Cinta tidak kesampaian Shukri, Nadia


SHUKRI memegang watak sebagai Ridz dalam drama Engkau Laksana Bulan.

STESEN Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak pernah jemu menyajikan drama tempatan terbaik untuk kepuasan penonton.

Terbaharu, telemovie Engkau Laksana Bulan yang mengangkat kisah cinta yang tidak kesampaian dek kerana halangan keluarga menerusi slot Tribute P. Ramlee bakal menemui penonton pada malam ini pukul 10 malam di RTM1 sebagai penutup program menarik sepanjang tahun ini.

Mengisahkan seorang pemuda bernama Ridz yang merancang mahu menghantar rombongan merisik ke rumah kekasihnya, Nilam. Bagaimanapun, ia dibatalkan kerana hajat ayah Nilam yang suatu ketika dahulu ingin memperisterikan ibu Ridz tidak kesampaian lantas membatalkan ikatan perkahwinan mereka.

Lebih mengejutkan, pelbagai cara dilakukan oleh ayah Nilam semata-mata mahu menghalang mereka meneruskan ikatan tersebut hingga sanggup melakukan apa sahaja meskipun melanggar undang-undang.

Ridz kemudian nekad mengambil keputusan untuk melarikan diri bersama Nilam, namun segalanya musnah apabila rancangan tersebut dapat dihalang oleh ayah Nilam.




Konflik mula tercetus apabila ayah Nilam memfitnah Ridz cuba melarikan dan mencabul anaknya.

Nilam begitu kecewa dengan tindakan ayahnya yang sanggup melihat anaknya merana.

Ridz yang tidak bersalah kemudian dipenjarakan.

Sementara itu, Nilam dipaksa berkahwin dengan Danial, anak kawannya.

Perkahwinan Nilam dan Danial yang tiada rasa cinta menimbulkan keadaan haru-biru. Nilam bertegas tidak mahu Danial menyentuhnya. Danial yang pada mulanya bersabar, tidak mampu untuk terus bertahan.

Satu hari, Nilam dan Danial bergaduh besar. Danial tanpa sengaja melempar barang ke arah cermin lalu serpihan kaca tersebut terkena tepat ke mata Nilam sehingga mengakibatkan dia buta buat selama-lamanya.

Tiba masanya Ridz dibebaskan dan dia terus mencari Nilam dan ingin membawanya lari.


DRAMA Engkau Laksana Bulan akan menemui penonton pada pukul 10 malam ini di RTM1

Menyedari perkara itu, ayah Nilam mengamuk dan cuba menembak Ridz.

Nilam yang cuba melindungi kekasihnya terkena tembakan. Lalu bagaimanakah kesudahannya? Adakah masih ada ruang cinta dua hati ini bersatu atau ajal yang memisahkan mereka?

Berkesempatan menemu bual Shukri Yahya yang berperanan sebagai pelakon utama dalam Engkau Laksana Bulan mengakui berasa takut ketika mengetahui akan digandingkan dengan pemegang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Skrin 2011 itu.

“Tidak dinafikan, ketika saya mendapat tahu akan digandingkan dengan Nadia, saya berasa gementar untuk berlakon dengannya. Apa tidaknya, ini merupakan gandingan pertama kami dalam sebuah drama. Bagi saya, dia seorang pelakon hebat dan begitu kagum dengan setiap naskhah yang dibintanginya.

“Dia banyak memberikan tunjuk ajar sepanjang berada di lokasi penggambaran. Kami pernah berjumpa dan berkenalan ketika dia membintangi filem Jiwa Taiko. Jadi kami tiada masalah untuk mendapat keserasian.

“Bagaimanapun, saya gembira dan bertuah apabila buat pertama kalinya juga dapat bekerja dengan pengarah terkenal, kak Erma. Drama ini merupakan antara jalan cerita yang mencabar pernah saya lakonkan,” ujar Shukri yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama Asam Pedas Untuk Dia.
Previous Post Next Post