Rezeki Alif Satar Bertambah Sejak Berkahwin



Alif Satar diundang oleh pihak Sony Music Indonesia mempromosikan single lagu Akhiri Penantianku.

Penyanyi Alif Satar tidak sangka rezeki kerjayanya semakin bertambah sejak mendirikan rumah tangga dengan Sha Dila Halid, 30, pada 15 September lalu.

Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, 24, berkata, selain menerima pelbagai tawaran nyanyian, dia telah diundang oleh pihak Sony Music Indonesia mempromosikan single lagu Akhiri Penantianku di negara itu pada minggu lalu.






"Betul orang kata, rezeki kita akan lebih sedikit selepas berkahwin. Ini terbukti apabila secara tiba-tiba sahaja pihak Sony Music Indonesia memberi peluang kepada saya mempromosikan Akhiri Penantianku.

"Dan bayangkan, dalam tempoh seminggu sahaja, saya bersama pihak Sony Music Malaysia mempromosi lagu berkenaan lebih daripada 20 buah stesen radio.

"Walaupun penat, tetapi berbaloi. Saya menerima respons yang sangat baik daripada masyarakat di sana," katanya yang dihubungi mStar Online pada Jumaat.


Alif ketika ditemubual media di Indonesia.

Tambah Alif, dia menyifatkan memasuki pasaran Indonesia adalah salah satu kejayaan besar buatnya memandangkan tidak ramai penyanyi yang berpeluang menembus pasaran muzik Indonesia.

Sementara itu, selain rezeki yang bertambah, Alif mengakui kehidupan hariannya juga berubah sejak berkahwin.

Katanya, dia semakin kurang melepak bersama rakan-rakan sebaliknya akan terus pulang segera ke rumah untuk bersama isteri.
"Kalau dulu habis kerja saja, terus ke kedai mamak melepak dengan kawan-kawan, tetapi sekarang ini lain pula.

"Saya akan terus balik rumah untuk menghabiskan masa bersama isteri. Alhamdulillah, kami makin bahagia," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Alif mendapat dua pencalonan Anugerah Industri Muzik ke-21 (AIM 21) bagi kategori Lagu Pop Terbaik menerusi lagu Kerna Dia dan Kesempatan Kedua.


Previous Post Next Post