Zizan Mahu Stabilkan Keluarga Sebelum Kahwin Emma Maembong


“Saya kena pastikan keluarga saya dahulu stabil sebelum merancang ke arah perkahwinan. Bukan itu sahaja, tetapi saya juga mahu fokus terhadap kerjaya terlebih dahulu.

“Apabila semua itu dah tercapai, barulah saya akan fikirkan perkara lain (perkahwinan), kata Zizan mengenai ura-ura mengenai dia dan Emma Maembong bakal melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat.

Zizan ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Burgerbyte, Seksyen 7, Shah Alam baru-baru ini berkata, dia akan mendedahkan berita perkahwinannya apabila sudah bersedia kelak.






“Saya bersyukur kerana ramai yang mendoakan hubungan saya dan Emma. Terima kasih kepada orang di luar sana yang menyokong hubungan kami.

“Mengenai tarikh perkahwinan pula, saya sendiri akan umumkan apabila tiba masanya. Buat masa ini biarlah saya ‘selesaikan’ dahulu apa yang patut.

“Mujur Emma sangat memahami dan dia tidak pernah mendesak saya mengenai perkara tersebut (perkahwinan), malah menyerahkan semuanya kepada saya,” ujarnya.

Bercerita mengenai pembukaan cawangan keempat Restoran Burgerbyte, Zizan selaku duta memberitahu dia terharu dengan sambutan yang diberikan oleh para pelanggan.



“Alhamdulillah, pembukaan restoran di Shah Alam ini sangat di luar jangkaan. Ini adalah lokasi restoran yang keempat selepas membuka cawangan di Damansara Perdana, Bangi dan Melaka.

“Kalau ikutkan, burger ini merupakan makanan kegemaran golongan remaja. Disebabkan kawasan Seksyen 7, Shah Alam ini mempunyai ramai golongan pelajar, kawasan ini saya kira sangat sesuai mengembangkan lagi perniagaan ini,” katanya teruja.

Pengacara Akademi Fantasia ini bersama rakan kongsinya Datuk Najib Zakaria turut merancang untuk untuk membuka beberapa cawangan Restoran Burgerbyte di Johor dan Kayu Ara.

“Pengasas Bugerbyte yang juga rakan kongsi saya di cawangan Damansara Perdana telah berbincang mengenai pembukaan beberapa cawangan lagi di masa akan datang,” tambahnya.

Sementara itu Datuk Najib berkata, Burgerbyte juga mengadakan promosi kepada siswa dan siswi sekitar Shah Alam sempena pembukaannya.

“Kami menampilkan strategi promosi yang memberikan 10 peratus diskaun kepada semua siswa dan siswi di universiti-universiti berdekatan di Shah Alam dengan hanya mempamerkan kad pelajar sebagai bukti setiap kali berkunjung di cawangan ini. Tawaran hebat ini bermula saat pelancarannya dilakukan iaitu 18 Oktober 2014 sehingga April 2015,” katanya.


Previous Post Next Post