Filem Villa Nabila milik Syafiq


PENGGAMBARAN filem Villa Nabila hanya mengambil masa selama dua minggu.

PengHujung tahun lalu, satu Malaysia digemparkan dengan berita kehilangan seorang remaja lelaki di sebuah banglo lama bernama, Villa Nabila.

Banglo lama yang terletak di Johor Bahru itu sememangnya cukup popular dengan pelbagai kisah seram dan rumah tersebut diiktiraf sebagai salah satu tempat paling ‘keras’ di Malaysia.

Melihat fenomena yang tercipta oleh Villa Nabila sehingga ceritanya muncul di muka depan akhbar arus perdana, pengarah Syafiq Yusof merasakan jenama Villa Nabila itu cukup kuat untuk dijual di panggung wayang.

Sehari selepas berita kehilangan remaja itu dilaporkan akhbar, Syafiq terus merangka perjalanan cerita dan merancang penggambaran filem tersebut.

Menariknya, selain Syafiq, terdapat dua syarikat produksi lain yang turut berminat membikin filem berkisarkan Villa Nabila. Bagaimanapun, judul filem itu menjadi milik Syafiq memandangkan dia merupa­kan orang pertama yang menghantar sinopsis serta borang kebenaran untuk keluar penggambaran atas judul Villa Nabila kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).




“Alhamdulillah, walaupun saya tahu ada produksi lain yang turut berminat untuk menghasilkan filem Villa Nabila, akhirnya rezeki itu berpihak kepada saya,” jawab Syafiq yang ditemui baru-baru ini pada majlis sidang akhbar filem Villa Nabila dan Desolasi di Restoran Has­ lam, Kuala Lumpur.

Menurut Syafiq, idea untuk menghasilkan filem berkenaan muncul apabila dia bertemu dengan dua pembikin filem bebas, Daniel Martin dan Rosalli Azrin yang telah memuat naik satu dokumentari tentang kehilangan remaja terbabit.


AKSI Pekin dalam salah satu adegan filem Villa Nabila.

“Apa yang menarik, Daniel dan Rosalli telah menjumpai notis merobohkan banglo tersebut. Selepas bertemu de­ngan kontraktor yang bertanggungjawab merobohkan banglo itu, pelbagai kisah seram dikongsi kontraktor tersebut,” tutur Syafiq.

Kisah benar

Tambah Syafiq, 80 peratus daripada filem Villa Nabila merupakan kisah benar hasil kajian mereka dan hanya 20 peratus sahaja ditambah untuk mencantikkan lagi filem tersebut.

“Apa yang saya baca di akhbar, realiti­nya sungguh berbeza apabila saya bertemu sendiri remaja yang hilang, keluar­ganya dan pihak polis yang terlibat dalam kes mencari remaja itu.

“Banyak kisah lain yang tidak diceritakan kepada umum. Begitu juga dengan kisah dua kontraktor itu. Apa yang boleh saya janjikan, filem Villa Nabila sebuah filem dokumentari cereka seram yang berbeza kerana ceritanya diangkat daripada kisah benar,” kata Syafiq.

Filem yang menjalani penggambaran selama dua minggu di lokasi sebenar ba­nglo itu berjalan dengan lancar. Ba­gaimanapun, sepanjang penggambaran bermula, dari hari pertama sehingga hari kelapan, ada sahaja tragedi kemalangan jalan raya berhampiran banglo tersebut. Salah satu daripada tragedi tersebut membabitkan kemalangan maut.

“Tidak tahu sama ada secara kebetulan atau kerana gangguan, saya tidak berani komen. Mungkin juga jalan di situ agak bahaya.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, seorang ustaz sentiasa ada bersama kami sepanjang penggambaran berlangsung. Alhamdulillah, kami tidak mengalami sebarang kejadian mistik sehinggalah pulang ke Kuala Lumpur,” tutur Syafiq.


SYAFIQ (kiri) bersama pelakon utama filem Villa Nabila, Pekin dan Tisha. Filem Villa Nabila mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.

Memilih pelakon Pekin Ibrahim dan Tisha Shamsir sebagai teraju utama filem Villa Nabila, tegas Syafiq, kedua-dua pelakon berkenaan dipilih kerana mereka berdua cukup mirip dengan karakter sebenar dalam kisah yang di­terokai.

“Filem Villa Nabila sebuah kisah benar, jadi saya harus mencari pelakon yang mempunyai wajah dan perwatakan yang hampir sama karakter dalam kisah itu.

“Mereka berdua juga memberi lakonan yang cukup memuaskan. Bagi saya, gan­dingan mereka cukup menjadi,” kata Syafiq.

Pekin ketika ditemu bual membe­ritahu, filem Villa Nabila cukup berbeza berbanding filem seram yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Saya memegang watak seorang kontraktor bernama Amar. Sebelum berla­kon, saya terlebih dahulu berjumpa de­ngan lelaki yang juga kontraktor yang terbabit dalam operasi merobohkan Villa Nabila. Saya tiru cara pakaian, bercakap dan gerak-gerinya. Bagi saya, agak sukar untuk melakonkan watak Amar kerana sa­ya harus melakonkan watak individu yang sebenar.

“Lebih mudah melakonkan watak ciptaan tetapi melakonkan semula sebuah kisah benar satu perkara yang sukar. Banyak aspek yang harus saya teliti supaya lakonan saya mencerminkan kebenaran kepada penonton,” luah Pekin.

Filem Villa Nabila arahan anak bongsu penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam itu bakal menemui penonton di 70 buah pawagam seluruh negara bermula 15 Januari tahun depan.


Previous Post Next Post