Sakinah, Aliff teruja untuk hidup bersama


Sakinah bersama kekasihnya Aliff Adha.

CERITA sensasi tidak putus-putus mengiringi perjalanan karier pelakon dan pelawak sensasi Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar atau lebih dikenali dengan panggilan Sharifah Sakinah, 26.

Selain kisah kontroversi, Sakinah yang baru dinobatkan sebagai Artis Lawak Wanita Paling Popular Anugerah Lawak Warna 2014 itu baru-baru ini dikhabarkan bakal mendirikan rumah tangga bersama teman lelakinya yang bertugas sebagai juruterbang sebuah syarikat penerbangan tempatan, Aliff Adha Jamil, 26, pada hujung tahun ini.






Berita itu tersebar menerusi laporan sebuah portal di internet baru-baru ini yang mendakwa Sakinah dan Aliff Adha bakal disatukan pada hujung tahun ini.

Sewaktu Kosmo! menghubungi Sakinah untuk bertanya mengenai berita gembira itu, pelakon tersebut memberitahu, mereka bukan mahu berkahwin hujung tahun ini, sebaliknya akan bertunang pada 25 Oktober ini dan merancang bernikah pada tanggal 28 Mac tahun depan.

Sakinah sebelum ini pernah menjalinkan hubungan dengan anak pengarah drama dan filem terkenal Erma Fatima iaitu Ahmad Albab sekitar pertengahan tahun lalu namun hubungan mereka tidak kesampaian.

Kosmo! berbicara dengan lebih lanjut mengenai persiapan dan persediaan Sakinah menjelang hari bahagianya dengan Aliff Adha.



SAKINAH merancang untuk mengadakan majlis pertunangan dan pernikahannya bersama Aliff Adha secara sederhana.

KOSMO!: Tahniah Sakinah, difahamkan anda bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Benarkah?

SHARIFAH SAKINAH: Ya, saya akan bertunang dengan Aliff Adha pada 25 Oktober depan di kediaman keluarga saya di Taman Melati, Kuala Lumpur manakala majlis pernikahan kami insya-Allah akan berlangsung pada 28 Mac tahun depan.

Bagaimanakah persiapan menjelang majlis pertunangan yang akan berlangsung sekitar tiga minggu lagi ini?

Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan kami cuma merancang untuk mengadakan majlis itu secara kecil-kecilan sahaja. Perkara yang sama juga akan kami lakukan pada majlis pernikahan nanti.

Bercinta senyap-senyap merancang untuk berkahwin pun tiada hebahan. Mengapakah begitu?

Bukan mahu sorok-sorok tapi dia (Aliff Adha) seorang yang pemalu dan kurang gemar mengambil tahu perihal dunia hiburan termasuk kontroversi saya selama ini. Saya menghormati pendirian dia untuk tidak terlalu menghebahkan cerita peribadi kami. Sebenarnya saya merancang untuk menjemput keluarga, teman rapat dan media pada minggu depan (minggu ini) tapi tak sangka pula cerita ini tersebar lebih awal.




Menyentuh keperibadian Aliff Adha, apakah perkara yang mengikat hubungan kalian berdua untuk kekal bersama?

Saya mengenali Aliff Adha pada awal tahun ini dan beberapa bulan lalu kami memutuskan untuk berkahwin. Berita ini direstui oleh kedua-dua belah keluarga. Dia memang seorang pendiam manakala saya pula seorang yang gila-gila dan kelakar. Perbezaan itu yang berjaya mengekalkan hubungan kami selama ini.

Sejauh manakah persediaan anda untuk menempuhi alam rumah tangga?

Saya sudah ada kerjaya dan dia pun sama. Masing-masing sudah stabil dan tiada masalah untuk kami mendirikan rumah tangga. Sepanjang mengenali satu sama lain tidak wujud sebarang halangan daripada mana-mana pihak dan kami seronok bersama malah teruja untuk menempuh fasa baharu dalam kehidupan.

Sering menjadi satu momokan, populariti seseorang artis akan malap selepas mendirikan rumah tangga. Apa pandangan anda?

Popularkah saya? (ketawa). Saya tidak melihat soal kerjaya dan populariti menjadi penghalang untuk seseorang artis berumah tangga kerana artis pun mempunyai kehidupan mereka sendiri dan memerlukan pasangan dalam hidup. Saya tidak takut akan situasi berkenaan dan saya menjadikan kakak-kakak saya (Sharifah Norhaslida dan Sharifah Shahirah) sebagai idola. Jika mereka mampu bertahan dalam industri namun pada masa sama mampu menguruskan keluarga mengapa tidak saya? Tiada beza pun kalau bertukar status kerana saya berada dalam industri untuk bekerja.

Apakah perkembangan terkini anda?

Selain sibuk menguruskan program kecergasan dan kesihatan Fitness Sakinah, saya sedang terbabit dengan penggambaran sebuah drama arahan Michael Ang berjudul Bonna & Bonnie.
Previous Post Next Post