Langit Cinta bakal cetus fenomena


BABAK tegang antara Jalaluddin Hassan dan Keith dalam filem tersebut.

SELEPAS berjaya mengarahkan filem pecah panggung, Ombak Rindu pada tahun 2011, kini pengarah terkenal, Osman Ali sekali lagi tampil dengan buah tangan terbaharu bergenre cinta romantis berjudul Langit Cinta.

Apa yang menarik, filem Langit Cinta bakal menjadi fenomena yang akan mengheret penonton menyelami kisah cinta yang sarat dengan emosi dan air mata.

Memilih lokasi terpencil di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah sebagai salah satu lokasi penggambaran filem tersebut, ia ternyata memberi kelainan dan menyuntik unsur realistik bagi mencantikkan sinematografi filem romantik arahannya itu.




“Tidak dinafikan menjalani penggambaran di Pulau Tuba sangat mencabar. Cuba bayangkan, ketika kami mahu memulakan sesi penggambaran, terpaksa menggunakan kapal kargo untuk membawa kelengkapan penggambaran.

“Sebenarnya kami membayangkan untuk mencari sebuah pulau terpencil yang mempunyai rumah kampung di tepi laut. Bagaimanapun, konsep rumah kini sangat berbeza hingga kami terpaksa membina sebuah rumah baharu terletak di tepi pantai dan mempunyai jeti. Kami mengambil masa selama tiga minggu untuk menyiapkan rumah tersebut.

“Mungkin pada mata kasar, pembinaan rumah itu tidak penting tetapi saya percaya perkara-perkara inilah yang akan menyokong dan menghidupkan emosi penonton ketika menonton filem Langit Cinta kelak,” ujar Osman Ali ketika ditemui Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menampilkan pelakon-pelakon hebat seperti Keith Foo, Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Farid Kamil dan Siti Saleha, ternyata menjadi percaturan hebat kepada Osman membawakan filem itu ke layar perak.

Bercerita tentang pemilihan Keith sebagai teraju utama dalam filem berkenaan, Osman menjelaskan, secara keseluruhan dia amat berpuas hati dengan mutu lakonan dan komitmen yang diberikan pelakon itu.

“Saya sudah lama mengimpikan untuk berkerjasama dengan beberapa nama besar di Malaysia. Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan Keith Foo dalam sebuah filem.


OSMAN memberi arahan kepada kru bagi melicinkan perjalanan penggambaran filem tersebut.

“Pemilihan Keith untuk memegang watak Alif Zulkarnain dibuat berdasarkan pencapaian dan keberkesanan karakter yang pernah dibawanya dalam telemovie berjudul Tollgate Asmara.

“Terus terang saya katakan, dia memiliki aura tersendiri ketika membintangi watak tersebut. Cubaan saya untuk membentuk seorang lelaki Melayu bernama Alif Zulkarnain dalam filem ini sangat tepat. Saya sangat mengagumi bakat yang dimiliki Keith kerana kesungguhannya menghidupkan watak jelas terpancar. Dia juga berjaya menjiwai watak itu sepenuhnya melalui hasil didikan Ogy.

Tambah Osman, selain Keith, dia juga baru pertama kali bekerjasama dengan pelakon handalan, Ogy.

“Saya membesar dengan filem-filem lakonannya. Sudah lama berhajat untuk mengambil Ogy berlakon dalam filem saya. Oleh itu, sebagai pengarah baharu, saya nekad mencabar diri untuk bekerjasama dengan selebriti idola sejak dahulu lagi.

“Saya sangat terhutang budi dan berterima kasih dengan Ogy kerana dia banyak memberi tunjuk ajar. Lakonannya tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia juga seorang pelakon veteran yang tidak kedekut ilmu. Sepanjang berkampung di Pulau Tuba, dia banyak mengajar dan membantu momentum pelakon lain,” katanya.

Ekspektasi penonton

Bercakap mengenai filem Ombak Rindu yang terbukti sukses setelah berjaya merangkul pelbagai anugerah dan mencatat keuntungan bersih sebanyak RM10.9 juta di bawah Skim Wajib Tayang kelolaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, pastinya memberi satu tekanan hebat kepada Osman untuk menambat kembali filem bercorak romantik ke layar perak.

Bagaimanapun, kata pengarah filem tersebut, dia mengakui tidak tertekan dengan situasi itu kerana dia percaya melalui keikhlasan, pastinya akan melahirkan sebuah filem berkualiti.

“Kejayaan sesuatu perkara terletak kepada usaha seseorang itu. Jadi sebagai individu yang dipertanggungjawabkan, saya perlu berusaha keras dalam setiap filem yang dihasilkan. Filem Ombak Rindu yang saya arahkan pada tahun 2011 disahut sebagai satu cabaran dan pembakar semangat.


RUMAH kampung yang dibina pihak produksi bagi membangkitkan emosi kepada penonton.

“Untuk melihat filem ini berjaya, saya juga harus bekerja dengan ikhlas. Saya mahu filem Langit Cinta berdiri di atas nama sendiri tanpa bayangan mana-mana filem sentuhan saya sebelum ini. Saya mahu memikat penonton Ombak Rindu supaya menonton filem Langit Cinta,” kata Osman.

Tambahnya, kali ini dia menggunakan pendekatan berbeza untuk memikat penonton filem tersebut dan dia memilih untuk menayangkan filem itu dahulu sebelum melepaskan novel Langit Cinta di pasaran.

“Strategi filem ini sedikit berbeza berbanding Ombak Rindu yang diadaptasi daripada novel. Kali ini, penulis novel terkenal, Damya Hanna akan menulis novel Langit Cinta dan ia akan dipasarkan selepas tayangan filem itu nanti,” katanya.

Selain itu, Osman turut ditanya tentang pemilihan penyanyi yang diinginkannya dalam runut bunyi Langit Cinta.

Jika sebelum ini, Ombak Rindu mempertaruhkan Hafiz dan Adira, kali ini Osman memberitahu, dia menginginkan dua penyanyi terkenal iaitu Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain sebagai percaturan untuk menambahkan kehangatan pada tarikh tayangan filem tersebut.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta itu mengisahkan kisah percintaan antara Alif Zulkarnain (lakonan Keith Foo) dengan Khadijah. Alif adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.

Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah. Bermula dari situ, kehidupan Alif dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.


SITI SALEHA yang turut menjayakan filem Langit Cinta.

Cuaca

Keith Foo yang berperanan sebagai pelakon utama dalam Langit Cinta mengakui, dia banyak belajar perkara baharu sewaktu bekerja dengan pengarah Osman Ali dan pelakon berpengalaman, Ogy.

“Sebelum penggambaran, saya disuruh untuk belajar menjiwai watak Alif dengan kak Ogy. Selama dua minggu, saya berulang-alik ke rumahnya, dia banyak mengajar saya tentang teknik lakonan.

“Ini merupakan kali ketiga saya bekerja dengan Osman Ali. Sepanjang perkenalan, kami tiada masalah untuk bekerjasama. Kami saling bertukar-tukar pendapat dalam mencantikkan lagi filem Langit Cinta,” kongsi Keith Foo.

Tambah Keith, antara cabaran yang terpaksa diharungi ketika berada di lokasi penggambaran adalah keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Penggambaran banyak tergendala disebabkan hujan lebat. Banyak babak yang terpaksa ditangguhkan sepanjang saya berada di Pulau Tuba. Saya bersyukur walaupun cuaca tidak menentu, namun saya masih lagi sihat,” ujar Keith yang mengakui perjalanan seninya masih jauh dan memerlukan usaha yang lebih keras untuk berjaya.



Previous Post Next Post