Krisdayanti menghitung hari


GANDINGAN suara KD dan anaknya, Aurel bakal menggegarkan Konsert Krisdayanti Live in KL 2014 di Dewan Plenary, KLCC pada 22 November ini.

SETELAH lebih lapan tahun tidak mengadakan konsert yang berskala besar di Malaysia, kini impian itu bakal terlaksana apabila ada penaja yang sudi melabur buat penyanyi dari negara seberang, Krisdayanti mengadakan konsert solo.

Kali terakhir penyanyi berusia 40 tahun itu mengadakan konsert adalah pada tahun 2007 menerusi konsert 3 Diva yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menamakan pentasnya sebagai Krisdayanti Live in KL 2014, ia bakal diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 22 November ini.

Menurut Krisdayanti atau lebih mesra disapa dengan panggilan KD, dia mengakui teruja dan gementar menjelang konsert solonya yang berbaki seminggu sahaja lagi.




“Inilah yang dinamakan mimpi menjadi kenyataan. Saya sangat rindu untuk mengadakan konsert. Meskipun penantian itu agak lama tetapi berkat doa daripada peminat akhirnya saya bakal mengadakan sebuah konsert.

“Tipu jika saya katakan saya tidak gementar menjelang konsert yang berbaki seminggu. Sudah lama saya tidak membuat persembahan yang berskala besar di hadapan peminat Malaysia. InsyaAllah saya akan melakukan persembahan terbaik menjelang konsert itu nanti,” ujar KD yang sedang sibuk membuat latihan vokal bersama anak sulungnya, Titania Aurelie Nurhermansyah atau lebih popular dengan nama pentas, Aurel Hermansyah.

Duet bersama anak

Menariknya mengenai konsert tersebut, KD akan berkongsi pentas bersama anaknya, Aurel Hermansyah dengan menyanyikan beberapa buah lagu ciptaan bekas suaminya, Anang.

“Saya berasa tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan puteri kesayangan. Saya sudah pun membuat latihan bersama Aurel bagi memberikan persembahan terbaik untuk konsert kali ini.

“Pada malam itu nanti, kami akan menyanyikan beberapa buah lagu ciptaan Anang. Sejujurnya saya sangat berterima kasih kepada Anang kerana mengizinkan saya berduet dengan Aurel,” kata KD sambil memuji bakat nyanyian yang dimiliki anak perempuannya itu.

Pada konsert yang bakal berlangsung pada pukul 8.30 malam itu, ia turut dihangatkan dengan kehadiran penyanyi muda, Hafiz Suip sebagai artis jemputan.

“Menerusi pilihan peminat di laman sosial Facebook, akhirnya pihak pengurusan sebulat suara bersetuju untuk memilih Hafiz sebagai artis jemputan pada malam tersebut.

“Saya sangat teruja apabila mendapat tahu berita tersebut. Ini kerana, dia seorang anak muda yang sangat berbakat dan suaranya mampu memukau penonton yang hadir. Saya mula jatuh cinta pada suaranya selepas mendengar lagu dia di laman perkongsian YouTube. Jika tiada aral melintang, saya akan membawakan lagu Ombak Rindu bersamanya,” jelas beliau.

Tambah KD, untuk konsert kali ini, dia akan mempertaruhkan lagu-lagu rancak yang telah disusun semula. Selain itu, dia juga bakal menyanyikan beberapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi segmen tribute.

Dianjurkan oleh One Drop Perfumes, Konsert Krisdayanti Live In KL bakal diadakan pada 22 November ini di Dewan Plenary, KLCC pukul 8.30 malam.

Tiket tersebut dijual pada harga serendah RM98 hingga RM1,088. Untuk tempahan tiket, orang ramai boleh layari laman web di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-9222 8111.


Previous Post Next Post