Iedil Putra gigih cipta nama



BIARPUN namanya masih belum dikenali, namun itu bukanlah halangan besar buat dirinya menyumbang sesuatu dalam industri lakonan tempatan.

Iedil Putera atau nama sebenarnya Tengku Iedil Putra Alaudin, 30 mengakui tidak terlalu memikirkan soal itu kerana bakat yang ingin ditonjolkan jauh lebih penting.




“Tidak popular itu bukan masalah besar buat saya. Biarlah orang ramai menilai saya dari bakat lakonan dan itu mungkin lebih baik.

“Sejak awal lagi, tujuan saya terlibat dalam bidang lakonan adalah untuk menyumbang sesuatu yang baik kepada industri dan bukannya untuk meraih populariti semata-mata.

“Buat masa sekarang, saya masih mencari dan mengumpul perkara yang boleh saya sumbangkan dalam industri. Jika satu hari nanti saya dikenali, itu adalah bonus” ujarnya kepada Sinar Harian.

Pelakon filem Ngorat ini juga turut memberitahu, dirinya agak selektif dalam memilih tawaran lakonan demi kepentingan kariernya itu.

“Saya memang selektif dalam memilih karya tapi itu bukan bermakna saya sombong dan terlampau memilih.

“Sebagai pelakon mahukan sesuatu yang berkembang dan tidak mahu bawa watak seakan sama yang tidak beri impak dari segi skripnya kerana itu hanya membuang masa.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak sebarang peluang yang datang cuma ia bergantung pada kesesuaian daripada pelbagai aspek,” katanya yang tidak menolak untuk terlibat dalam bidang pengarahan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, Iedil bakal tampil dalam lakonan filem arahan Nik Amir Mustapha, Terbaik Dari Langit yang turut melibatkan barisan pelakon hebat seperti Bront Bront Palarae, Megat Sharizal, Amerul Affendi, Nadiya Nisaa’, Sharifah Amani dan Siti Saleha.

Filem yang berjaya ditayangkan menerusi Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada 24 Oktober lalu dan bakal ditayangkan di negara pada 25 Disember ini mengisahkan mengisahkan seorang jejaka bernama Berg yang merancang sebuah pengembaraan bersama empat rakannya untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO.


Previous Post Next Post