Amyra, Ayda makin demand?



NAMA dua pendatang baharu ini sememangnya bukan asing lagi dalam industri seni Malaysia. Meskipun sudah berkecimpung di dalam industri seni sejak beberapa tahun lalu, namun tahun 2014 nyata memberi impak dan tuah buat kerjaya Amyra Rosli dan Ayda Jebat.

Masakan tidak, jika ditanya siapakah dua aktres baharu yang cukup menyerlah tahun ini, pastinya pembaca bersetuju dengan nama dua pelakon baharu ini
Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 23, mula menyerlah menerusi lakonannya dalam drama bersiri Kristal Maya, kemudiannya menarik perhatian penonton menerusi drama bersiri adaptasi, Suamiku Encik Sotong sebagai Erika Sofia.

Manakala Ayda pula yang sebelum ini pernah menyertai Akademi Fantasia 9 tampil dengan lakonan berkesan dalam drama bersiri Rindu Awak 200% sebagai Armel Aisya.

Sejak itu, rezeki kedua-dua pelakon ini semakin murah dan khabarnya, dua bintang menjadi rebutan pengarah dan penerbit untuk dijadikan heroin dalam drama dan filem baru tahun depan.

Namun di sebalik kejayaan yang datang, timbul cerita kurang enak mengenai dua bintang ini apabila mereka dikhabarkan semakin demand berkaitan tawaran yang datang.

Kesempatan bertemu Amyra dan Ayda di sidang media Siri Realiti Web Pencarian Wajah Aurawhite di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini digunakan pihak media untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai perkara terbabit.




“Demand? Saya tak pernah tetapkan sebarang harga dan tak berkira sangat soal harga. Malah saya senang bekerja dengan semua pihak.

“Kalau saya tak laku mungkinlah sebab saya demand kot (ketawa), tapi bila kita dalam satu industri yang sama, bekerja dengan kawan-kawan, harga yang dikenakan boleh dirunding,” jelas Amyra.

Tambah Amyra lagi, segala soal berkaitan perbincangan kerja, jadual, di susun oleh ibunya, Noor Zaridah Ahmad.

“Biasanya siapa yang mahu ambil saya bekerja akan berbincang dengan mama terlebih dahulu, kemudian mama akan rujuk saya berkaitan skrip dan watak, mana yang saya berkenan.

“Kalau perbincangan semua berjalan baik, saya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa pun.

“Tapi saya akui ada tolak beberapa tawaran sekiranya bertembung dengan jadual. Contoh ketika berlakon drama Suamiku Encik Sotong, saya tak terima tawaran lain kerana drama itu memerlukan saya sebulan di set.

“Saya tak boleh pentingkan diri sendiri dalam mengambil tawaran, sebab kalau rezeki itu sudah tertulis milik kita, ia akan jadi milik kita,” katanya.

Bagi Ayda pula, dia mengakui bersikap memilih dalam beberapa perkara sebelum menerima sesuatu tawaran.

“Nak kata demand tu tidaklah pula. Tetapi saya agak memilih mengenai pengarah dan jalan cerita sebuah drama atau filem. Jika projek itu bagus, baru saya akan terima.

“Bukan mahu ‘demand’ tetapi saya buat semua ini demi peminat dan kerjaya saya. Untuk terus kekal dalam industri bukan senang, jadi saya harus betul-betul tahu apa yang terbaik untuk diri saya,” ujarnya.

Utama peminat

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat, 22, meluahkan rasa syukur dan gembira kerana lakonannya dalam dramanya Rindu Awak 200% sebelum ini telah melonjakkan namanya sekali gus menjadi kesayangan ramai peminat drama tempatan.

Katanya, seperkara yang lebih membuatkan dia terharu adalah apabila ada peminatnya sanggup datang dari jauh semata-mata mahu memberikan sokongan padanya jika dia hadir dalam satu acara atau majlis di mana saja.

“Mereka sangat sayang saya dan saya pun sangat menghargai mereka. Ada yang sanggup mengikut saya ke mana saya pergi sebagai menunjukkan tanda sokongan mereka.

Contohnya, baru-baru ini saya hadir pada acara di Kelantan dan Terengganu, peminat saya dari Kuala Lumpur sanggup datang ke acara tersebut. Sokongan mereka membuatkan saya terharu.

“Saya sangat hargai apa yang mereka buat untuk saya. Sebagai balasan, saya juga beritahu kehadiran saya pada sesuatu acara menerusi Instagram. Mereka sangat teruja apabila saya tegur mereka dan saya pun seronok apabila mereka gembira,” katanya.

Ayda yang sibuk menjalani penggambaran iklan produk makanan kucing sebanyak 29 episod untuk siaran Youtube berjudul Oscar I Miss You, akan membintangi dua filem baru iaitu sebuah filem genre seram arahan Ahmad Idham manakala satu lagi filem komedi romantik arahan Aidil Fitri Mohd Yunos. Bagaimanapun, Ayda merahsiakan judul kedua filem tersebut buat masa ini.

Sama seperti Ayda, Amyra juga mengutamakan peminat dan sering membaca komen peminat tidak kira positif dan negatif di laman sosial sebagai salah satu cara membaiki mutu lakonannya.

Ujar Amyra, wataknya sebagai Erika Sofia banyak menerima komen daripada peminat dan walaupun ada komen negatif, ia tetap mengambil komen tersebut secara positif.

“Saya rasa lucu melihat mereka emosi dengan Erika tapi dalam sudut lain saya tahu, saya berjaya bawa watak tersebut. Tapi tidaklah sehingga mereka menyerang apabila berjumpa saya.

“Saya mengikuti komen peminat sebab mahu tahu penerimaan mereka. Walaupun ada komen negatif saya tak padam kerana itu cara saya memperbaiki diri,” katanya.

Amyra yang kini sedang bercuti memberitahu akan kembali bekerja bulan depan untuk satu drama yang akan disiarkan di TV3.



Previous Post Next Post