Fenomena seni 2014



SEPANJANG 365 hari, setiap daripada kita telah meninggalkan sejarah sama ada yang baik atau pun buruk di dalam diari tahunan 2014. Ada yang meninggalkan sejarah manis dengan cara tersendiri sehingga ia menjadi satu fenomena yang diperdebatkan. Siapa artis tempatan yang berjaya memahat sejarah tersendiri sepanjang tahun ini?




Pesta konsert dan teater Istana Budaya

2014 dianggap tahun cemerlang Istana Budaya. Umpama pesta, Istana Budaya telah menghidangkan pelbagai persembahan yang dianggap bersejarah dan meninggalkan kesan di hati penonton. Tidak hanya terbuka kepada pementasan teater seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Istana Budaya cukup terbuka apabila menampilkan beberapa konsert rock.

Masih mengekalkan Istana Budaya sebagai tempat yang berprotokol, Konsert 45 tahun Ramli Sarip (17-19 Oktober), Konsert Search (5-7 Disember) dan Konsert Hati Emas, kumpulan Kembara (21 - 23 November) tetap berlangsung dengan jayanya. Bahkan Konsert Hati Emas dianggap bersejarah apabila berjaya menghimpunkan anggota asal kumpulan Kembara termasuk vokalis kumpulan tersebut, Datuk M. Nasir, A. Ali, dan S. Sahlan.

Sepanjang 2014, Erma Fatima merupakan orang yang cukup sinonim dengan Istana Budaya. Ibarat rumah keduanya, Erma yang bertindak sebagai pengarah telah mengemudi beberapa produksi seperti Teater Bahayanya Wanita (20-24 Ogos), Teaterikal Suara Kita (3-9 Mac) dan terbaharu teater Takhta 3 Ratu (13 - 22 Disember). Kesemua produksi di bawah arahannya mendapat respons yang positif daripada penonton.

Rindu Awak 200% Zul Ariffin

Zul Ariffin, 28, mula dikenali khalayak apabila dia tiba-tiba muncul di sisi pelakon Abby Abadi ketika kemelut rumah tangganya dengan bekas suami, pelakon Norman Hakim, sekitar November 2008. Waktu itu, Zul bukan sesiapa, dia merupakan pelakon baharu yang kacak dan dianggap menumpang populariti Abby untuk mencipta nama.

Bagaimanapun, selepas tujuh tahun berlakon dalam puluhan drama serta filem, akhirnya tuah Zul melekat pada drama bersiri Rindu Awak 200%. Drama 28 episod lakonannya dengan pelakon baharu, Ayda Jebat itu mencetuskan fenomena luar biasa terutamanya wanita yang cair dengan badan sasa dan wajah kacak Zul.

Justeru, tidak hairanlah drama yang diadaptasi daripada novel nukilan Liyana Zahim itu berjaya meraih rating sebanyak 4.4 juta penonton di kaca televisyen dan lebih 3.2 juta di portal Tonton.

Tidak hanya itu, Zul juga telah memenangi anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-26 menerusi filem Penanggal.


NORA Danish dan Zizan menjadi artis wanita dan lelaki pertama dengan pengikut sebanyak satu juta di Instagram.

Kumpul jutaan peminat di Instagram

Laman sosial terutamanya Instagram menjadi media baharu untuk artis menyalurkan maklumat kepada peminat mereka. Itu termasuklah menghebahkan aktiviti harian mereka, menjual barangan, promosi filem atau drama serta menjadi medium untuk mereka melepaskan perasaan atau memberi penjelasan tentang sesuatu isu yang dibangkitkan.

Hanya dengan kecantikan dan aktiviti hariannya bersama keluarga, kekasih hati serta bekerja di lokasi penggambaran, pelakon Nora Danish berjaya menjadi artis Malaysia pertama yang mengumpul satu juta pengikut di Instagram pada Ogos lalu.

Walaupun pernah diugut dan dihentam peminat, jumlah pengikut Instagram Nora Danish terus meningkat. Terkini, jumlah pengikutnya telah mencecah angka 1.4 juta orang.

Pelakon dan pelawak Zizan Razak juga tidak ketinggalan mengumpul satu juta pengikut pada awal November lalu. Sikap tolak ansurnya yang membenarkan peminatnya mengiklankan barangan jualan di akaun tersebut dikatakan antara punca dia berjaya mengumpul pengikut yang ramai. Terbaharu jumlah pengikut Zizan telah mencecah angka 1.1 juta.

Selain itu, kekasih Zizan, pelakon Emma Maembong juga memiliki pengikut di Instagram seramai 1.2 juta. Pelakon Lisa Surihani mempunyai 1.1 juta pengikut dan penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza mempunyai satu juta pengikut.

Artis dijemput Ilahi

Benar, setiap insan yang hidup pasti akan kembali kepada pencipta-Nya. Namun tahun ini menyaksikan dunia hiburan tempatan kehilangan banyak patriot seni yang telah menghidupkan dan menyemarakkan lapangan ini.

Tahun 2014 melabuhkan tirai dengan berita pemergian pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof, 79. Allahyarham yang menghidap jangkitan paru-paru menghembuskan nafas terakhir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, pada 15 Disember lalu.

