Wafa Abdul Kadir Bertarung Nyawa Jalani Pembedahan


Wafa (kiri), ketika di majlis perkahwinan rakan baiknya, Betty.

Penerbit dan pelakon Wafa Abdul Kadir, 48, terpaksa bertarung nyawa selepas melalui pembedahan besar bagi membetulkan tulang lehernya kesan daripada kemalangan dua tahun lalu.

Rakan baiknya, aktres, Betty Banafe berkata, Wafa telah menjalani pembedahan tersebut pada Selasa yang mengambil masa kira-kira tujuh jam bermula pukul 11 pagi di Pusat Perubatan Tropicana di sini.






"Alhamdulillah, lega hati saya apabila suaminya memberitahu pembedahan yang dijalani itu berjaya dan keadaannya stabil. Saya difahamkan, besi yang dipasang pada tulang leher Wafa pada dua tahun lalu tidak dimasukkan dengan betul dan kerana itu ia telah memberi kesan kepada organ lain.

"Oleh itu doktor terpaksa membuang semula besi tersebut dan membetulkan tulang leher itu. Ia merupakan satu pembedahan yang merumitkan," katanya yang dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.


Betty telah memuatnaik foto keadaan Wafa selepas menjalani pembedahan di Instagram miliknya.

Tambah Betty, berdasarkan perbualannya dengan Wafa sebelum ini, aktres itu memaklumkan risiko terhadap pembedahan tersebut, sama dia boleh sembuh ataupun sebaliknya.

"Wafa memberitahu saya, jika dia tidak menjalani pembedahan, dia bakal berdepan dengan risiko hilang nyawa. Sekiranya menjalani pembedahan pula, kesannya juga tetap sama.

"Dan andaikata Wafa selamat, dia mungkin akan lumpuh, hilang peti suara atau tempoh masa untuk sembuh akan memakan masa yang sangat lama. Jadi dia mengambil pendekatan untuk meneruskan pembedahan itu," ujarnya yang meminta doa daripada semua pihak untuk kesejahteraan sahabat baiknya itu.

Wafa pernah berlakon dalam filem Azizah The Legend dan drama Pasukan Gerakan Khas. Pada 1993, Wafa pernah dicalonkan Pelakon Filem Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

Beliau juga merupakan penerbit filem animasi Budak Lapok dan anak kepada bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Tan Sri Abdul Kadir Talib.

Wafa melalui tiga perkahwinan termasuklah dengan seorang jurutera, Tajul Tamimuddin, 48, pada tahun 2010.

Hasil dua perkahwinan terdahulu, dia mempunyai empat orang anak berusia antara 16 hingga 27 tahun.

Usaha mStar Online untuk mendapatkan komen daripada Tajul Tamimuddin tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak dijawab.




Previous Post Next Post