Fairuz impi jumpa bekas ahli Q-Face


BEKERJA sebagai pegawai di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak membataskan Fairuz daripada terlibat dengan aktiviti seni.

SEKITAR awal tahun 2000, kumpulan band lelaki yang diberi nama Q-Face dianggotai lima remaja lelaki belasan tahun cukup popular dalam kalangan anak muda.

Ketika itu, Q-Face boleh dikatakan bertuah. Tidak perlu menunggu lama untuk dikenali, naskhah sulung mereka berjudul Izinkanlah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan. Setiap hari, lagu mereka berulang-ulang kali dimainkan di corong-corong radio.

Sayangnya, ketika nama sedang berada di puncak, vokalisnya, Fairuz Selamat kemudian mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan tersebut hanya selepas setahun bersama teman seperjuangannya yang lain.

Sejak itu, nama Q-Face kemudian sudah kelihatan tenggelam timbul.




“Sebenarnya, saya ambil keputusan untuk keluar daripada Q-Face untuk memberi fokus kepada pelajaran kerana ketika itu saya masih lagi bersekolah,” ujar Fairuz yang kini berusia 29 tahun.

Mengakui sudah terputus hubungan dengan ahli-ahli yang lain sejak mengundurkan diri daripada kumpulan itu, Fairuz memberitahu, dia ada terfikir untuk bertemu kembali ahli-ahli Q-Face lain.

“Empat tahun lepas, saya ada terjumpa Kimi iaitu pemain drum kami di salah sebuah pusat beli-belah di Batu Pahat, Johor. Itu sekali sahaja. Kemudian sudah tidak dapat berhubungan balik kerana masing-masing sudah menukar nombor telefon.

“Mereka yang lain pun sudah tidak tinggal di rumah lama. Jadi, saya tidak tahu bagaimana mahu menghubungi mereka,” katanya dalam satu pertemuan bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.


AHLI kumpulan Q-Face yang pernah mewarnai persana seni suara tanah air.

Bagi Fairuz, dia yang berkhidmat sebagai pegawai di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kini masih lagi meneruskan aktiviti keseniannya.

Biarpun sibuk dengan komitmen kerjaya, anak kelahiran Johor itu masih aktif menyanyikan lagu-lagu versi cover di laman sosial YouTube.

Bukan itu sahaja, Fairuz juga terlibat dalam pementasan teater. Antara teater terbaharu yang dibintanginya ialah Sinbad.

“Saya juga ada menerima undangan untuk membuat persembahan nyanyian pada hujung minggu. Sampai sekarang, jika di mana-mana pun orang akan minta saya menyanyikan lagu Izinkanlah,” ujar graduan dalam bidang Teater daripada Universiti Malaya itu.

Ditanya mengenai perancangan untuk membuat kemunculan semula dalam industri muzik tanah air, kata Fairuz, perkara itu sebenarnya sudah lama terfikir di benaknya.

Katanya, jika diizinkan dia mahu tampil dengan sebuah kumpulan yang mampu menyanyi secara harmoni.

“Apabila dapat menyanyi secara berkumpulan, ia dapat memberi lebih kreativiti daripada aspek gubahan vokal.

“Buat masa ini, saya merakam nyanyian saya bersama dua lagi rakan yang melakukan nyanyian harmoni di laman sosial,” katanya yang memberitahu, peminat boleh mengikutinya menerusi akaun Instagram @imperfectionmalaysia.



Previous Post Next Post