Miera Liyana mahu lelaki lebih berusia


MIERA ingin mengubah persepsi seksi peminat terhadap dirinya selama ini.

BAKAT lakonan yang ada pada si empunya nama Miera Liyana sememangnya tidak boleh dipertikai. Apatah lagi dengan wajah cantik yang dimiliki, pelakon yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam industri seni itu jelas punya pakej yang cukup lengkap untuk pergi lebih jauh.

Bagaimanapun, dalam meniti perjalanan mengejar cita-citanya, pelakon berusia 21 tahun itu sudah banyak kali terpalit dengan cerita yang mengaitkan imej seksi dengan dirinya.

Apatah lagi dengan watak-watak aksi ghairah yang dibawanya, Miera bagaikan sudah cukup sinonim dengan label seksi yang sering diberikan kepadanya.

Sungguhpun begitu, selepas dinobat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, perlahan-lahan dia cuba mengubah imej seksi itu. Baik dari segi penampilan mahu pun watak lakonan, semuanya sudah tidak ‘segalak’ dulu.




“Cukuplah dengan label seksi sebelum ini. Saya sudah tidak lagi seperti dulu. Malah, filem Dendam Orang Mati yang baru ditayangkan di pawagam itu juga membuatkan cerita sedemikian timbul sekali lagi.

“Agak rasa kesal kerana sebenarnya filem itu menjalani penggambaran tiga tahun lalu, cuma baru sahaja ditayangkan. Itu yang menyebabkan muncul semula kisah saya berbikini dan aksi ranjang,” katanya kepada Sensasi Bintang.

Cerita pelakon filem Apokalips itu, dia kini lebih selektif dalam menerima tawaran watak yang diberikan kepadanya.

“Apabila ada pihak yang memberikan tawaran lakonan, saya akan menilai dari segi skrip dan watak yang ditawarkan. Kalau boleh, saya tidak mahu lagi dengan watak-watak seperti dulu. Saya nak lari daripada imej adegan ranjang dan seksi itu.

“Cukuplah dengan label seksi itu. Kadang-kadang saya rasa letih dengan persepsi imej sedemikian,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon yang dikesan bakatnya menerusi drama Luna Fantasiku itu memberitahu, dia kini sedang menjalani penggambaran telefilem melibatkan kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia berjudul Pacarku Kehabisan Ongkos.

“Ia merupakan pengalaman pertama saya bekerja di Indonesia. Apa yang boleh dikatakan, cara kerja di sana jauh berbeza iaitu dari pagi sampai lewat tengah malam. Itu satu pengalaman berharga buat saya,” katanya.


Previous Post Next Post