Syatilla tidak tolak jodoh dengan Sam



Tubuh langsing, lirikan mata yang tajam dan seksi pelakon, Syatilla Melvin, 23, berjaya mencuri tumpuan khalayak yang buat pertama kali melihat lakonannya dalam drama BFF…Teman Tapi Mesra di TV3 yang bersiaran pada pertengahan Januari 2012.

Siapa yang boleh melupakan susuk tubuh seksi Syatilla yang mesra disapa Tilla ini, lebih-lebih lagi apabila video dia beraksi seksi untuk sebuah iklan pakaian dalam jenama terkenal bertebaran di internet pada tahun berikutnya.

Kemudian berbekalkan imej seksi dan sering kali disogokkan dengan watak penggoda, pelakon berdarah campuran Melayu-Jepun itu membina nama dengan beberapa deretan drama termasuk Ariana Rose yang masih mengeksploitasi keseksiannya untuk menambah elemen komersial atau ‘pelaris’ dalam karya mereka.

Bertemu dengan wanita peramah ini, Syatilla mengakui kekhilafan diri, namun dia menolak dirinya sengaja tampil seksi dan dieksploitasi.




“Saya tidak rasa diri dieksploitasi penerbit drama. Kadangkala itu pilihan saya sendiri untuk berpakaian seksi. Saya seksi bukan semata-mata untuk popular tetapi sejak zaman sekolah lagi saya memang berpakaian seksi.

“Tetapi itu dulu. Sejak umur meningkat 23 tahun ini, saya sedar seksi itu tidak perlu ada. Cukuplah dengan pengalaman dulu,” katanya jujur kepada Sensasi Bintang.


Pelakon berusia 23 tahun ini memiliki ketinggian 171 sentimeter.

Dikecam

Kekhilafan diri Syatilla yang sering tampil seksi akhirnya memakan diri apabila dia dikecam ramai orang, malah ada juga pihak yang menggelarkannya sebagai pelakon simbol seks.

Ternyata perkara itu menyakitkan hati bekas finalis Dewi Remaja 2010, seangkatan dengan Neelofa, Anzalna dan Izara Aishah ini, namun dia tidak mampu untuk menolaknya.

“Pelakon simbol seks? Saya tidak suka gelaran tersebut tetapi apa sahaja tanggapan orang, saya tidak mampu untuk menutup mulut mereka.

“Ya, ramai yang kecam cara saya berpakaian. Ada orang terdekat yang menegur, tak kurang juga yang memberi komen negatif di Twitter dan Instagram. Pada mulanya, memang saya terasa dengan komen-komen tersebut, namun setelah berfikir balik, saya rasa ada benarnya,” luah pelakon berasal dari Parit Buntar, Perak ini.

Sejak itu, Syatilla cuba membuang imej seksi yang membelenggu diri, bahkan anak kedua daripada lima beradik perempuan itu kini berazam untuk berubah.

Biarpun bukan berubah secara mendadak tetapi dia akan cuba memilih pakaian yang lebih sopan.

Perjalanannya sebagai pelakon seksi kemudian disusuli dengan cahaya terang apabila Syatilla kini ditawarkan watak perempuan baik dalam drama 26 episod, Gerimis Salju Naminara.

Selain itu, Syatilla juga baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama untuk RTM, Street Vendetta bersama pelakon Nad Zainal dan Shahrul Syarul Ridzwan.


Selepas dikecam, Syatilla kini enggan lagi mengenakan pakaian yang seksi.

Bisnes

“Sekarang, saya berehat sekejap dalam bidang lakonan untuk bercuti dengan keluarga dan fokus kepada bisnes baharu sebelum kembali berlakon pada tahun depan,” ujarnya.

Berkongsi mengenai bisnes yang diusahakan, pemilik nama penuh Siti Nur Syatilla Amirol Melvin ini memberitahu, dia menjalankan bisnes menjual jubah, tudung dan baju bersama kakaknya, Siti Nur Syafiqa.

Sebagai permulaan, bisnes yang dinamakan sebagai Bella Luna itu telah dibuka sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang baru sahaja selesai.

Selepas ini, katanya, dia akan membuka gerai sempena Year End Sale 2014 di PWTC pula pada 19 hingga 21 Disember ini.

Disoal andai ada pihak yang mengecamnya kerana membuka bisnes tudung sedangkan dirinya sering berpakaian seksi, Syatilla berharap perkara itu tidak timbul.

“Jika ada yang mengecam saya kerana menjalankan bisnes tudung dan jubah, itu tidak adil. Bagi saya, tidak salah saya menjalankan bisnes tudung dan jubah kerana ini cara saya mencari rezeki,” pintanya bersungguh.

Katanya, apa yang diharapkan agar orang ramai mendoakan supaya dirinya dibuka pintu hati untuk mengenakan tudung seperti kakak dan adiknya,

“Insya-Allah, satu hari nanti saya juga akan berubah. Cuma, saya tidak mahu buat benda ini (memakai tudung) kerana mulut orang atau terpaksa. Biarlah ia datang dengan sendiri daripada hati saya,” katanya lagi.

Beralih pada soal hati pula, Syatilla yang pernah digosipkan bercinta dengan Shaheizy Sam sekitar tahun lalu mengakui, dia dan pelakon filem terkenal itu masih berkawan rapat.

Kesibukan Syatilla tidak menghalang pelakon yang memiliki ketinggian 171 sentimeter ini untuk berjumpa dan menghubungi kawan rapatnya itu.

Disoal adakah dia kini sedang bercinta dengan Sam sementelah hubungan rapatnya dengan pelakon filem Kaki Kitai itu, Syatilla hanya membungkam.

“Kami kawan rapat. Dia antara lelaki paling rapat saya. Saya tidak berani hendak cakap ya atau tidak mengenai hubungan kami.

“Apa-apa yang terjadi saya terima. Bagi saya, dia seorang lelaki yang mudah untuk dibawa berbincang dan ringan tulang apabila saya meminta tolong,” ulasnya yang kali terakhir bercinta empat tahun lalu dengan lelaki biasa.


Previous Post Next Post