Tiz Zaqyah kahwin sebelum usia 30 tahun!


Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah

KISAH cinta pelakon yang juga model cantik ini bukan lagi rahsia di kalangan peminat seni tempatan. Namun dia mengakui belum bersedia menamatkan zaman solonya dalam masa terdekat.

Akui Siti Zaqyah Abdul Razak atau nama layarnya Tiz Zaqyah, dia bagaimanapun tidak pernah menolak jika jodohnya sudah tiba.

"Bagi saya, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana. Sampai masanya saya juga akan mendirikan rumah tangga seperti wanita lain.

"Cuma untuk memberikan tarikh yang sebenar memang belum diketahui lagi.

"Apa yang boleh saya katakan, saya akan berkahwin sebelum usia 30 tahun," kata pelakon berusia 26 tahun ini.




Akui bintang Kusinero Cinta ini, dia bagaimanapun kurang selesa berkongsi perkara peribadi kepada umum.

"Lebih baik bercerita mengenai karier dan perkara yang berkaitan dengannya. Lagipun itu fokus utama saya buat masa kini," jelas kekasih kepada Daniel Haziq ini.

Berkongsi perkembangan terbarunya, pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu dia bakal muncul dengan drama terbaru arahan Jehan Miskin iaitu Seludup yang akan disiarkan di Astro Prima bermula 4 Disember.

Menurut Tiz Zaqyah, Seludup merupakan drama yang sangat mencabar dan sebuah projek yang sangat dinantikan olehnya.

"Apabila mendapat tahu ia adalah projek Jehan, saya memang teruja lebih-lebih lagi selepas menonton projeknya sebelum ini, What If.

"Saya benar-benar kagum dengan dia, jadi saya fikir mengapa perlu saya menolak sedangkan ini peluang terbaik untuk menimba pengalaman daripadanya," ujarnya Seludup drama pertamanya yang mengangkat genre aksi.

Katanya, walaupun menerusi drama itu dia tidak perlu melakonkan pelbagai aksi, tetapi adegan peluknya bersama Pekin Ibrahim tetap dirasakan sukar.

"Bukan peluk penuh perasaan, sebaliknya peluk kerana ketakutan, pun begitu saya masih berasa janggal sementelah ia kali pertama saya berlakon dengannya," katanya turut mengagumi Namron dan Raja Ilya.

Dalam pada itu, Tiz Zaqyah mengakui terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon teater kerana tidak yakin dengan kebolehannya dalam bidang itu.

"Bukan takut mencuba, tetapi saya memang kurang yakin untuk berlakon teater," katanya lagi.


Previous Post Next Post