaran paling besar ialah bab pemilihan busana yang bersesuaian. Saya perlu menjaga penampilan agar imej yang diperagakan tidak nampak keterlaluan,” katanya yang akan menghubungi pihak penganjur dan bertanyakan pakaian apa yang sesuai untuk dikenakan olehnya jika diundang ke sesebuah majlis.
Previous Post Next Post