Nabil tak gentar



TIDAK menerima pelawaan menyertai mana-mana kumpulan menerusi program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2014 bukan bererti pelawak popular yang juga penyampai radio Era FM ini sudah cukup hebat.

Tetapi bagi Nabil Ahmad, dia harus memperjuangkan lawak secara solo kerana mahu membezakan dirinya dengan pelawak sedia ada.

Malah, pelawak berusia 30 tahun ini mengakui kekurangan pelawak yang menyampaikan konsep jenaka stand up comedy antara faktor dia meneruskan konsep tersebut.




"Di negara luar, stand up comedy sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Meskipun persembahan hanya dilakukan di kelab-kelab, restoran dan tempat-tempat kecil namun ia mendapat tepukan gemuruh.

"Di sini pun sama, cuma hanya segelintir yang menerima penuh konsep lawak ini," katanya.

Jelas Nabil, walaupun ada yang menyifatkan persembahan stand up komedi agak malas, namun ia tidak pernah mematahkan semangat juara Raja Lawak musim kedua ini.

"Ada yang kata saya ambil jalan mudah sebab melakukan lawak sedemikian.

"Sebaliknya, stand up comedy lebih sukar kerana saya bertindak sendirian. Saya tiada kawan lain untuk membantu dan idea, konsep perlu difikirkan saya sendiri.

"Tetapi bagi yang berkumpulan mereka punya skala lebih besar untuk memikat hati penonton," tegasnya meneruskan penyertaan dalam MLM 2014 kerana minat bukan populariti semata.

Dalam pada itu, Nabil berharap penonton yang menyaksikan MLM 2014 memberi sokongan kepada semua peserta bukan tertumpu kepada segelintir sahaja.

"Bayangkan, apabila pelawak yang diminati masuk membuat persembahan, mereka akan berikan tepukan gemuruh sebaliknya jika tidak, pelawak tersebut disambut dengan suasana sepi tanpa sorokan dan tepukan daripada penonton yang hadir.

"Ini sekali gus membuatkan pelawak tersebut rasa tidak dihargai atau diterima sehingga boleh menjejaskan persembahan mereka," katanya kesal.


Previous Post Next Post