Soal privasi, hati dan polemik Jennifer Lawrence



JENNIFER LAWRENCE dilimpahi populariti dan dikelilingi persekitaran indah. Dia memiliki jaminan kewangan dan kehidupan yang membahagiakan. Jika ada gelora di hati, wanita berusia 24 tahun itu hanya perlu mengingatkan dirinya, bahawa dia ialah Jennifer Lawrence.

Di sebalik tumpuan yang diberikan kepadanya, pelakon yang lebih dikenali sebagai J. Law itu tetap tidak mampu membendung perasaan terancam dalam dirinya, terutama terhadap paparazi.

“Saya tahu kehadiran paparazi akan menjadi sebuah realiti dalam kehidupan peribadi saya, namun setiap kali saya membuka pintu rumah, perasaan cemas itu datang dengan sendirinya. Adakalanya, saya khuatir diekori oleh 10 orang lelaki yang tidak dikenali atau dikepung, dilemparkan kata-kata kesat dan kemudiannya saya menjadi fobia.

“Memanglah berkongsi ruang privasi ini sebahagian daripada kerjaya seni saya, namun, perkara yang tidak terjangkau akal fikiran kita ialah bagaimana sepatutnya tubuh dan emosi sepatutnya bertindak balas terhadap perkara itu.




“Pada waktu itu, tiada sesiapa pun yang akan membantu kita melainkan lebih kepada mencemuh,” memetik cerita J. Law kepada sumber berita Associated Press mengenai pengalaman diserang sekumpulan paparazi dari luar hotel ketika menginap di sebuah hotel mewah di Los Angeles.

Perasaan itu bercambah seiring insiden penyebaran foto bogelnya dan beberapa selebriti antarabangsa lain. Ruang simpanan data iCloud miliknya digodam oleh individu tidak bertanggungjawab sekitar bulan Oktober lalu. J. Law dalam perkembangan yang sama, menyifatkan perbuatan itu bukan satu skandal, sebaliknya, sebuah jenayah seksual yang tidak boleh dimaafkan!

“Mereka boleh merakam setiap perbuatan saya kerana saya figura awam? Jika ada undang-undang yang mempertahankan media dan paparazi demi sebuah nilai berita, rasanya undang-undang itu perlu dipinda kerana fenomena sekarang sudah tidak sama seperti 200 tahun lalu. Jika perlu, saya fikir setiap foto yang dirakamkan secara haram sepatutnya haram juga untuk dijual, dibeli atau diedarkan.

“Misalnya foto bogel saya dirakam dari luar tingkap bilik saya dan itu sebenarnya haram, namun, keesokan harinya foto itu akan tetap disebarkan. Hal itu sama sekali tidak masuk akal,” tegas empunya nama sebenar Jennifer Shrader Lawrence itu.


Jennifer menyifatkan penyebaran foto bogelnya bukan satu skandal, sebaliknya jenayah seksual.

Cinta Liam

Skandal foto bogel itu juga telah membuka perspektif baharu dalam kehidupan J. Law yang telah memutuskan hubungan dengan vokalis kumpulan Coldplay, Chris Martin lewat Oktober lalu. Terkini, dia membuka pula ruang hatinya untuk bintang gandingan dalam filem terbaharu The Hunger Games: Mockingjay Part 1, Liam Hemsworth, 24.

Dalam sebuah temu bual baru-baru ini, J. Law menyifatkan Liam (yang merupakan bekas teman lelaki penyanyi popular Miley Cyrus), seorang lelaki yang menawan hati dan mengagumkan.

“Rasanya seperkara yang paling tidak disangka ialah digandingkan bersama jejaka yang sangat tampan dan akhirnya menjadi teman baik saya. Dia seorang yang luar biasa, menawan, penyayang, melucukan dan mengagumkan. Dia banyak mengajar saya untuk menjadi adil dan mempertahankan diri sendiri. Hal yang paling sukar untuk saya lakukan iaitu negosiasi.

“Liam seorang yang adil dalam banyak hal dan dia sentiasa menepati masa, sayangkan kerjaya dan bijak menyelesaikan sesuatu kerumitan. Pendek kata, dia mendidik saya menjadi individu yang lebih matang dan itu merupakan kehendak paling optimum bagi saya sekarang.

“Adakah kami bercinta? Rasa-rasanya kalau anda menonton When Harry Met Sally anda akan faham konsep persahabatan antara dua jantina seks berbeza yang akhirnya akan membawa ke satu peringkat tertentu,” jelas pemenang Pelakon Wanita Terbaik Academy Awards 2012 itu.

