Beto Kusyairy, Kami tetap bahagia



MASIH belum dikurniakan cahaya mata bukan alasan untuk mengekang mana-mana pasangan suami isteri mengecap kebahagiaan hidup berumah tangga.

Sebagai manusia biasa, sudah tentu kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segala-galanya.

Aktor berbakat, Beto Kusyairy juga percaya perkara itu tidak menjejaskan fokusnya sama ada dalam karier lakonan mahupun peribadi.

Meskipun masih belum dianugerahkan anak, Beto percaya mahligai cinta yang dibinanya bersama isteri, Tisha Shahar sejak 1 Februari 2008 tetap utuh sampai bila-bila.

“Ia bukan isu utama, yang paling penting kami tetap bahagia sehingga sekarang,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Ungkap Beto, 34, mereka juga menganggap apa yang tersurat ketika ini masih belum ada rezeki meskipun telah melakukan pelbagai ikhtiar bagi mendapatkan cahaya mata.




“Usaha tetap ada, tetapi ini semua kuasa Tuhan, jika ada rezeki adalah. Jika tidak, kami reda dengan ketentuan-Nya.

“Apa yang penting kami tetap gembira, perasaan sayang itu tidak pernah kurang sebaik sahaja mengenali isteri saya sejak zaman universiti sekitar tahun 1998.

“Jadi, saya harap kesemua pihak dapat turut serta doa-doakan sekali,” kata teraju utama filem CEO itu.

Mengulas lanjut, Beto mengakui tidak begitu terbuka untuk berkongsi kisah peribadinya bersama khalayak.

“Saya mahu simpan sendiri hal-hal keluarga. Sebaliknya, saya hanya gemar berkongsi aktiviti dan projek terkini lakonan saya bersama peminat.

“Jika semua mahu dikongsi, apa lagi yang tinggal untuk disimpan?” soalnya.

Menyentuh mengenai karier, pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman ini menjelaskan, dia bakal terlibat dalam pementasan teater Takhta 3 Ratu hasil garapan Erma Fatima yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 13 hingga 22 Disember ini.

“Dalam teater berkenaan, saya membawa watak sebagai Hang Jebat. Ia watak yang mencabar kerana saya harus tampil berbeza berbanding Hang Jebat yang pernah dilakonkan beberapa pelakon lain sebelum ini.


PEMINAT boleh mengikuti perkembangan Beto di Instagram menerusi @beto_kusyairy.

“Walaupun peranannya serupa, saya cuba untuk tidak terlalu terpengaruh dengan lakonan terdahulu,” jelasnya lagi yang pernah terlibat dalam pementasan teater Tanda arahan Nam Ron sekitar 2011.

Menurut Beto, cabaran berlakon teater pastinya berbeza jika dibandingkan di layar perak, mahupun di kaca televisyen.

“Ia satu peluang buat saya membentuk karakter yang jarang saya lakukan sama ada dalam filem mahupun drama.

“Saya juga berpeluang membuat eksperimen dengan karakter di pentas teater bagi mendapatkan mutu lakonan yang lebih baik di depan kamera,” kata pelakon Istanbul Aku Datang itu.

Selain teater berkenaan, Beto juga bakal menemui penonton di layar perak menerusi filem arahan Khabir Bhatia, Gila Baby yang bakal menjengah pawagam tempatan pada Khamis ini.

“Kalau nak tahu, saya mengalami kecederaan lutut dan dahi ketika menjalani penggambaran filem itu sebelum ini gara-gara terjatuh daripada motosikal. Namun, saya mahu melakukan sendiri aksi-aksi lasak kerana pada asalnya, saya memang seorang pelagak ngeri.

“Sudah tentu aksi-aksi lasak ini merisaukan isteri. Jika ‘girlfriend’ pun sudah risau, ini kan pula isteri yang sudah bertahun hidup bersama saya.

“Meskipun risau, isteri tetap menyokong saya kerana dia faham perangai suami dia macam mana,” cerita Beto yang turut terlibat dalam produksi dua lagi filem iaitu Bravo 5 dan Balun yang dijangka menemui penonton sekitar tahun depan.


Previous Post Next Post