Kemahuan hati Amelina


KATA Amelina yang masih setia dengan irama dandgut, sebagai wanita yang sudah berusia 40 tahun dan mempunyai enam orang anak, dia tahu untuk membataskan diri sebagai seorang penyanyi.

Apabila bekas penyanyi yang pernah menyemarakkan irama dangdut lebih 15 tahun lalu, Amelina dilihat keluar minum dengan teman seperjuangannya, Maya Matahari awal bulan ini, berita bertebaran mengenai wanita itu bakal muncul semula menyambung kembali perjalanan seninya yang ditinggalkan tanpa khabar berita.

Hujung minggu lalu pula, ia menjadi kenyataan apabila Amelina mengaku dia kini bersedia untuk kembali menyambung kariernya yang tertunda. Dia mahu kembali menyandang profesi sebagai penyanyi dan jalur dangdut masih menjadi pilihannya.

Selama 15 tahun menghilang, kata Amelina, dia menguruskan rumah tangga selepas berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya, Reduan sekitar tahun 1999.




Kini, selepas enam anak mereka iaitu Puteri Nur Atirah, 13, Putera Al’Affiq, 12, Putera Al’Asyraff, 11, Puteri Nur Asyurah, 9, Putera Al’Arffa, 7 dan Putera Al’Amzar, 5, sudah besar, Amelina menyifatkan inilah masa terbaik untuk kembali aktif menyanyi.

“Jiwa dan cinta saya di sini, jadi saya mahu meneruskan perjuangan yang telah saya tinggalkan selama 15 tahun lalu. Saya mahu kembali menyanyi dan saya fikir dangdut masih relevan untuk didendangkan,” katanya yang bakal muncul dengan sebuah single selepas bernaung di bawah naungan Wake The Baby.

Mengakui sepanjang 15 tahun tidak bergelumang dengan dunia glamor, diri­nya menjadi sedikit kekok. Mahu kembali berdandan dan menjadi perhatian umum, hatinya diserang pelbagai gejolak resah yang tidak surut.

“Sepanjang 15 tahun menjadi suri rumah, saya hanya memberi fokus membesarkan anak-anak. Saya tidak pernah menyanyi dalam mana-mana persembahan tertutup ataupun sekadar di pusat karaoke. Bagaimanapun, kini saya kembali selepas melihat mereka membesar dan sebenarnya ini semua terjadi atas izin Allah.

“Saya melakukan tiga kali solat istikharah beberapa tahun kebelakangan ini mengenai keputusan untuk kembali me­nyanyi dan Alhamdullilah, ia dipermudahkan-Nya sejak awal tahun ini. Jadi, saya teruskan sebab dulu saya pernah mensia-siakan peluang yang Allah berikan kepada saya dan kini saya mahu mencubanya sekali lagi,” kata penyanyi kelahiran Negeri Sembilan yang menghilangkan diri selepas berkahwin pada saat namanya begitu memuncak naik sebagai penyanyi dangdut pada suatu ketika dahulu.

Sokongan anak-anak

Memberitahu kehidupannya kini bahagia, kata Amelina, kembalinya dia semula ke persada seni suara bukan untuk meraih glamor atau menggugat sesiapa. Sebaliknya, lebih banyak dilakukan ke­rana mahu memenuhi tuntutan jiwa dan kelangsungan hidup.

Menutup rapat-rapat kisah kehidupannya selama 15 tahun dahulu termasuk kisah lari meninggalkan keluarganya, Amelina sebaliknya mengaku bahawa perkara yang lepas dijadikan teladan buat dirinya.

“Kalau boleh saya tak mahu ungkit atau ingat kisah lampau. Saya mengaku melihat apa yang telah saya lalui sebelum ini sebagai dugaan yang Allah berikan kepada saya. Kini saya mahu maju ke hadapan tanpa memikirkan apa yang telah berlaku dahulu,” tegasnya.




Namun, pada isu yang dibangkitkan khalayak mengenai penampilannya sebelum ini iaitu sudah bertudung dan sebaliknya kini, tegas Amelina, selama ini dia memang belum pernah bertudung.

Sebaliknya, akui wanita itu, penam­pi­lan­nya yang dlihat seperti sudah bertudung dilakukan bagi mengelak khalayak mengenali dirinya yang tidak lagi terbabit dalam dunia glamor.

Ditanya bagaimana penerimaan anak-anak mengenai keputusannya ingin kembali menyanyi, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Asyik, Rindu dan Semakin Rindu Semakin Asyik ini hanya ketawa. Akuinya, pada awal pernikahan, anak-anak tidak tahu dia pernah bergelar penyanyi.

“Mereka akhirnya tahu apabila mula melihat klip video nyanyian saya di YouTube. Mereka okey saya kembali aktif, cuma saya ajar kepada mereka supaya kena kuat dengan banyak pandangan yang akan dihadapi tentang saya nanti.

“Maklumlah, zaman sekarang, teknologi begitu cepat. Barangkali akan ada ba­nyak informasi atau kritikan yang mereka akan ketahui tentang saya secara segera. Jadi, saya nasihatkan mereka supaya tidak ambil peduli tentang hal-hal remeh seperti ini,” jelasnya panjang lebar.

Ditanya bagaimana khala­yak akan menyaksikan Amelina semula selepas 15 tahun menghilang, pantas dia menjawab: “Saya sudah berusia 40 tahun sekarang. Banyak yang sudah ber­ubah dan saya akui mungkin vo­kal saya tidak seperti dahulu lagi. Saya juga perlu belajar ba­nyak perkara tapi saya positif ke­rana saya tahu limitasi saya sebagai seorang isteri dan ibu beranak enam. Dangdut saya tidak keterlaluan, saya hanya mahu menyanyi.”
Previous Post Next Post