Syafiq Kyle tahu batas pergaulan


JEJAKA ini menepis dakwaan yang mengatakan dia pernah berpegang tangan dengan Uqasha ketika keluar bersama baru-baru ini.

GOSIP cinta antara Syafiq Kyle dan pelakon jelita Uqasha Senrose bukan satu cerita baharu. Walaupun sering dikaitkan bersama, pelakon yang mula menempa nama selepas menyertai program Hero Remaja 2011/2012 itu masih menafikan mereka sedang menjalinkan hubungan istimewa.

Namun, di sebalik gosip hubungan cinta tersebut, pernah timbul dakwaan yang mengatakan, Syafiq adalah penyebab utama keretakan hubungan Uqasha dan bekas tunangnya, pelakon Pekin Ibrahim.

Terbaharu, pemilik nama Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak, 22, itu juga dikatakan pernah dilihat keluar berjalan-jalan bersama Uqasha di Bangsar, Kuala Lumpur sambil berpegangan tangan,

Terkejut dengan dakwaan tersebut, Syafiq yang ditemui pada majlis Tayangan Program-Program Menarik Tahun 2015 Media Prima Berhad di Waka Labs, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia tidak pernah mempunyai niat untuk merampas kekasih orang apatah lagi menjadi penyebab keruntuhan sebuah ikatan pertunangan.

Tambah Syafiq, dia dan Uqasha memang mempunyai hubungan yang rapat tetapi tidak lebih sebagai seorang kawan.






Kosmo!: Benarkah dakwaan yang mengatakan Syafiq merupakan punca utama perpisahan antara Uqasha dan Pekin?

SYAFIQ: Sejujurnya, saya tidak tahu kenapa saya dikaitkan dengan isu ini. Walhal, saya mula rapat dengannya setelah dia berpisah dengan bekas tunangnya.

Adakah anda mulai rapat dengan Uqasha ketika dia masih bergelar tunangan orang?

Tidak. Ketika dia masih bergelar tuangan orang, saya hanya mengenalinya sebagai rakan artis. Itu pun selepas bekerjasama dalam salah satu episod drama rantaian Tanah Kubur. Sebagai seorang manusia yang waras, saya tidak akan rapat dengan perempuan yang sudah mengikat tali pertunangan.

Baru-baru ini, ada peminat yang ternampak anda berjalan bersama Uqasha sambil berpegangan tangan. Benarkah dakwaan tersebut?

Kami ada keluar bersama tetapi tidak sampai berpegangan tangan. Saya tahu batas-batas pergaulan, lebih-lebih lagi Uqasha kini sudah berhijab. Mungkin peminat tersalah orang.





UQASHA SENROSE

Adakah anda sering keluar bersama Uqasha?

Jika penat bekerja, kami akan keluar bersama-sama rakan yang lain. Kadangkala dia akan ditemani oleh adiknya.

Apakah yang menyebabkan anda tertarik untuk berkawan dengannya?

Dia merupakan seorang yang sangat baik. Saya suka berkawan dengannya kerana dia suka bercerita tentang masalahnya kepada saya. Selalunya, kami akan berjumpa selepas masing-masing selesai menjalani penggambaran.

Adakah anda rimas apabila sering dihambat dengan gosip seperti ini?

Secara jujurnya, kadangkala ya. Sebelum ini, saya ada rapat dengan kawan perempuan yang bukan bergelar selebriti, tetapi tidak pula menjadi bahan bualan ramai. Saya akui, itu merupakan harga yang perlu dibayar apabila kita sudah bergelar selebriti,

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya bakal muncul dalam sebuah drama bersiri baharu menerusi slot Akasia TV3 pada 28 Oktober depan. Drama berjudul Bila Hati Berbicara ini merupakan drama adaptasi dari novel tulisan Antasya Balqis. Ia diterbitkan oleh Suhan Movies dengan saya membawa watak utama sebagai Emir Qasha berpasangan dengan Atikah Suhaimie dan Hafreez Adam.
Previous Post Next Post