Status isteri, Fouziah Gous selektif pilih tawaran


SELEPAS setahun mendirikan rumah tangga, Fouziah tidak pernah berasa tertekan walaupun belum ada tanda-tanda yang menunjukkan dia akan menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

SELEPAS setahun mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Md. Zhafran Mohd Yusof, pelakon cantik Fouziah Gous, dilihat kurang aktif dan semakin jarang menghiasi kaca televisyen. Daripada situ, timbul tanda tanya, adakah pelakon tinggi lampai itu sudah berbadan dua atau sengaja mengurangkan aktiviti.

Bertemu dengan pemilik nama Nor Fouziah Mohd Gous, 31, pada pertunjukan fesyen Bianco Mimosa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini, pelakon filem Sifu & Tongga itu menjelaskan, dia kini sedang mengusahakan perniagaan sarang burung bersama suaminya dan sudah lima bulan tidak terbabit dengan sebarang penggambaran melainkan hadir ke beberapa acara hiburan.

Fouziah turut berkongsi kebahagiaan rumah tangga yang disifatkannya masih dalam fasa berbulan madu.




Artis Meletop!: Kelibat Fouziah sudah jarang kelihatan di kaca televisyen, adakah anda mempunyai alasan tersendiri?

FOUZIAH GOUS: Saya akui situasi itu. Sebelum ini, saya berlakon tanpa henti, jadi selepas berkahwin, saya mengambil keputusan untuk berehat seketika dan memberikan tumpuan kepada keluarga dan perniagaan sarang burung yang sedang saya usahakan bersama suami saya. Saya perlu terbabit daripada awal proses hingga terhasilnya produk itu, sekarang sudah stabil dan baru kembali berlakon.

Tidakkah anda rindu untuk berlakon sepanjang tempoh lima bulan itu?

Rasa rindu itu tidak terasa kerana kesibukan menguruskan perniagaan. Saya sudah memasarkan fasa pertama produk tersebut dan sambutannya memang di luar jangkaan. Sekarang, kami dalam proses penambahbaikan beberapa aspek terutama daripada segi pemasaran kerana saya merancang untuk menembusi pasaran negara Timur Tengah.

Adakah anda takut dilupakan oleh peminat apabila jarang muncul di kaca televisyen?

Kita tahu apa yang kita mahukan dan kalau saya mahu berada dalam kalangan publik dan mahu wajah sentiasa di kaca televisyen, saya akan menerima semua tawaran. Buat masa sekarang, saya tidak ada perasaan risau, mungkin faktor usia dan pengalaman yang saya lalui. Saya pun bukannya baru setahun dua dalam industri. Apabila sudah berkahwin, saya perlukan lebih banyak masa bersama keluarga. Sekiranya saya menerima tawaran yang kurang menarik dan mengecewakan nanti, tidakkah itu satu pembaziran.

Adakah anda kini lebih selektif dalam perihal memilih tawaran berlakon selepas mendirikan rumah tangga?

Boleh dikatakan begitu kerana saya perlu mengelak babak intim dan bersentuhan dengan pelakon lelaki lain memandangkan status saya sebagai isteri orang. Sensitiviti keluarga saya perlu dijaga. Selain itu, pemilihan naskhah yang baik daripada segi jalan cerita dan watak juga penting.

Adakah sepanjang tempoh lima bulan itu anda ada menolak tawaran lakonan?

Memang ada. Hampir setiap hari ada sahaja tawaran yang datang. Insya-Allah selepas ini saya akan kembali bekerja, namun saya perlu mempertimbangkan tawaran berbentuk drama rantaian kerana proses penggambaran yang memakan masa terlalu panjang. Sekiranya perniagaan saya sudah betul-betul stabil, barulah saya boleh beri komitmen.

Setelah setahun berkahwin, adakah anda berdepan sebarang tekanan untuk mendapatkan cahaya mata?

Tidak ada tekanan langsung kerana perkahwinan kami masih baru. Fasa bercinta selepas berkahwin sangat berbeza. Dalam tempoh setahun itu masih banyak perkara yang belum saya ketahui mengenai suami. Setiap masa ada sahaja perkara baharu yang kami terokai. Keluarga pun tidak meletakkan sebarang harapan dan kami juga tidak merancang, sebaliknya berserah pada rezeki. Ramai juga artis yang sudah lama berkahwin tetapi baru mendapat anak. Jadi, saya kena bersyukur dan lebih teruja mengenali suami, keluarga dan teman-teman di sekelilingnya.

Melihat kepada perkongsian anda di Instagram, masyarakat mungkin melihat anda dan suami asyik berkepit sepanjang masa. Komen anda?

Bukan setiap masa pun kami berkepit, mungkin dalam Instagram kami dilihat sentiasa bersama-sama kerana kami mengusahakan perniagaan bersama. Apa yang orang nampak itu sebenarnya lebih kepada proses bekerja dan mungkin kerana faktor usia kami yang sebaya, jadi banyak perkara yang kami rancangkan bersama.

Sudikah anda kongsikan perkembangan terkini anda dalam dunia seni?

Saya baru selesai penggambaran sebuah telefilem bertajuk Dendam Roh Alia arahan Joeza Rasisi. Menerusi drama itu saya memegang watak sebagai Maya bergandingan bersama Kamal Adli, Azhan Rani dan Puteri Shasha. Ia mengisahkan kehidupan suami isteri yang diganggu oleh pelbagai jelmaan selepas berpindah ke sebuah rumah baharu. Drama itu akan bersiaran pada 29 November (hari ini) di saluran Astro Prima dan Maya HD pukul 10 malam.


Previous Post Next Post