Dakwah Ashraf Muslim berhasil!


Pelakon dan pengacara, Ashraf Muslim

DUA tahun menubuhkan syarikat produksi Al Hidayah Production Sdn Bhd, namun ia bukanlah cagaran laluan mudah dalam indsutri penerbitan televisyen.

Malah, akui pemilik syarikat yang juga pelakon, Ashraf Muslim, kertas kerjanya pernah ditolak hampir 100 kali oleh stesen televisyen sebelum berjaya merangkul trofi di Anugerah Skrin 2014, menerusi Drama Terbaik.

Menganggap setiap langkah dalam pekerjaan perlu melalui jalan sukar, Ashraf menelan segala pahit maung dalam industri untuk terus melangkah.

Ternyata, kejayaannya pada tahun ini menerusi drama, Matahari Terbit Lagi, membuka ruang dan peluang kepadanya dan produksi untuk bekerja lebih gigih lagi.




"Alhamdulillah, kejayaan hari ini membuktikan bahawa karya-karya yang berteraskan Islamik juga boleh pergi jauh dan diiktiraf. Sememangnya perjuangan saya dalam industri adalah berdakwah menerusi karya.

"Sejak di awal penubuhan lagi, saya amat menekankan seluruh warga kerja produksi termasuk belakang tabir sehingga pelakon agar menjaga syariah yang telah ditetapkan.

"Dan perkara ini adalah keutamaan dalam produksi saya dan ia akan terus dipraktikkan pada masa akan datang. Saya berharap akan ada ramai lagi porduksi yang bersedia dalam menerima perjuangan dakwah saya dalam bidang ini," katanya yang mengakui bukan mudah melahirkan idea Islamik yang boleh diterima masyarakat.

Walaupun berjaya membuka mata masyarakat menerusi karyanya, Ashraf enggan mendabik dada, namun lebih memilih membawa produksinya ke tahap yang lebih progresif lagi.

"Setakat ini, produksi saya sudah menghasilkan tujuh drama untuk tayangan beberapa stesen televisyen. Malah, saya amat bersyukur meliaht perkembangan syarikat walaupun masih baharu lagi.

"Saya lebih selesa meletakkan diri saya dalam proses pembelajaran. Banyak benda lagi yang perlu saya pelajari dan dalami bagi menghasilkan produk yang berkualiti," katanya.


Previous Post Next Post