Amyra - Sharnaaz makin serasi



SEJAK kebelakangan ini, nama pendatang baharu, Amyra Rosli, 23, semakin mendapat tempat di hati peminat setelah muncul dalam beberapa drama popular. Malah, drama yang sedang ditayangkan di saluran Astro Ria, Suamiku Encik Sotong, bagaikan 'pelaris' untuk memperkenalkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain.

Walaupun namanya tidak segah mana sebelum ini, namun dalam drama itu, Amyra berjaya memberikan yang terbaik menerusi watak sebagai, Erica Sofea. Malah perkara ini turut diakui oleh pemilik syarikat penerbitan, Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa.

Pertama kali bergandingan bersama pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad, akui Amyra, pada awalnya dia tidak menjangkakan kerjasama dan tunjuk ajar yang diberikan pelakon itu menimbulkan keserasian di layar.




"Saya 'enjoy' berada di set penggambaran drama ini dan geli hati melihat Sharnaaz melakonkan watak itu. Masa mula-mula jumpa Sharnaaz di set, memang terasa sedikit janggal.

"Namun, sikap mesra dan ramah Sharnaaz membuatkan saya selesa walaupun masih baharu dalam bidang ini. Tak sangka pula dia seorang yang tak sombong, menyenangkan dan mudah untuk dibawa berbincang.

"Alhamdulillah, penerimaan yang diberikan amat memberangsangkan dan semasa menerima skrip ini, saya sudah dapat jangkakan sambutan daripada penonton," katanya yang makin serasi bersama aktor itu.

Mula ditayangkan sejak 27 Oktober lalu, setiap Isnin jam 10 malam, drama arahan Eoo Shuhaini yang diadaptasi daripada novel nukilan, Syikin Zainal, ini turut membariskan pelakon lain termasuk Amar Baharin, Hanis Zalikha, Roy Azman dan Balkisyh Semundur Khan.

Cabaran wanita hamil

Walaupun pada awal perjalanan cerita ini tidak terlalu menguji jiwa Amyra, namun separuh daripada episod yang akan datang, dia terpaksa melakonkan watak wanita hamil.

Tidak pernah melalui pengalaman seorang isteri mahupun ibu hamil, sudah pastinya ia memberi cabaran hebat buat pelakon comel ini dalam menjayakan tuntutan watak.

"Bukan mudah untuk membawakan watak ini, apatah lagi saya tidak mempunyai sebarang pengalaman. Namun, saya banyak bertanya dan memerhatikan keadaan orang sekeliling yang hamil.

"Menjadi wanita hamil dengan watak keras kepala bukan mudah. Semuanya saya kena imbangi namun, dengan tunjuk ajar daripada pengarah, saya berjaya membawakan watak itu dengan berkesan," kata duta produk kecantikan, Aurawhite ini.

Sebelum ini, Amyra pernah membintangi beberapa drama termasuk Astana Cinta Aleesa, Baju Raya Yaya, Syah Syahdu, Kristal Maya dan Mr Istikharah.

Malah, untuk Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) baru-baru ini, Amyra turut diberi peluang menjadi hos di samping Zul Ariffin, Farah Fauzana, Shukri Yahaya, Tasha Shilla, Nabila Huda dan Fiza Sabjahan.


Previous Post Next Post