Zed Zaidi, Stesen TV jangan cabar kuasa menteri!



PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), menyifatkan keengganan pihak stesen televisyen swasta dalam memberi kerjasama terhadap masalah industri yang diketengahkan menerusi kempen, Switch Off 14, baru-baru ini dilihat bakal mengundang permasalahan.

Menurut Zed Zaidi, walaupun perkara itu telah dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dalam menyediakan platform untuk warga seni bagi menyelesaikan masalah berbangkit, namun pihak stesen televisyen masih berdiam diri.




"Saya sendiri hairan, kenapa stesen televisyen begitu angkuh dan sukar untuk menerima penjelasan dan berbincang perkara ini. Walaupun mendapat perhatian kerajaan, namun mereka masih berdegil.

"Mereka seolah-olah cuba menentang kuasa menteri dan menunjukkan ego masing-masing. Namun, percayalah keangkuhan itu tidak akan menyelesaikan masalah malah mengundang sesuatu yang tidak baik.

"Apa salahnya kita sama-sama berbincang mengenai masalah industri kerana kita semua saling memerlukan antara satu sama lain," jelasnya lagi.

Tambah Zed, tindakan stesen televisyen yang enggan membincangkan masalah industri itu memberi gambaran bahawa selama ini, merekalah yang bermasalah.

"Masalah industri yang diketengahkan bukanlah masalah baharu kerana sejak dahulu lagi ianya gagal diselesaikan walaupun banyak perbincangan yang dibuat.

"Ini bermakna, masalah sebenar industri berpunca daripada stesen televisyen. Sekiranya mereka memberikan kerjasama, sudah tentu perkara ini akan dapat diselesaikan menerusi meja rundingan.

"Namun, difahamkan sekiranya mereka tetap berpeluk tubuh, lebih ramai lagi yang akan turun pada kempen yang akan datang dan berkumpul di stesen televisyen," katanya lagi.


Previous Post Next Post