Haleeda lupakan kenangan lalu #GegarVaganza


PENYANYI popular 90-an, Haleeda kembali menjadi ibu tunggal buat kali kedua selepas mengaku telah bercerai dengan suaminya, Mr S yang dikahwininya pada 2010.

Tidak mahu lagi bersedih, pelantun lagu Setia Kasih ini sebaliknya menganggap situasi berkenaan sebagai takdir hidup yang perlu dihadapinya.

"Hidup ini bagaikan roda dan ia sering berputar. Ada ketikanya kita akan berada di atas dan ada kalanya kita akan berada di bawah.

"Hidup perlu diteruskan dan apa yang berlaku adalah satu proses pembelajaran supaya saya menjadi insan yang lebih baik.

"Saya bersyukur kerana memiliki ramai ahli keluarga dan sahabat di sekeliling yang membantu saya melupakan masalah yang berlaku," katanya kepada Zass ketika ditemui selepas sidang media program realiti, Gegar Vaganza, baru-baru ini.




Tidak serik dengan kejadian yang berlaku, pemilik nama sebenar, Halida Mazlin Badaruddin ini sedia untuk berkahwin lagi namun, meletakkan segala-galanya kepada ketentuan takdir.

"Setakat ini, saya tidak jumpa lagi calon suami (gelak) tetapi saya tidak mencari untuk perkahwinan baharu kerana saya tidak suka merancang dalam hidup ini.

"Saya juga tidak suka fikir-fikir jauh. Apa yang berlaku, saya hadapi dan lupakan kenangan lalu." tegasnya.

Sebelum berkahwin dengan Mr S, pelantun lagu Terkilan ini pernah berkahwin dengan bekas pemain bola kebangsaan, Azman Adnan dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Amirah Amani Azman yang kini berusia 20 tahun.

Dalam perkembangan lain, Haleeda kini terlibat dalam program realiti Gegar Vaganza terbitan Astro Ria yang mula bersiaran sejak 16 November lalu selain aktif berlakon.

"Saya sangat seronok terlibat dalam program seumpama ini sebab dapat jumpa kawan-kawan lama selain dapat melampiaskan rindu pada dunia nyanyian.

"Mengenai lakonan pula, saya memang aktif berlakon kini tetapi biasanya saya hanya akan menerima tawaran daripada produksi yang saya sudah biasa bekerjasama," kata pelakon Bangkitnya Seorang Perempuan ini.


Previous Post Next Post