Pusat pengajian Al-Quran Sharifah Khasif


SHARIFAH KHASIF berharap agar pusat pengajian al-Quran yang dibuka pada awal tahun depan bakal memberi manfaat kepada mereka yang berminat untuk mendalami ilmu yang berkaitan kitab suci tersebut.

KITAB suci al-Quran merupakan sebuah mukjizat teragung yang pernah diturunkan oleh Allah S.W.T kepada junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan umatnya.

Menerusi 30 juzuk yang terkandung di dalam kitab itu, pelbagai perkara yang merangkumi soal kehidupan dan agama telah disampaikan dengan lengkap untuk dijadikan pegangan dan rujukan buat umat Islam di seluruh dunia.

Menyedari tentang kelebihan yang terkandung dalam kitab suci al-Quran, pemenang Tilawah al-Quran Antarabangsa 2009, Sharifah Khasif bakal membuka sebuah pusat pengajian al-Quran pada awal tahun hadapan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk mendalami ilmu-ilmu yang terkandung dalam kitab suci tersebut dengan lebih terperinci.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Surah-Surah Pilihan Tarannum di Restoran Al-Rawsha, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tuan empunya nama, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman Al–Yahya, 32, berkata, pusat al-Quran itu bakal menawarkan silibus pembelajaran al-Quran secara komprehensif, lengkap dengan ilmu-ilmu sampingan yang berkaitan kitab suci tersebut.




“Selepas menyertai Tilawah al-Quran, saya memang aktif mengajar secara bebas di merata tempat. Namun, atas sebab-sebab keterbatasan jantina serta keadaan saya yang kini sedang sarat hamil lapan bulan, saya memerlukan sebuah tempat untuk mengajar.

“Justeru, atas bantuan suami, sebuah pusat pengajian al-Quran bakal dibuka di Ampang Hilir, Selangor sekitar awal tahun hadapan.

“Pusat al-Quran itu bukan sahaja menampilkan silibus pengajian pembacaan al-Quran dan tarannum, malah ilmu-ilmu lain seperti pembelajaran hukum tajwid juga bakal diperkenalkan,” jelas beliau yang bakal melahirkan bayi sulungnya pada penghujung bulan Disember depan.

Tambah Khasif, pembukaan pusat al-Quran itu sedikit sebanyak dapat mendidik khalayak umum tentang betapa pentingnya keseimbangan ilmu al-Quran dengan ilmu duniawi.

“Sejujurnya, ketika masih kecil, ayah saya memaksa saya untuk belajar al-Quran. Daripada sifat ketegasannya itu, saya belajar untuk mencintai al-Quran.

“Di samping memahirkan diri dengan ilmu akhirat, saya juga tidak ketinggalan untuk mendalami ilmu dunia. Apa yang penting adalah keseimbangan, Itu yang ingin saya terapkan dalam diri masyarakat di Malaysia,” katanya yang turut membuka peluang kepada pelajar-pelajar luar negara yang ingin menyertai pusat al-Quran itu nanti.



MENAMPILKAN tujuh tarannum asas serta tiga surah panjang, Khasif menekankan kepentingan memahami lenggok bertarannum dalam album kedua terbitannya ini.

Album tarannum

Jika diteliti portfolio pemegang ijazah kewangan daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor itu, beliau terlebih dahulu pernah mengeluarkan sebuah album qasidah dan burdah pada tahun lalu berjudul Al-Husna.

Terbaharu, Khasif yang pernah menempa nama sebagai personaliti televisyen menerusi rancangan Akademi al-Quran itu muncul dengan album kedua berjudul Surah-Surah Pilihan Tarannum.

Melanjutkan perbualan mengenai buah tangan keduanya itu, Khasif memberitahu, beliau menerbitkan album tersebut kerana mahu pendengar di luar belajar cara-cara bertarannum dengan betul.

Selain memudahkan pendengar belajar, beliau juga mahukan pendengar menghargai seni nyanyian yang melibatkan ayat-ayat suci al-Quran.

“Dalam album ini, terdapat tujuh buah tarannum asas yang dirakamkan. Ia termasuklah sebuah alunan surah panjang yang mengandungi tiga buah surah iaitu surah al-Hasyr, al- Nasr dan al-Ikhlas.

“Saya berharap agar pendengar dapat memanfaatkan kandungan yang ada dalam album ini dan belajar melagukan cara-cara bertarannum dengan betul,” katanya tidak pernah mementingkan keuntungan yang bakal diraih olehnya menerusi album berkenaan.

Dalam perancangan lain, Khasif memberitahu, dia mungkin akan menerbitkan album ketiga yang mengandungi tutorial tentang cara-cara pembelajaran al-Quran secara lisan.

“Insya-Allah, dalam album seterusnya nanti saya akan memberikan tutorial secara rakaman yang boleh didengar menerusi cakera padat,

“Ia mungkin memudahkan orang ramai untuk mempelajari hukum tajwid dan beberapa ilmu al-Quran lain ketika sedang memandu kereta atau berehat di rumah,” katanya lagi.

Album terbitan SharifahKhasif Productions Sdn. Bhd. ini juga boleh didapati secara digital menerusi iTunes, Spotify dan Deezer.


Previous Post Next Post