Eina Azman, Sila periksa CCTV stesen tersebut


SEKEPING gambar menunjukkan kereta Chevrolet Camaro milik Eina Azman yang diletakkan di tempat mengisi minyak sebuah stesen pam minyak hujung minggu lalu menjadi viral di internet.

NAMA pelakon cantik Datin Paduka Eina Azman tiba-tiba menjadi bualan hangat pada awal minggu ini selepas didakwa telah meletakkan kenderaan mewah miliknya, Chevrolet Camaro di salah satu tempat mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Seri Kembangan, Selangor sehingga mengganggu pengguna lain yang berada di situ.

Apa yang mengejutkan, menurut dakwaan, tindakan pelakon filem Ratu The Movie itu meletakkan kenderaan di petak tersebut semata-mata hanya untuk menikmati makan malam di sebuah restoran berdekatan bersama suami, Datuk Paduka Gurmet Singh, 35.

Akibatnya, gambar tersebut telah menjadi viral dalam laman sosial sehingga menyebabkan pelakon berasal dari Mentakab, Pahang itu dikecam hebat oleh ramai pihak.




Bagi mendapatkan penjelasan, baru-baru ini Kosmo! telah menghu­bungi Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, untuk mendapatkan kepastian tentang situasi yang berlaku.

Semalam tersebar gambar kereta dan kenyataan me­ngatakan pada malam hujung minggu lalu, Eina Azman dan suami dikatakan telah meninggalkan kenderaan itu di dalam petak pam minyak untuk menikmati makan malam di sebuah restoran makanan segera. Adakah benar kereta itu milik anda dan boleh anda komen mengenai perkara itu?

Ya, saya mengaku dengan hati yang jujur itu adalah kereta saya dan memang saya dan suami meletakkan kenderaan kami di situ pada malam berkenaan.

Sebenarnya pada malam kejadian, saya dan suami dalam perjalanan ke Seremban untuk menghadiri mesyua­rat. Ini pengakuan saya tentang dakwaan tersebut. Sebelum itu saya mahu ajukan soalan kepada semua, ketika anda berada di stesen minyak, adakah ia perkara normal jika anda keluar sebentar dari kereta untuk membeli barang di kedai? Ia perkara normal bukan? Saya letak kenderaan di situ hanya dalam tempoh tidak sampai 10 minit. Saya dan suami ma­suk ke dalam kedai untuk beli barang makanan, bukan pergi ke restoran Subway untuk makan seperti yang didakwa.

Itu adalah perkara biasa jika sedang dalam perjalanan jauh, kita akan berhenti di mana-mana stesen minyak untuk mengisi minyak ken­deraan dan membeli barang makanan. Apa yang salahnya di situ? Jika benar ada yang mengatakan saya letak kereta di situ dan dengan tanpa rasa bersalah pergi ke Subway untuk makan, mengapa tidak ambil gambar saya sedang makan? Mengapa hanya ambil gambar kereta sahaja. Itu tidak adil kerana ia menimbulkan fitnah kepada saya. Jika benar mahu buktikan saya benar-benar bersalah dalam hal ini, mengapa tidak ambil gambar saya sedang makan?

Kalau betul mahu reka cerita, jangan melampau sampai tahap begini. Saya letak kenderaan betul-betul dalam kotak kuning. Bukan saya letak di tengah jalan sehingga mengganggu laluan pengguna lain untuk mengisi minyak di situ. Lagi pula jika dilihat dalam gambar tersebut, kawasan stesen pam minyak itu sangat besar dan banyak lagi lorong lain untuk mengisi minyak. Lainlah jika di belakang kereta saya ada berderet lagi kereta lain beratur. Jika saya melakukan perbuatan pentingkan diri sendiri seperti itu, ya saya tidak akan melen­ting kalau ada pihak cakap saya buat hal.




Sejujurnya, apakah reaksi anda ketika mendapat tahu be­rita itu?

Saya mendapat berita itu daripada rakan saya. Dia (rakan) memaklumkan kepada saya tentang perkara itu dan pada masa yang sama, orang ramai tidak henti-henti memberi res­pon negatif kepada saya di laman sosial. Sejujurnya, memang saya terkejut betul dengan cerita itu. Saya tidak sangka dengan hanya meletakkan kenderaan di sana sama seperti orang lain, saya terus dikecam. Pada masa yang sama, saya juga berasa pelik. Selepas kahwin, sudah lama tidak ada cerita kontroversi mengenai saya. Tiba-tiba hanya kerana perkara kecil sebegini, nama saya kembali diperkatakan orang. Saya juga sudah berjanji kepada diri sendiri dan suami bahawa selepas kahwin, saya tidak mahu terlibat dengan apa-apa kontoversi lagi. Suami juga tidak suka saya terlibat dengan kisah yang tidak benar. Adakah itu adil kepada saya hanya disebabkan saya Eina Azman? Jika saya orang biasa, bukan artis atau bukan orang yang dikenali, adakah ia akan jadi isu juga? Tidak, bukan.

Perkara ini benar-benar buat saya tertekan. Mengapa perkara remeh sebegitu pun ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab mahu jadikan isu? Namun, apa yang paling mengecewakan saya, ramai orang di luar sana percaya dengan cerita tersebut. Baru sahaja baca cerita itu, terus percaya tanpa mahu fikir dengan logik akal. Kalau betul ada pihak yang tidak ber­puas hati, boleh pergi periksa rakaman kamera tele­visyen tertutup (CCTV) di pam minyak tersebut. Lihat sendiri apa yang berlaku sebenarnya pada malam itu.

Jadi, apa tindakan anda mengenai perkara tersebut?

Bagi saya, jika mahu buat cerita tentang saya pun, berpada-padalah. Takkan sampai mereka-reka cerita yang tidak benar seperti ini. Saya memang marah apabila tiba-tiba orang me­nyalahkan saya tentang perkara yang saya tidak lakukan. Saya sebenarnya sudah lama menahan perasaan. Dari dahulu sehinggala sudah berkahwin pun, orang akan tetap bercakap buruk mengenai saya. Orang akan tetap hina walaupun saya tidak pernah kacau hidup orang lain. Apabila berdepan dengan perkara seumpama ini, apa lagi yang mampu saya lakukan. Mulut orang, sampai bila-bila pun kita tak akan mampu tutup. Kalau saya cakap mahu saman, orang luar akan adili saya ini seorang yang mengada-ngada.

Baiklah. Beralih kepada per­kembangan terkini anda, boleh kongsikannya sedikit?

Buat masa sekarang, saya sedang sibuk untuk membuat persiapan majlis resepsi perkahwinan saya pada awal tahun depan. Majlis ini saya dan suami buat khas untuk kaum keluarga serta saudara-mara terdekat kedua-dua belah pihak. Ia akan berlangsung pada 1 Februari tahun depan di Kuala Lumpur.

Sekarang memang saya tidak ada apa-apa aktiviti lakonan. Saya masih dalam mood berehat selepas majlis pernikahan tempoh hari. Masih belum bersedia untuk kembali ke set penggambaran. Mungkin saya akan kembali aktif dalam kerjaya selepas selesai majlis resepsi itu nanti.
Previous Post Next Post