Encik Mimpi, Saya sudah berhenti kerja


KOMITMEN kerja sebelum ini membuatkan Encik Mimpi terpaksa membataskan jadual seni.

HARI ini merupakan hari pertama Encik Mimpi bergelar penyanyi sepenuh masa. Jika dahulu, dia terpaksa membahagikan masa yang ada kepada kerjaya tetap dan nyanyian, kini dia tidak lagi perlu berbuat demikian.

Keputusan yang diambil untuk berhenti daripada terus bekerja dalam bidang teknologi maklumat di sebuah syarikat di ibu negara itu bukan mudah. Berkali-kali dia memikirkan mengenai perkara itu.

Bukan ragu-ragu, cuma bagi penyanyi berusia 26 tahun itu, ada banyak perkara yang perlu difikirkan mengenai masa depannya. Tambahan pula, keputusan yang dibuat itu secara tidak langsung meletakkan dirinya untuk bergantung sepenuhnya kepada untung nasib serta jatuh bangun dalam bidang nyanyian.




“Pada awalnya, memang agak berat untuk buat keputusan berhenti kerja. Maklumlah, jika saya berhenti, saya sudah tidak ada pendapatan tetap lagi.

“Bagaimanapun selepas melihat prestasi jualan kandungan digital muzik saya memberangsangkan, saya yakin boleh menampung keperluan hidup,” ujarnya yang memberitahu kutipan jualan kandungan digital itu mencecah hampir RM1 juta.

Menurut Encik Mimpi, keputusan untuk berhenti kerja itu juga dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor lain. Katanya, tidak mudah untuk melakukan dua kerja pada satu-satu masa. Lebih-lebih lagi suasana kerja tetapnya memerlukan dia bekerja tidak mengikut masa.

“Saya bekerja mengikut shif. Ada masa, saya kerja pagi dan adakalanya bekerja pada waktu malam. Jadi, ia sedikit sebanyak menyukarkan saya untuk menguruskan jadual nyanyian.

“Cuti tahun terpaksa digunakan semuanya untuk memenuhi tuntutan persembahan. Sampaikan saya pernah beberapa kali terlewat untuk ke tempat kerja gara-gara terkejar-kejar ke sana dan ke sini,” kongsi pelantun lagu Rindukanlah itu.

Jelas Encik Mimpi lagi, keadaan menjadi lebih sukar buatnya apabila dia banyak kali terpaksa menolak untuk mengadakan sesi fotografi bersama pihak media kerana komitmen terhadap kerja itu. Secara tidak langsung, keadaan itu membuatkan dia terus berada dalam dilema.

“Apabila pihak media panggil untuk membuat sesi fotografi, saya selalu mempunyai kekangan masa. Begitu juga dengan undangan persembahan. Ye lah, apa pula kata mereka nanti apabila saya asyik menolak tawaran itu, sedangkan mereka mahu membantu mempromosikan diri saya,” katanya.

Bagaimanapun, bermula hari ini, rutin hariannya sudah tidak seperti dulu. Hari-hari mendatang, kerjaya tetapnya kini hanyalah sebagai seorang penyanyi sepenuh masa. Tambahan pula, dia juga sibuk menguruskan syarikat produksinya iaitu Encik Mimpi Productions.

“Di bawah syarikat itu, saya menguruskan dua orang artis baharu iaitu Mezy Sendy dan At-Ri untuk diketengahkan kepada umum,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Encik Mimpi, dia kini dalam persediaan untuk melakukan siri jelajah promosi lagu Ayuh Tinggalkan Dia dan Rindukanlah yang dijangka menembusi pasaran Indonesia bulan depan.

“Lagu itu dirakam semula dengan mengikut dialek nyanyian Indonesia. Saya juga baru sahaja selesai sesi penggambaran klip video untuk lagu itu di sana,” katanya yang turut bertanding dalam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-29.


Previous Post Next Post