Mamat Khalid: Bik Susantik sekadar rekaan



BELUM pun ditayangkan namun filem ini telah menjadi sebutan segelintir pihak. Ia berikutan salah satu watak yang dicipta menerusi filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan arahan Mamat Khalid ini dikatakan mirip wanita kenamaan di negara ini.

Menjawab mengenai perkara tersebut, Mamat berkata, dia tiada niat untuk menyinggung sesiapa kerana watak tersebut sekadar rekaan semata-mata.

"Setiap karakter yang wujud berdasarkan keadaan dan situasi filem atau karya yang dihasilkan. Sama seperti mana-mana filem yang saya hasilkan sebelum ini, pelbagai karakter rekaan telah diwujudkan untuk menghiburkan penonton," katanya.




Jelas Mamat, bagi Rumah Pusaka Di Simpang Jalan, ia merupakan sebuah filem yang mengetengahkan mengenai pusaka yang diwarisi turun-temurun oleh sebuah keturunan.

"Selalunya pusaka dalam bentuk harta, tetapi bagi filem ini ia berbentuk saka dan kerana ia sebuah karya komedi suspens, pelbagai karakter dicipta untuk memastikan ia bersesuaian dengan jalan cerita," katanya mengenai watak Bik Susanti yang dilakonkan oleh Jihan Muse.

Sedikit mengenai filem ini, ia merupakan kerjasama pertama bersama Ariabella Sdn. Bhd. selaku penerbit.

Filem ini turut dibintangi Pekin Ibrahim, Syuk Balas dan Bell Ngasri dan bakal ditayangkan sekitar Januari 2015 nanti.



Aizat rindu berlakon

Penyanyi Aizat Amdan mengakui rindu untuk kembali berlakon sejak terlibat sebagai pelakon pembantu menerusi filem Istanbul Aku Datang dua tahun lalu.

Katanya, meskipun itulah kali pertama dan terakhir dia menjadi pelakon namun dia sudah bersedia menerima tawaran daripada mana-mana penerbit atau pengarah untuk lebih mendalami bidang tersebut.

"Berlakon juga satu cabang seni, lagipun sudah ramai penyanyi yang bergelar pelakon. Tetapi mungkin kerana wajah saya kurang sesuai untuk industri lakonan, saya tidak mendapat tawaran," katanya sambil ketawa.

Jelas pelantun lagu Jerrypah ini, dia percaya lakonan mampu membantunya menjadi penyanyi yang lebih baik.

"Daripada sudut persembahan, penyanyi sebenarnya sangat memerlukan asas lakonan untuk menghidupkan pentas. Secara tidak langsung ia membuatkan kami lebih yakin ketika menyampaikan sesebuah lagu," katanya.

Dalam pada itu, Aizat juga dalam proses pembikinan album ketiganya.

"Jika berjalan lancar, album tersebut akan dilancarkan tahun hadapan. Album ini juga akan menampilkan lagu-lagu yang berlainan dengan lagu-lagu yang pernah diterbitkan sebelum ini," ujarnya.

Popular dengan lagu Hanya Kau yang Mampu di awal kemunculannya, Aizat memberitahu, dia mahu memastikan lagu yang diterbitkan selepas ini kuat seperti lagu tersebut.

"Kalau boleh biarlah lagu-lagu yang dihasilkan selepas ini berjaya mencipta fenomena seperti Hanya Kau yang Mampu," katanya baru sahaja melancarkan single terbaru berjudul Kembali bagi runut bunyi untuk sebuah drama tempatan.

Menerusi single tersebut, Aizat mempertaruhkan genre Alternatif Rock yang merupakan percubaan pertamanya membawakan konsep itu.


Previous Post Next Post