Sherie Merlis jadi Sabariah


SHERIE memegang watak Sabariah di samping Azman Hassan sebagai Kassim Selamat.

Bagai ada beban yang berat di atas bahu aktres Sherie Merlis ketika ditemui pada majlis sidang akhbar teater Surat Sabariah di Empire Damansara, Selangor.

Masakan tidak, sepanjang 25 tahun bergelar pelakon, itulah kali pertama dia akan menumpahkan kredibilitinya di pentas teater.

Bukan itu sahaja, menambahkan lagi tekanannya, Sherie diberi kepercayaan untuk memegang watak Sabariah iaitu watak yang lahir daripada sebuah filem klasik, Ibu Mertuaku yang dilakonkan oleh Datuk Sarimah Ahmad di samping Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Filem tentang seorang ibu mertua kejam bernama Nyonya Mansur lakonan Mak Dara yang sanggup memisahkan percintaan anaknya, Sabariah dengan kekasihnya, Kassim Selamat kerana perbezaan darjat tersebut, cukup sebati dalam jiwa rakyat Malaysia Natijahnya, kerana terlalu cinta dan kecewa, Kassim Selamat mencucuk matanya dengan garfu, sekali gus menjadi buta akibat dipisahkan daripada Sabariah.




“Bayangkan dua minggu pertama latihan saya langsung tidak boleh hafal skrip. Selama berlakon drama atau filem, saya tidak pernah mempunyai masalah itu.

“Sudahlah wataknya berat, ditambah dengan tidak hafal skrip, secara tidak langsung membuatkan saya panik,” katanya tentang teater Surat Sabariah yang menjalani latihan selama sebulan.

Bagaimanapun, masalah itu mampu diatasi selepas pengarah, Hariry Jalil memberitahu, beliau bebas membawakan watak Sabariah mengikut caranya sendiri dan tidak terikat dengan cara lakonan Seniwati Sarimah.

“Selepas diberitahu saya bebas mencorakkan watak Sabariah, barulah segala tekanan itu hilang. Saya sedar filem Ibu Mertuaku sebuah filem klasik yang dekat di hati semua.

“Namun, ingin saya tegaskan, Sabariah dalam filem Ibu Mertuaku dan Sabariah dalam teater Surat Sabariah ialah dua insan yang berbeza. Saya hanya pinjam watak Sabariah itu, bukannya lakonan Sarimah,” terang Sherie.

Lantas, apakah yang membuatkan hatinya terbuka untuk menerima tawaran teater Surat Sabariah memandangkan selama ini dia langsung tidak pernah terlibat dalam teater.

Jelas Sherie, skrip yang ikhlas membuatkan dia bersetuju untuk menerima tawaran tersebut.

“Jujur saya katakan, sepanjang berlakon, jarang saya dapat skrip yang ikhlas. Maknanya, sebuah skrip yang bukan direka untuk kehendak stesen televisyen atau skrip yang klise.

“Sebelum ini, bukan tidak ada tawaran teater tetapi komitmen latihan teater memakan masa berbulan-bulan menyebabkan saya menolaknya. Saya juga ada komitmen dengan drama, jadi disebabkan kesuntukan masa, tidak membuka peluang untuk saya terlibat dalam teater,” akui ibu kepada empat orang anak itu lagi.

Walaupun memiliki pengalaman sebagai pelakon, tegas Sherie, pentas teater memberi cabaran yang baharu buatnya.

“Jika berlakon drama, jika salah boleh berhenti atau adegan yang tidak bagus boleh disunting keluar. Namun, pentas teater tidak begitu, saya harus memberi lakonan yang bagus sepanjang masa.

“Paling membimbangkan saya ialah, perubahan emosi daripada mula hingga akhir. Adakah saya mampu menyalurkan emosi tersebut kepada penonton? Apa pun, saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, pengarah teater tersebut, Hariry Jalil memberitahu, teater Surat Sabariah hasil tulisannya tidak ada kena mengena dengan filem Ibu Mertuaku.

Katanya, dia hanya meminjam adegan Kassim Selamat dan Sabariah ketika tinggal di bawah kolong dan mengembangkan adegan tersebut kepada sebuah cerita yang berbeza.

“Teater ini berkisahkan kehidupan Sabariah dan Kassim Selamat di bawah kolong. Persoalannya, pasti ada perkara yang berlaku sehingga memaksa Sabariah menghantar surat kepada ibunya, Nyonya Mansur.

“Bagaimanapun di dalam filem Ibu Mertuaku, tidak ditampilkan sebarang cerita mengapa Sabariah sanggup menghantar surat tersebut. Selepas membuat kajian, saya tampil dengan skrip teater Surat Sabariah,” ujar Hariry.

Tambah Hariry, dia berharap penonton berfikiran terbuka ketika menonton teater tersebut.

“Ingin saya tegaskan, teater ini bukanlah kesinambungan filem Ibu Mertuaku. Saya hanya meminjam satu adegan dan mengubahnya menjadi sebuah cerita yang lain,” kata Hariry.

Teater berkenaan turut menampilkan Azman Hassan (Kassim Selamat), Razak Osman (Jegela) dan Along Silalahi sebagai Tajudin.

Teater Surat Sabariah bakal dipentaskan pada 4 hingga 7 Disember depan di Black Box, Damansara Performing Arts Centre (DPAC).

Peminat yang ingin menyaksikan teater berkenaan boleh mendapatkan tiket berharga RM35 (dewasa) dan 25 (pelajar) menerusi talian 03-4065 0001/0002. Untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.dpac.com.my.



Previous Post Next Post