Artis Baharu, Didi Astillah Mula Dikritik Peminat



Penyanyi remaja Didi Astillah mula merasai kehangatan sebagai seorang selebriti apabila gerak-gerinya menjadi sasaran dikritik peminat menerusi laman sosial.

Didi atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah, 18, berkata, dia tidak melihat perkara itu sebagai suatu isu besar sebaliknya mengambil kritikan dan peminat untuk memperbaiki kelemahan diri.




"Ada diantara pengikut di laman sosial mula menegur cara saya berpakaian, lagu mahupun cara nyanyian namun saya positif dan cuba memperbaiki diri daripada teguran mereka.

"Bagaimanapun ada juga kata-kata semangat diberikan kepada saya," katanya kepada mStar Online.

Didi ditemui pada majlis pelancaran album debutnya berjudul 'Didi Astillah' yang diadakan di pejabat Warner Music di sini pada Selasa.

Album pertama penyanyi tersebut menampilkan enam buah lagu iaitu Pujaan Hatiku, La la la, Aku Jatuh Cinta, Fikirkan Kamu, BFF Ku, Stop Mencintaiku dan sebuah lagu berbahasa Inggeris, I Love You So.


Didi Astillah

Tambah Didi yang mempunyai pengikut kira-kira 100,000 di Instagram berkata, ibunya sentiasa menjadi peneman kemana-mana yang antara lain menjadi penyebab dia tidak terlalu terdedah dengan anasir negatif.

"Kalau ikutkan… saya dari dahulu lagi bukan jenis gadis sosial dan hanya keluar dengan teman-teman rapat sahaja.

"Saya selesa ibu sentiasa menemani saya ke mana sahaja kerana dia boleh menegur jika saya ada melakukan kesilapan," ujarnya.

Dalam pada itu, Didi bersyukur kehadirannya sebagai penyanyi semakin diterima baik oleh peminat dan berharap kemunculan album pertamanya itu dapat mengukuhkan lagi namanya.

Jelas Didi, dia memilih konsep Pop Dance kerana ia bersesuaian dengan usianya yang masih remaja selain genre muzik itu masih belum banyak dipelopor oleh artis lain.

"Saya juga sangat bertuah kerana album ini turut mendapat sentuhan daripada duo komposer dan penulia lirik terkenal iaitu LY dan Baiduri yang menghasilkan tiga buah lagu dalam album ini.

"Selain itu pihak Warner juga mendapatkan tiga lagu buah lagu ciptaan komposer Indonesia iaitu Posan yang pernah mencipta lagu Sayang nyanyian Shae," katanya.

Mengenai albumnya itu, Didi memberitahu dia merakamkannya pada bulan Ramadan tahun lalu sebelum berehat untuk memberikan tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).



Previous Post Next Post