Syafie Naswip tinggal pelajaran?


Syafie

SELEPAS tamat menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 2011, pelakon Syafie Naswip kini memberi tumpuan sepenuhnya pada kerjaya lakonannya.

Malah, Syafie atau nama sebenarnya Mohammad Syafie Naswip memberitahu dia tidak berhasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam masa terdekat ini.






"Fokus saya kini adalah kepada bidang lakonan semata-mata.

"Bukan saya tidak mahu sambung belajar, tetapi ada banyak perkara yang perlu diselesaikan.

"Biarlah saya membantu keluarga dan mengumpul aset terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Zass, semalam.

Ketika ditanya mengapakah dia agak sepi sejak kebelakangan ini, pemenang Pembantu Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2012 ini, ternyata ada jawapannya tersendiri.




"Saya ada saja di sini. Banyak produk lakonan saya masih belum ditayangkan.

"Malah, saya baru saja tamat menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod, Seludup arahan Jehan Miskin untuk siaran Astro Prima," katanya.

Kata anak muda berusia 22 tahun ini lagi, dia juga kini sedang menunggu tawaran berlakon yang lain.

"Sekiranya tidak berlakon, saya akan membantu ayah menguruskan perniagaan mesin rumputnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syafie juga bakal muncul dalam telefilem Melur Vs Rajawali untuk siaran TVi pada Disember depan.
Previous Post Next Post