Memey dan Norman Hakim, Cadang beri nama Maya Delaila jika lahir anak perempuan


Memey dan Norman Hakim di Fiesta Muslimah BH baru-baru ini.

Berbanding kehamilan sulungnya, Memey Suhaiza mengakui pengalaman mengandung anak kedua kali ini tidak seteruk yang dulu.

Malah isteri kepada Norman Hakim ini mengakui tidak berdepan dengan perihal mengidam yang luar biasa.

Di usia kandungannya empat bulan ini, Memey masih bergerak aktif. Pendek kata si tinggi lampai ini tidak berdepan dengan perkara yang menyukarkan dirinya.




Cuma akui Memey, anak sulungnya, Mohamed Darwisz Hakim mula menunjukkan pelbagai ragam dan kerenah.

Malah Memey juga sempat memberitahu jika diizinkan Tuhan melahirkan anak perempuan bila tiba waktunya nanti, beliau ingin meletakkan nama Maya Delaila yakni nama perniagaan pakaiannya.


Pasangan ini bakal menimang cahaya mata.

"Awish (panggilan untuk anaknya) terlebih manja. Memang lain macam jadinya. Awish nak perhatian lebih daripada saya. Mungkin juga sudah mula terbit perasaan cemburu. Gelagatnya memang mencuit hati saya dan suami.

"Lebih melucukan, dia nak dekat sangat dengan perut saya," kata Memey yang ditemui BH Online Ahad lalu ketika menyertai Fiesta Muslimah BH diadakan di Zebra Square.

Dalam perkembangan seninya, Memey turut memberitahu rezekinya masih murah dalam bidang lakonan biarpun sudah bertudung. Memey juga tidak meletakkan syarat tertentu kerana sedar produksi faham dengan perubahan dirinya.

Malah Memey juga tidak berhasrat untuk menoktahkan kerjaya seninya sekalipun sudah bertudung kerana melihat platform bergelar anak seni sebagai ruang untuk penjenamaan rangkaian perniagaan yang diceburinya.

"Saya tak terfikir untuk meninggalkan kerjaya lakonan. Cuma saya sedar pada satu tahap, industri seni akan berganti pelapis baru. Jadi pada masa yang sama, saya mengintai peluang untuk menjana pendapatan sampingan menerusi skop perniagaan atau cabang lain.

"Malahan publisiti yang diberi rakan media juga terus saya hargai kerana menjadi ruang saya mengetengahkan jenama yang baru berkembang. Hingga saat ini memang saya tak pernah bercadang untuk bersara dalam dunia seni," katanya yang sedang melunaskan baki penggambaran drama Udin Glamer Balik Kampung sebanyak 13 episod untuk siaran RTM.

Bercerita lanjut mengenai perniagaan pakaian wanita yang diterokainya, Memey kini sudah mempromosikan dua jenama iaitu Maya Delaila By Memey Suhaiza dan Meylana. Maya Delaila sudah lima bulan dipromosikan sementara Meylana pula baru tiga bulan.




Menurut Memey, beliau tercetus idea untuk memiliki rangkaian jenama sendiri selepas beberapa kali diminta menggayakan produk milik peniaga dalam talian. Ketika ini, Memey menjelaskan beliau dalam peringkat mencari kedai khusus menjual jenamanya itu.

"Setakat ini barangan yang dijual saya tumpang letak di pejabat suami. Harap dipermudahkan urusan mendapat kedai itu. Alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima cukup membanggakan.

"Maya Delaila lebih khusus menjual gaun labuh dan skirt yang sesuai digayakan golongan wanita tak kira bertudung atau tidak. Ia lebih bersifat kotemporari. Manakala Meylana lebih kepada jubah yang sesuai digayakan wanita Muslim," katanya.

Menurut Memey lagi, beliau nekad untuk menceburi perniagaan ini kerana didorong oleh kesukaran mendapatkan baju yang sesuai dengan cita rasa selepas bertudung. Kebanyakan rekaan dilakar sendiri Memey dan diserahkan kepada tukang jahit untuk menjahitnya.

"Harga pakaian saya memang pada harga mampu dimiliki dari harga RM99 hingga ke RM100. Saya selalu mempromosikannya di laman Instagram, @memeysuhaiza," katanya.


Keluarga bahagia Memey Suhaiza.
Previous Post Next Post