Khabar angin mengenai kisah cinta J. Law dan Liam mulai bertiup sejak pasangan itu rancak mempromosikan filem The Hunger Games: Mockingjay Part 1 di Jerman minggu lalu. Situasi mesra dan intim antara kedua-dua pelakon utama filem tersebut mencetuskan keghairahan peminat mereka untuk mengetahui kisah lebih mendalam.

Terdahulu, J. Law pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon gandingannya dalam filem X-Men: First Clas iaitu Nicholas Hoult sejak tahun 2011. Percintaan mereka putus sekitar awal tahun 2013. Mereka kembali bersama ketika terbabit dalam penggambaran filem X-Men: Days Of Future Past, namun sekali lagi putus pada Ogos tahun lalu.


Hubungan Jennifer dan Liam Hemsworth (tengah) mulai bercambah lebih sekadar kawan sejak digandingkan bersama dalam filem francais The Hunger Games.

Kemelut Thailand, China

Filem francais ketiga The Hunger Games: Mockingjay Part 1 yang telah mula ditayangkan seluruh dunia sejak minggu lepas bagaimanapun mencipta polemik di dua buah negara Asia iaitu Thailand dan China. Di China, tayangan filem arahan Francis Lawrence itu terpaksa ditunda sehingga Januari 2015 atas alasan ketidakseimbangan produk luar dan tempatan.

Menurut laporan Hollywood Reporter, filem tersebut ditangguh untuk membuka jalan kepada filem tempatan ditayangkan bagi memenuhi kuota tahun 2014. Sekadar permukaan sahaja, ada laporan tertentu menyebut tindakan itu susulan daripada penceritaan politik yang boleh mencetuskan konflik fahaman pemerintahan kawalan autoritarian di Beijing.

Di Thailand pula, ideologi politik yang diselitkan dalam filem berkenaan secara terang-terangan berlawanan dengan pentadbiran semasa negara gajah putih itu yang diperintah melalui rampasan kuasa ketenteraan awal tahun ini. Laporan daripada Associated Press, kumpulan anti keganasan negara itu telah membeli lebih 100 keping tiket pada hari pertama filem itu ditayangkan.

Bagaimanapun, filem itu terpaksa ditarik balik tayangannya hingga mencetuskan ketegangan kumpulan prodemokrasi yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar. Lebih memburukkan keadaan, lima daripada pelajar tersebut ditahan selepas terbabit dengan tunjuk perasaan di luar kediaman Perdana Menteri Prayuth Chan-Ocha dan luar panggung gara-gara membantah tindakan pengharaman tayangan filem The Hunger Games: Mockingjay Part 1 .

Mereka ditahan kerana menunjukkan simbol tiga jari yang menjadi sebahagian daripada signatur filem yang diadaptasi daripada novel terkenal itu. Lambang yang ditunjukkan oleh District 12 dalam filem tersebut mewakili keingkaran, perpaduan dan kekaguman terhadap penentangan kuasa prejudis dan penindasan terhadap golongan kanak-kanak yang dipaksa bertanding sehingga mati.

“Impian saya bukan untuk menjejaskan masa depan kanak-kanak dan remaja di luar sana yang ditahan sia-sia. Apabila ketegangan itu menjadi hakikat dan secara tidak langsung ia membabitkan keluarga dan orang ramai, kes itu menjadi sangat rumit. Dalam sudut lain, saya rasa berbangga apabila idea menerusi filem itu menjadi sesuatu yang penting untuk segelintir masyarakat dan mereka sanggup mengambil risiko menggunakan simbol berkenaan kerana ia benar-benar bermakna bagi mereka. Cuma, situasinya sangat menakutkan!” simpulnya.

The Hunger Games: Mockingjay Part 1 merupakan kesinambungan daripada filem prekuel The Hunger Games: Cathing Fire tahun lalu. Menyusuri kemusnahan Quarter Quell, Katniss Everdeen (Jennifer Lawrence) bangkit semula dalam situasi kompleks di District 13. Kawasan kediamannya di District 12 sudah dimusnahkan dan kini hanya tinggal runtuhan.

Peeta Mellark (Josh Hutcherson) pula diculik dan menjalani proses penyucian minda oleh President Snow (Donald Sutherland). Pada masa yang sama, Katniss mempelajari taktik pemberontakan baharu yang disebarkan di seluruh kawasan Panem. Pemberontakan yang akan mengancam dirinya sendiri apabila sampai ke pengetahuan President Snow.


Previous Post Next Post