Yuna kembali solo


Yuna bersama hos George Young yang menemubualnya secara eksklusif untuk E! News Asia Special: Yuna.

JIKA penyanyi dari negara jiran Indonesia atau Singapura meletakkan Malaysia sebagai rumah kedua, satu-satunya Yunalis Zara kesayangan Malaysia pula menjadikan Amerika Syarikat, atau lebih tepat lagi Los Angeles sebagai rumah keduanya. Beza itu cukup untuk menilai standard Yuna ketika ini.

Lantas, apabila kisah personal yang jarang dikongsi Yuna kepada peminat dan khalayak selama ini hanya dapat ditonton menerusi saluran E!, harga dan kredibiliti Yuna sebagai penyanyi bertaraf antarabangsa, semakin kukuh.




“Saya peminat budaya pop. Selama ini saya menonton saluran E! sepanjang masa dan sekarang giliran saya pula dipersembahkan dalam program yang dapat disaksikan penonton pada skala antarabangsa, itu sesuatu yang hebat.

“Saya selalu meletakkan diri saya sebagai orang baharu dan ini satu lonjakan yang sangat baik untuk memberitahu khalayak tentang siapa saya, bagaimana muzik saya dan bagaimana saya bermula. Banyak lagi yang harus saya terokai,” ungkap Yuna.

Merendah diri dan itulah Yuna seperti yang dikenali selama ini, penyanyi yang dilahirkan di Alor, Setar, Kedah itu pulang ke Kuala Lumpur sempena pelancaran E! News Asia Special: Yuna. Program berkenaan akan menemui khalayak buat pertama kalinya malam ini pukul 10 malam di saluran E! (Astro 712).

Mengakui seorang agak perahsia yang jarang berkongsi kisah personalnya, namun, penyanyi yang terkenal dengan lagu Lelaki itu terpanggil untuk berkongsi kisah hati.

Dalam diam, Yuna mengakui perhubungannya dengan seorang lelaki Inggeris Julian Schratter, kini sudah tinggal kenangan.

Tahun lalu, hubungan Yuna dengan Julian atau Jules, seorang pengarah yang juga jurugambar itu mudah dihidu ramai apabila penyanyi itu kerap memuat naik gambar bersama Julian menerusi laman Instagram miliknya.

Pernah muncul sebagai model dalam video muzik lagu Yuna yang berjudul I Wanna Go, Julian juga pernah mengikutnya ke Kuala Lumpur dan ke kampung halaman Yuna di Perak, sekitar November tahun lalu.

“Sekarang saya solo. Solo dan rasanya tidak bersedia dengan hubungan. Saya penat rasanya. Saya ada banyak perkara yang perlu dilakukan dalam masa yang sama. Rasanya agak susah untuk beri komitmen dengan sesebuah hubungan kerana saya seorang yang sangat sibuk dengan kerja.

“Lagipun saya tahu, sukar untuk orang lain memahami kerja seperti saya. Saya mempunyai kehidupan di Los Angeles dan di Malaysia.

“Jika mahu bercinta kembali, saya perlu mencari seseorang yang betul-betul boleh menerima dan memahami saya. Mungkin dia (Julian) kurang sesuai,” katanya yang tidak lagi bertemu dengan Julian sejak kebelakangan ini.

“Selalunya, apabila kita tidak lagi rapat dengan seseorang, kita akan berasa sedih, tetapi saya okey. Lagi pun, kami tidak tinggal di bandar yang sama. Dia di New York manakala saya di Los Angeles.

“Apabila tidak rapat dengan sesiapa, saya jadi lebih produktif dan kreatif. Baru-baru ini saya dapat siapkan dua video muzik,” kata penyanyi yang pernah menjalin ikatan cinta dengan pemain dram kumpulan OAG, Qi Razali itu.

Lebih bebas di luar negara

Masih lagi tentang sisi peribadinya yang mungkin jarang dikongsikan dengan peminat, Yuna mengakui, kehidupan dan penerimaan peminat di luar negara sangat berbeza berbanding di Malaysia.

“Di Los Angeles, saya lebih bebas. Maksud saya, bukan bebas berparti atau boleh buat sesuatu yang liar, sebaliknya, bebas fokus kepada diri sendiri. Saya boleh keluar jalan-jalan dan membeli-belah macam orang biasa. Bukannya saya tidak suka disapa atau ditegur peminat yang mahu bergambar dengan saya, saya okey, cuma bila saya boleh buat hal sendiri, seronok juga. Semasa saya ke Jakarta pun sama, saya boleh berjalan-jalan dan membeli-belah tanpa pedulikan sesiapa,” katanya.

Tambah Yuna lagi: “Sekarang saya sudah ada lesen memandu, saya juga sudah boleh memandu di Los Angeles. Apabila ada waktu santai, saya memandu ke bazar yang terletak tidak jauh dari kediaman saya di sana.”

Ditanya tentang impiannya menjelang usia 30 tahun, Yuna berkongsi keinginannya untuk mengembara ke sebuah destinasi yang tidak pernah dikunjunginya sebelum ini.

“Walaupun saya selalu mengembara, tetapi masih belum cukup memberi ruang untuk saya mengenali diri sendiri.

“Rasanya, kalaulah suatu hari nanti saya mahu berkahwin, saya kena ambil sedikit masa terlebih dulu untuk mengembara. Sebelum berkongsi hidup dan mahu orang lain memahami diri saya, saya sendiri kena memahami diri terlebih dulu,” ujar Yuna yang terinspirasi dengan pengembaraan seorang rakan baiknya, Didi yang memandu ke Iceland untuk bercuti.




Tunai umrah

Dalam perkembangan lain, Yuna yang masih bercuti sehingga Januari 2015, akan ke Mekah untuk menunaikan umrah pada 14 Disember depan.

“Sebelum pulang ke Los Angeles, Insya-Allah saya akan pergi menunaikan umrah bersama keluarga. Rasa berdebar dan semacam tak sabar juga, sebab ini adalah pengalaman pertama kali saya ke sana,” kata Yuna yang giat mempromosikan butik dalam talian miliknya, November Culture yang bertempat di Subang Jaya.

Yuna juga akan mengadakan satu sesi persembahan secara tertutup bersama peminat bertempat di butik berkenaan pada 7 Disember nanti.

“Saya juga sedang merancang sebuah projek khas dengan pereka fesyen Hatta Dolmat. Mungkin saya akan lancarkan jenama sendiri bersamanya,” jelas Yuna baru sahaja melancarkan versi remix lagunya, Light And Camera, kolaborasi dengan penyanyi rap, G-Eazy.
Previous Post Next Post