Didik anak cara Jennifer Garner



KALAU sudah namanya selebriti Hollywood, pelbagai cara dilakukan bagi membesarkan anak masing-masing.

Ada yang menghantar anak-anak mengikuti kelas piano sejak kecil, tidak kurang juga yang mahu anak-anak kesayangan mereka mengikuti kelas tarian balet.

Lain pula kisahnya dengan Jennifer Garner yang lebih gemar kedua-dua puteri kesayangannya iaitu Violet Anne Affleck, 9, dan Seraphina Rose Elizabeth Affleck, 5, mengikuti kelas mempertahankan diri.

Menurut isteri Ben Affleck itu, mereka mahu mendidik anak-anak mereka supaya mampu berdikari sebaik menginjak usia dewasa.




“Kami mahu anak-anak perempuan kami mampu menjaga diri sendiri bagi mengelak dipermainkan lelaki, jadi sebab itu mereka dihantar ke kelas karate,” kata Jennifer.

Selain Violet dan Seraphina, pasangan selebriti itu juga mempunyai seorang lagi anak lelaki iaitu Samuel Garner Affleck yang kini berusia dua tahun.

Jennifer turut mengakui, mereka tidak terlalu memanjakan anak-anak biarpun terlalu sibuk dengan sesi penggambaran filem selama ini.

“Kami ibu bapa yang bosan dan tidak banyak bezanya seperti mana golongan ibu bapa lain. Lazimnya, saya memasak dan menolong mereka menyiapkan kerja sekolah. Begitulah rutin kami pada setiap malam jika saya tidak terlibat dalam mana-mana produksi,” cerita teraju utama filem 13 Going on 30 itu.

Memandangkan kedua-duanya selebriti terkemuka Hollywood, sudah tentu soalan yang sama juga mungkin ditanyakan kepada Ben mengenai bagaimana untuk membesarkan anak-anak, namun ia dinafikan Jennifer.

“Semua pihak sering bertanya soalan kepada saya bagaimana untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya sebagai pelakon, tetapi soalan itu langsung tidak diajukan terhadap Ben.

“Ben sendiri memberitahu saya, dia tidak pernah dikemukakan soalan sedemikian sedangkan kami pasangan suami isteri. Mentaliti itu perlu diubah memandangkan tanggungjawab menguruskan rumah tangga bukan terletak sepenuhnya di tangan seorang ibu,” tegas Jennifer dengan sedikit kecewa.

Menurut Jennifer, kehidupan peribadinya sebagai ibu juga tidak jauh berbeza berbanding watak yang dibawanya dalam filem terbaharu arahan Miguel Arteta iaitu Alexander and the Terrible, Horrible, No Good, Very Bad Day yang bakal menjengah pawagam tempatan pada Khamis ini.

“Dalam filem itu, saya membawakan watak Kelly Cooper, isteri kepada Ben Cooper (lakonan Steve Carell) yang membesarkan keempat-empat anak kami. Salah seorang anak kami iaitu Alexander Cooper (Ed Oxenbould) seringkali berasa terpinggir serta melalui hari demi hari yang cukup teruk.

“Jadi, saya perlu memainkan peranan yang cukup berkesan sebagai seorang ibu bagi memastikan Alexander tidak tertekan dalam hidup,” ujarnya lagi ketika mengimbau semula filem yang diadaptasikan daripada buku kanak-kanak yang berjudul sama itu.

Mengulas lanjut, Jennifer menjelaskan, dia juga cukup teruja terlibat dalam naskhah berunsur kekeluargaan seperti filem ini terutamanya apabila ia turut disukai anak-anaknya yang telah menonton tayangan perdana filem tersebut tempoh hari.

“Saya akui, hidup sentiasa tidak sempurna tetapi sebagai seorang ibu, harus kekal positif biarpun segala-galanya tidak mengikut seperti mana yang dirancangkan.

“Itulah istimewanya menjadi ibu bapa apabila kita menjadi rujukan buat anak-anak. Pendek kata, tidak kira apa jua yang berlaku, kita harus sentiasa mengingati keluarga tersayang,” ungkapnya.


Previous Post Next Post