Noryn Aziz Manisnya bergelar ibu


EMPAT tahun mendirikan rumah tangga dengan Raja Kamarul Bahrin yang juga ahli politik di Terengganu itu, Noryn kini dikurniakan seorang putera, Raja Bariq Umar Shah.

SENADA dengan gerimis Sabtu minggu lalu, majlis aqiqah dan cukur jambul putera sulung Noryn Aziz dan pasangannya, arkitek terkenal, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu, berlangsung penuh harmoni. Sederhana namun masih menyempurnakan adat, bayi yang berusia dua bulan setengah itu diperkenalkan dan diraikan sebagaimana yang dituntut oleh syariah.




“Saya sangat bersyukur. Hasil perancangan bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat, majlis ini terlaksana sempurna. Saya tidak berniat untuk mengadakan majlis yang besar, saya buat apa yang sepatutnya dan cukup sekadar untuk saudara-mara serta rakan-rakan terdekat. Itu pun ramai juga yang tidak dapat hadir sebab masing-masing ada urusan,” jelas Noryn, 37, yang memilih tema Arab pada majlis yang dihadiri sekitar 200 orang berkenaan.

Sepanjang majlis, bayi yang diberi nama Raja Bariq Umar Shah itu tidak banyak ragam. Si kecil yang dipakaikan jubah lengkap dengan serban gaya Arab itu lebih banyak lena di pangkuan Noryn.

“Sepanjang dua bulan lebih ini, beginilah rutin saya, berkepit dengan anak sahaja. Dia tak banyak ragam tetapi nak selalu dipangku. Dia cepat terjaga dan pantang ada bunyi. Kadang-kadang, belum pun siap saya nak pakai bengkung, dia dah merengek. Malam barulah dia tidur agak lama, bolehlah saya rehat,” cerita Noryn yang bergelar ibu sejak 25 Ogos lalu.

Teruja berkongsi pengalaman berpantang dan putaran rutin harian yang berubah 100 peratus, perasaan itu pasti bukan sesuatu yang luar biasa bagi ibu-ibu lain.

“Hampir sebulan juga kaki saya tidak jejak tanah. Pertama kali keluar rumah selepas bersalin pun sebab kena ke hospital untuk dapatkan suntikan buat Umar.

“Perasaan itu tidaklah sampai tertekan tetapi kebosanan. Bila sudah habis pantang 44 hari, pernah sekali saya keluar jalan-jalan dan membeli-belah bersama Umar. Sudahnya, sibuk melayan anak yang tidak mahu duduk dalam kereta sorong. Terpaksalah, menyusu pun sambil berjalan. Itulah manis dan kelakarnya bila ada anak,” cerita Noryn.




Ditanya tentang trend anak selebriti yang meraih populariti di laman Instagram, Noryn tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang pelik.

“Saya jenis yang jarang mengemas kini gambar di Instagram. Gambar sendiri pun kurang apatah lagi gambar anak. Setiap orang cara masing-masing. Satu perkara yang saya perasan, setiap kali muat naik gambar anak, jumlah Like dan pengikut akan bertambah dengan cepat. Bagi saya, perkongsian gambar dalam Instagram, ia lebih kepada album digital. Sayang kalau momen itu hilang,” jelas Noryn yang tidak berhasrat untuk membuka akaun khas untuk bayinya.

Masih menyesuaikan diri untuk kembali aktif dengan karier seni, Noryn sebenarnya sudah mula memenuhi jemputan persembahan sejak 10 November lalu.

“Sekarang saya kena ‘kayuh’ perlahan-lahan. Tapi ada juga cerita kurang sedap didengar apabila ada pihak menyebarkan khabar angin bahawa saya sudah mahu berhenti menyanyi. Sebenarnya tidak, saya masih menyanyi dan kini boleh kembali fokus,” ujar Noryn yang turut menjalankan bisnes produk kesihatan yang diasaskannya, Delima Bella.
Previous Post Next Post