Christi mahu berduet dengan Sheila Majid


SEBAGAI orang baharu, Christi berharap agar dirinya diterima baik peminat seni suara di hnegara ini.

SEJAK berada di bangku sekolah rendah lagi, Christi Colondam sudah mula bergiat aktif dalam bidang nyanyian. Bagaimanapun, anak kelahiran Indonesia itu kemudian berhenti berehat seketika bagi memberi tumpuan kepada pembelajaran ketika usianya 12 tahun.

Tamat persekolahan, anak kacukan Belanda-Jawa itu mengambil keputusan untuk bergiat aktif semula. Menyertai pertandingan Miss Celebrity pada tahun 2012, namanya mula terukir kembali.

Sejak itu, aktiviti keseniannya tidak terhad kepada bidang seni suara sahaja. Christi mula menjadi pengacara untuk program-program televisyen.

Kini bukan sahaja di Indonesia, penyanyi berusia 21 tahun itu mahu mengorak langkah lebih jauh lagi. Apatah lagi, dia kini sudah disunting menjadi artis rakaman bersama Warner Music.




Semestinya dia meletakkan impian untuk mengembangkan bakatnya di sini.

Berkesempatan menemuinya di ibu pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Christi memberitahu, bukan mudah untuk dia menawan hati pendengar di Malaysia untuk menerima muziknya. Tambahan pula, katanya dia benar-benar masih mentah tentang selok-belok industri di negara ini.

“Saya kena banyak belajar bagaimana mahu memenangi hati orang-orang di sini. Saya ini masih baharu lagi. Baru sedikit tahu mengenai senario industri muzik di Malaysia. Kalau di sini, muziknya berbeza sedikit, lebih banyak yang mendayu-dayu berbanding di Indonesia,” katanya.

Ujar Christi, dia berharap tuahnya seperti penyanyi Shae yang berjaya membina nama di negara ini. Mana tidaknya, Shae antara artis yang diangkat namanya di Malaysia terlebih dahulu menerusi lagu Sayang sebelum terkenal di Indonesia.

Pelantun lagu Menaklukkan Hatiku itu memberitahu, jika diberi peluang, dia juga mahu berduet bersama penyanyi terkenal negara, Datuk Sheila Majid.

“Saya amat mengagumi penyanyi Shiela Majid. Dia mempunyai personaliti dan suara yang cukup bagus. Dia juga antara penyanyi yang boleh dijadikan ikon untuk pendatang baharu seperti saya,” ujarnya yang masih menuntut di tahun kedua jurusan Undang-Undang di Universiti Sam Ratulangi, Manado, Indonesia.

Biarpun sibuk dengan jadual seninya, itu tidak bermaksud Christi mengabaikan pelajaran. Katanya, apa jua yang dilakukan, buat masa sekarang, keutamaan akan diberikan kepada kuliahnya.

Atas sebab itu juga, menurut Christi, dia hanya akan terlibat dengan aktiviti seninya pada hujung minggu.

“Apa pun yang kita lakukan, pelajaran perkara utama yang perlu diberi penekanan. Walaupun menjadi penyanyi, bagi saya biarlah menjadi seorang yang berpelajaran,” katanya sambil memberitahu, ibu bapanya menjadi pendorong utama untuk dia bergelar anak seni.

Pada masa sama, Christi berharap agar pendengar muzik bergenre pop menerima kehadirannya di negara ini.

“Saya berharap dapat terus berkarya di sini. Saya mahu mengukir nama di Malaysia dan juga Indonesia kerana ingin membuatkan ibu bapa bangga dengan pencapaian diri saya,” ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.



Previous Post Next Post