Azza (Elite) Dedah Keguguran Tiga Kali, Tiub Fallopio Dibuang


Azza masih belum berputus asa untuk mendapatkan cahaya mata.

Penyanyi dan pelakon Azza (Elite) mendedahkan dia terpaksa menjalani pembedahan membuang tiub fallopio bahagian kiri rahimnya pada Disember tahun lalu ekoran kandungannya berada di luar rahim.

Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, pembedahan itu cukup meninggalkan kesan kepadanya kerana kehamilan keduanya itu bukan sahaja gugur malah doktor mengesahkan dia akan mengalami kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata.




"Ketika itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa sedihnya saya kerana doktor mengesahkan saya sukar untuk hamil kerana hanya mempunyai satu tiub fallopio sahaja.

"Biarpun redha dengan kejadian itu namun saya tidak pernah patah semangat kerana yakin suatu hari nanti Allah akan memberikan rezeki anak kepada saya dan suami," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis sambutan hari jadi pengacara dan pelakon Roslan Shah di Sri Kembangan pada malam Isnin lalu

Azza turut memberitahu dia pertama kali mengalami keguguran pada 2012 selepas beberapa bulan berkahwin dengan suaminya, Azlan Zulaily dan kali kedua pada Januari 2013.


Azza dan suaminya, Azlan.

Dalam pada itu, Azza berkata, dia terkejut apabila doktor mengesahkan dia hamil buat kali ketiga pada Disember tahun sama namun mengalami keguguran pada minggu ketiga kehamilannya.

Jelas Azza, biarpun sedih namun dia optimis dia masih mampu hamil lagi selepas ini biarpun hanya terpaksa bergantung kepada satu tiub fallopio sahaja.

"Kehamilan ketiga itu adalah bukti kuasa Allah lebih daripada segalanya dan membuatkan saya bertambah yakin bahawa saya akan hamil lagi selepas ini," ujarnya.

Tambah penyanyi itu lagi, suaminya juga turut menjadi pendorong semangat kepadanya dan memastikan dia tidak melakukan kerja-kerja berat dan mendapat rehat yang cukup.

Malah kata Azza, pelakon Rozita Che Wan dan Didie Alias banyak memberinya nasihat dalam mengharungi masa sukar tersebut selain memberikan tip untuk terus mencuba mendapatkan zuriat.

"Sebelum ini saya murung dengan kejadian tersebut tetapi apabila difikirkan kembali ada hikmah disebaliknya mengapa saya masih belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata.

"Alhamdulillah suami dan rakan-rakan banyak memberi dorongan dan saya terbuka apabila ditanya mengenai perkara ini kerana saya tahu bukan saya seorang mengalami nasib sama dan cerita saya dapat memberi inspirasi kepada wanita lain juga untuk tidak berputus asa," ujarnya.

Sementara itu, Azza berkata, dia kini sibuk menguruskan butik pakaian muslimahnya di Busana Mall di ibu negara dan bersyukur perniagaannya itu semakin berkembang maju.

Malah kata Azza, dia bakal tampil dengan rekaan pakaian muslimahnya sendiri yang bakal diberi nama PAJ by Azza Elite dalam masa terdekat ini.

"Alhamdulillah berkat usaha saya dan suami bisnes semakin bertambah baik dan saya baharu sahaja membuka sebuah lagi butik di Busana Mall yang mengkhususkan penjualan pakaian," katanya.


Previous Post Next Post