Rezeki seni Forteen, Drama Band


DARI kiri One, Ameer, Ariz dan Izzue mula berkecimpung dalam dunia muzik tanah air sejak tahun 2012.

HUJUNG bulan lalu, sejumlah 85 nama dalam 17 kategori anugerah diumumkan sebagai finalis untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) edisi ke-21 yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Daripada angka itu, dua nama iaitu Forteen dan Drama Band tercalon dalam kategori masing-masing. Forteen tercalon bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Berkumpulan), manakala Drama Band pula menerusi kategori Lagu Rock Terbaik.

Pada minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual kedua-dua kumpulan tersebut untuk berkongsi rasa mengenai pencalonan mereka dalam AIM ke-21 yang dijadual berlangsung pada 6 Disember depan.




Bagaimana anda melihat pencalonan kumpulan kalian dalam AIM 21 untuk kategori masing-masing?

FORTEEN: Syukur, ini merupakan pencalonan buat kali ketiga sepanjang kami terlibat dalam industri muzik.

DRAMA BAND: Alhamdulillah, ini merupakan kali pertama kami tercalon dalam AIM. Memang agak terkejut kerana calon-calon finalis semuanya orang-orang yang memang hebat dalam industri.

Siapakah pesaing lain yang tercalon dalam kategori sama dengan anda?

FORTEEN: Selain kami, yang tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Di Dalam Lagu Berkumpulan, bersama-sama kami adalah pasangan duo Azhael menerusi lagu Hujung Waktu, kumpulan Tiga (Pengakuan), Suwara (Racun Termanis) dan Hani & Zue (Biar).

DRAMA BAND: Bagi kategori Lagu Rock Terbaik pula, kami tercalon bersama Mojo (Romancinta), Bunkface ft. Amy Search (Rentak Laguku), Spider (Ayat Penyengat) dan S.O.G (Amat Mudah Untuk Hanyut Di Bawa Arus).

Senarai nama pencalonan akhir boleh dikatakan semuanya hebat-hebat belaka. Bagaimana kalian melihat potensi yang ada dalam kumpulan anda untuk meraih anugerah tersebut?

FORTEEN: Semestinya setiap orang yang tercalon mengharapkan kemenangan. Bagi kami, jika tidak menang pun tidak mengapa. Apabila sudah tercalon, itu juga satu bentuk pengiktirafan kepada kami.

DRAMA BAND: Kami terima apa sahaja keputusan juri nanti. Mereka lebih arif menilai hasil karya kami. Apapun, sebenarnya tercalon dalam lima finalis itu sudah satu rezeki besar buat kami.

Bagi Forteen, mungkin ada pihak melihat kekuatan vokal daripada kumpulan anda lebih banyak bersandarkan kepada One yang dilihat lebih menyerlah? Apa pandangan anda?

FORTEEN: Sebenarnya, setiap daripada kami memainkan peranan penting dari aspek paduan vokal. Masing-masing mempunyai kelebihan dan keunikan dari segi suara yang akhirnya akan membentuk satu gabungan yang berkualiti.


DARI kiri Daus, Ammar Aepul dan Faeez memperkenalkan diri mereka sebagai Drama Band sejak tahun 2010.

Bagi Drama Band pula, apakah pandangan anda mengenai kekuatan yang ada pada lagu Jiwa untuk tercalon dalam Lagu Rock Terbaik?

DRAMA BAND: Lagu itu merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh kumpulan kami sendiri. Kami duduk bersama-sama menghasilkannya. Boleh dikatakan lagu itu gabungan idea daripada lima orang, maka terciptalah lagu Jiwa. Pencalonan dalam AIM juga membuktikan ada pihak yang menghargai karya seni.

Memandangkan AIM berlangsung pada Disember ini, pencalonan tersebut sedikit sebanyak memberikan satu momen indah dalam kalendar seni 2014. Bagi kalian sendiri, apa yang boleh dikongsikan kepada peminat mengenai perjalanan seni sepanjang tahun ini?

FORTEEN: Tahun ini memang banyak meninggalkan kenangan kepada kami. Antaranya persembahan Konsert Kita 20Forteen. Konsert itu terpaksa ditangguhkan. Maka, banyak perubahan perlu dilakukan kerana ketika itu persiapan sudah dilakukan. Jadi, apabila ditangguhkan, kami juga terpaksa memanjangkan lagi tempoh latihan bagi memastikan apa yang dirancang berjalan lancar.

DRAMA BAND: Banyak tragedi yang berlaku sepanjang tahun ini. Paling terkesan kepada kami ialah tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dan MH370. Apabila insiden itu berlaku, kita juga terpaksa akur apabila pergerakan kami juga agak perlahan. Kami lebih banyak terlibat dengan kerja-kerja di studio berbanding hal-hal berkaitan promosi.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kalian khas buat peminat-peminat di luar sana?

FORTEEN: Kita bakal tampil dengan sebuah single baharu berjudul Linangan Terakhir. Lagu semua sudah siap. Kemungkinan besar kita akan keluarkan lagu itu pada awal tahun hadapan.

DRAMA BAND: Sekarang kami dalam proses mengumpulkan bahan untuk album baharu.

Album itu akan muatkan 10 buah lagu. Tujuh daripadanya merupakan lagu baharu, manakala selebihnya merupakan lagu sedia ada. Kali ini, kami akan masukkan sedikit lagu berentak perlahan.



Previous Post Next Post