Bapa Mia Sara Bengang Anak Dituduh Hipokrit


Mia Sara dikatakan bersikap hipokrit.

Bapa kepada pelakon Mia Sara iaitu Muhammad Ridhuan Muhammad Saleh berasa terkejut apabila anaknya itu terkait dengan gosip kononnya bersikap hipokrit.

Ridhuan berkata, dia berasa pelik dengan segelintir pihak yang sanggup bercakap buruk dan menyebarkan gosip mengenai Mia yang baru berusia sembilan tahun, seperti pelakon-pelakon dewasa lain.




"Sebenarnya saya tidak mempunyai masalah atau terkilan dengan gosip yang timbul kerana ia semestinya tidak benar. Rasa kelakar pula, dengan budak kecil yang masih tidak faham apa-apa pun orang nak jadikan bahan gosip.

"Tidak mengapa, orang bercakap, kita yang dapat pahala. Saya akan tuntut di akhirat nanti," katanya yang dihubungi mStar Online pada Khamis.

Sebuah akhbar mingguan pada 23 November lalu menerusi ruangan pojok melaporkan Mia bersikap hipokrit apabila membuat kenyataan kononnya mengagumi kejayaan pelakon cilik, Balqis yang menang Pelakon Wanita Terbaik di majlis Anugerah Skrin 2014 pada 7 November lalu.


Ridhuan akan memastikan Mia tidak akan menyusahkan pihak lain dalam kerja-kerja penggambaran.

Sedangkan Mia dilaporkan tidak menegur atau bercakap dengan Balqis ketika mereka bekerjasama dalam produksi yang sama sebelum ini.

Sementara itu, Ridhuan berkata, dia sememangnya mendidik Mia untuk tidak terlalu banyak bercakap ketika menjalani penggambaran kerana risau tingkah laku anaknya itu mengundang rasa kurang senang terhadap pihak lain.

Malah, bagi memudahkan perjalanan penggambaran, dia turut menyediakan semua kelengkapan termasuklah set barangan solek, beg dan baju sendiri selain ada orang menjaganya sepanjang berada di lokasi penggambaran.

"Apabila saya sediakan segala kelengkapan untuk Mia, itu pun dah ada orang bercakap kononnya nampak 'poyo'. Walhal saya mahu memudahkan lagi perjalanan produksi dan tidak mahu kerana anak saya, orang lain pula bermasalah.

"Pada masa sama saya turut memberitahu Mia untuk tidak banyak bercakap di set dan hanya fokus pada kerja. Dan yang paling penting jangan menyampuk apabila orang sedang bercakap.

"Sebagai seorang bapa yang tidak selalu menemani Mia di set, sudah pasti saya akan berasa risau, kerana anak kecil itu sedang belajar setiap perkara yang ada di persekitarannya," Muhammad Ridhuan.


Previous Post Next Post