Gara-Gara Siling Runtuh, Pencuri Pakaian Dalam Wanita Ditahan


Baju dan seluar dalam yang dicuri Tan selepas siling kediamannya runtuh.

YULIN (China): Seorang lelaki yang obses mencuri pakaian dalam jiran wanitanya ditahan selepas siling biliknya runtuh kerana tidak dapat menampung timbunan barangan yang disoroknya.

The Independent melaporkan, pencuri yang berusia 30 tahun dan dikenali sebagai Tan itu dikatakan mencuri lebih 2,000 pakaian dalam dan menyorokkannya di ruang rahsia di rumah pangsa yang didiaminya di Yulin, wilayah Guangxi.

Lebih mengejutkan apabila lelaki itu turut menyembunyikan baju dan seluar dalam yang dicuri itu di ruang kecemasan kebakaran di tepi tangga rumah pangsa yang itu kerana tiada lagi ruang di dalam rumahnya untuk menyimpan barang curi itu.




Tan dilaporkan memasuki kediaman jirannya ketika mereka bekerja menggunakan kunci induk bagi mengumpul koleksi pakaian dalam dari pelbagai warna dan saiz, demikian lapor South China Morning Post.

Tan yang mula obsesi terhadap pakaian dalam wanita sejak kecil lagi juga dikatakan menjadikan penghuni rumah pangsa lain sebagai mangsanya hanya untuk menambah koleksinya yang kini mencecah angka ribuan itu.

Bagaimanapun, Tan bukanlah satu-satunya pencuri pakaian dalam di China. Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan baru-baru ini di Wenzhou, Wilayah Zhejiang kerana mencuri 17 pasang seluar dalam wanita dalam masa 24 jam.

Seorang lagi lelaki di wilayah Hubei juga ditahan kerana mencuri dan memakai pakaian dalam wanita.

Pada 2012 seorang lelaki berusia 48 tahun di Bangkok, Thailand mengaku mencuri lebih 5,000 pasang seluar dalam apabila polis melakukan pemeriksaan di rumahnya berkaitan kes rompakan barang kemas bernilai $325,000. Lelaki itu mengakui mula mencuri pada usia 18 tahun.



Previous Post Next Post