Sebelum itu, dunia hiburan dikejutkan dengan pemergian biduanita negara, Datuk Sharifah Aini yang dimasukkan ke hospital pada 30 Jun kerana jangkitan paru-paru (fibrosis) yang dihidapi sejak dua tahun lalu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi, 5 Julai lepas di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada usia 61 tahun. Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Antara rakan artis lain yang dijemput Ilahi pada tahun ini ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Jamil Sulong, Katrina Dahari, Sidek Hussein dan Datuk Ali Mamak.

Nilai The Journey RM17 juta

Walaupun secara keseluruhan, jumlah kutipan filem tempatan merudum teruk dengan hanya mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak RM267.38 juta berbanding tahun lepas sebanyak RM692.17 juta, namun salah satu filem yang ditayangkan pada tahun ini iaitu The Journey mencatatkan kutipan luar biasa. Filem itu menjadi filem terlaris dalam sejarah perfileman tempatan dengan kutipan lebih RM17 juta sepanjang tempoh penayangannya.

Filem terbitan Woohoo Pictures itu ternyata menggemparkan industri perfileman tempatan apabila berjaya mengatasi rekod yang pernah dicatatkan oleh KL Gangster iaitu RM11.74 juta dan diikuti Ombak Rindu, RM10.9 juta yang kedua-duanya ditayangkan pada tahun 2011.

Tambah mengejutkan, filem tersebut juga diiktiraf dalam Malaysian Books Of Record sebagai filem terlaris tempatan.

Tanpa menggunakan pelakon popular sebaliknya menggunakan orang biasa sebagai pelakon utamanya serta tanpa promosi besar-besaran kecuali hebahan di media sosial, filem The Journey yang mengetengahkan isu perbezaan budaya, kekeluargaan dan kasih sayang berjaya menarik penonton ke panggung wayang.

Filem arahan Chiu Keng Guan itu mengisahkan seorang gadis pulang ke kampung halamannya untuk mendapat restu perkahwinan daripada bapanya.

Sehingga 31 Disember 2014, masih lagi terdapat empat buah filem yang belum dapat disahkan jumlah kutipan tiket kerana masih ditayangkan sehingga hujung tahun ini iaitu filem Terbaik Dari Langit, Gila Baby, Ophilia dan Manisnya Cinta di Cappadocia.


Keunikan Gadis Jolobu

Menggunakan loghat Negeri Sembilan sepenuhnya, lagu Gadis Jolobu dendangan Datuk Hattan dan Waris dipilih Kosmo! sebagai lagu paling unik yang pernah dihasilkan pada tahun ini.

Tidak perlu lirik cinta, sebaliknya lagu Gadis Jolobu mengisahkan tentang adat Negeri Sembilan yang sering disalah anggap oleh orang luar daripada negeri tersebut. Disebabkan sambutan hangat peminat, Datuk Hattan kini dalam proses pembikinan filem Gadis Jolobu yang dibintangi oleh Waris, Ebby Yus dan dirinya sendiri.

Selain lagu Gadis Jolobu, industri hiburan dalam dunia muzik khususnya menyaksikan beberapa lagu lain yang turut menjadi siulan peminat sepanjang tahun ini. Ia termasuklah lagu Jaga Dia Untukku (Datuk Siti Nurhaliza), Malaikat (Hazama), Mewangi (Akim), Matahari (Hafiz), Havoc (Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne) dan Hujung Dunia (Hanie Soraya).

Semuanya Rozita Che Wan

Sejak khalayak mengenali pelakon bernama Rozita Che Wan atau Che Ta beberapa tahun lalu, belum pernah kering ceritanya menjadi tumpuan. Itu yang terjadi sepanjang tahun ini.

Bermula dengan kisah Che Ta membelikan hadiah kereta mewah BMW 6 series untuk anak sulungnya, Ammar Effendy, 18, atas kecemerlangan anaknya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang disifatkan terlalu mewah untuk seorang remaja berusia 18 tahun.

Membawa kepada pengumuman kehamilannya selepas beberapa bulan berkahwin dengan Zain Saidin, Che Ta tetap menjadi topik hangat kerana disifatkan subur kerana hamil pada usia 41 tahun.

Sejak hamil sehinggalah ingin melahirkan anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana pada 1 November lalu, ada sahaja kisah yang mengundang perdebatan orang ramai terutamanya apabila dia mendapat tajaan sepenuhnya untuk bersalin di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

Pukulan bakat Balqis

Pelakon Puteri Balqis Azizi baru berusia tujuh tahun. Namun, dia telah menewaskan pelakon senior dan membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam satu anugerah beberapa bulan lalu.

Kemenangannya dipersoalkan dengan alasan Balqis bukan wanita, sebaliknya kanak-kanak dan tidak layak untuk bertanding dalam kategori tersebut.

Tidak sampai sebulan menang di Malaysia, Balqis dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Asian Television Award 2014 yang berlangsung di Singapura. Dia menewaskan empat pelakon dewasa untuk anugerah itu. Balqis tidak perlu tunggu dewasa untuk berjaya.



Previous Post Next Post