Erra Fazira: Hujung minggu hanya untuk Aleesya



Erra bersama anak kesayangannya, Engku Aleesya, yang kini berusia lima tahun.

BIARPUN usianya sudah menginjak 40-an, selebriti yang pernah menerima jolokan Primadona Filem Melayu Alaf Baharu ini, masih laku di layar perak mahupun di pentas teater.

Walaupun semakin banyak lambakan muka-muka baharu di bidang seni, namun pemilik nama Fazira Wan Chek atau lebih dikenali sebagai Erra Fazira ini, masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit tempatan.

Ternyata penceraian keduanya bersama Engku Emran tidak menjejaskan aktiviti seni anak kelahiran Rawang, Selangor ini, bahkan, reputasinya tidak tergugat langsung dan terus melangkah jauh ke depan demi lembaran hidup baharunya.

Akui jadual sehariannya tetap berjalan seperti biasa, bekas ratu cantik ini bagaimanapun tetap mengutamakan satu-satunya cahaya mata kesayangannya, Engku Aleesya, yang kini berusia lima tahun.

Malah menurut Erra, kehidupannya kini nyata lebih tenang dan lebih fokus terhadap urusan anak tunggalnya itu.




“Setiap kali hujung minggu, saya akan menghabiskan masa bersama Aleesya dan block segala aktiviti seni.

“Begitu juga dengan tugasan luar kawasan kerana tidak mahu berjauhan dengan anak. Lagipun saya terikat dengan jadual program Primadona dan waktu rehat agak terhad.

“Jadi hujung minggu adalah waktu untuk saya berehat dan bersosial dengan rakan-rakan,” tutur pengacara Primadona ini.

Tambah Erra, dia juga telah memaklumkan lebih awal kepada mana-mana produksi bahawa tiada sebarang penggambaran mahupun kerja lebih masa pada Sabtu dan Ahad.

“Alhamdulillah, mereka memahami situasi saya kerana ia antara syarat sebelum saya menerima sebarang tawaran kerja.

“Saya sangat menitik beratkan dari segi soal masa agar tiada masalah berbangkit. Saya juga berpegang kepada prinsip agar menghormati dab menghargai masa yang ada,” katanya.


Dirasuk roh jahat?

Dunia lakonan bukanlah makanan baharu buat bintang Sembilu dan Pasrah ini. Berilah apa sahaja watak, pasti dapat dihayati dengan baik.

Terbaharu, lakonannya menerusi teater Takhta 3 Ratu yang baharu saja melabuhkan tirai, Isnin lalu, turut mendapat pujian ramai.

Membawa watak sebagai Puteri Lela Wangsa, Erra kelihatan benar-benar dirasuk ‘roh jahat’ dalam satu babak lakonannya.

Mengakui perkara tersebut berlaku ke atas dirinya, Erra bagaimanapun menjelaskan babak itu hanyalah sekadar lakonan demi menjayakan wataknya.

“Dalam satu babak, saya dihantui roh ‘ahli sihir’ kemudiannya bersemuka dengan Sultan Mansur (lakonan Azri Iskandar) untuk menjernihkan keadaan yang menimpa pemerintah Melaka itu.

“Ketidakadilan yang berlaku menyebabkan Lela disumbat ke dalam penjara. Dari situ roh wanita merasuk saya dan memulihkan semula huru-hara yang berlaku dalam istana,” katanya.

Biarpun hanya beberapa minit melakonkan babak itu, namun Erra akui agak sukar baginya untuk menghayati watak Lela Wangsa yang disifatkan agak berat dan mencabar.

Katanya, cabaran terbesar bukan setakat dirasuk tetapi ‘bergelut’ dengan Awie ketika babak Hang Tuah menculiknya untuk dibawa ke Melaka.

“Saya perlu belajar ilmu silat supaya pergerakan ketika berlawan dengan Awie nampak real di mata penonton. Walaupun pernah belajar asas seni bela diri tekwando, saya berusaha untuk pelajari silat dalam tempoh yang singkat.

“Biarpun banyak perkara yang perlu belajar seperti percakapan, bahasa tubuh mahupun teknik berlawan namun saya sangat seronok berlakon bersama rakan artis lain,” katanya mengakhiri perbualan.



Previous Post Next Post