Ingatkan dunia nyanyian saya berakhir di situ, Indah Ruhaila



Pernah menyangka perjalanan seninya selepas mengikat kontrak bersama syarikat Suria Records (SRC) dari 2006 hingga 2010 akan bernoktah begitu saja, tetapi lain pula jadinya selepas Indah Ruhaila menyertai Akademi Fantasia 2013.

Hampir berputus asa kerana awalan kerjaya seninya ketika itu tidak menyebelahi beliau, Indah memilih untuk kembali ke kampung halaman di Johor Bahru (JB) bagi memulakan kehidupan baru di sana.

Namun dek minatnya yang mendalam, Indah masih tidak mampu menghakis bakat nyanyian yang ada lalu beliau memilih bekerja sebagai penyanyi lounge dekat lima tahun di sebuah hotel di JB.




"Tipulah kalau saya cakap tak kecewa masa memilih untuk berhijrah ke Kuala Lumpur dan bersama syarikat SRC. Saya sudah habiskan masa empat tahun tapi ia langsung tidak berbaloi. Kecewa saya ketika itu bukan kepalang.


Indah Ruhaila
"Di Kuala Lumpur saya menyewa rumah bersama emak. Emaklah yang bersusah payah bersama saya. Saya bergelut dengan kehidupan.

"Nak bayar duit sewa rumah pun tak ada. Kadang-kadang saya dan emak terpaksa ikat perut kerana tak ada duit nak makan.

"Nak beli minyak kereta pun tak cukup wang. Tawaran membuat persembahan memang tak ada. Saya muncul dengan satu album bersama SRC berjudul Indah Ruhaila.

"Tapi orang tak kenal saya pun. Saya tak salahkan sesiapa. Mungkin bukan rezeki saya lagi ketika itu," katanya yang memberitahu bapa tercinta yang sedikit sebanyak membantu menyalurkan wang ketika bergelut dengan kepayahan itu.

Tambah Indah, ketika membuat keputusan untuk kembali ke JB, beliau sebenarnya berbelah bagi dan air mata sudah banyak kali tertumpah mengenangkan nasib yang tak menentu.

Apatah lagi hasrat untuk membantu menyenangkan keluarga masih belum dapat dilakukan.

"Ketika bekerja sebagai penyanyi hotel, gaji saya stabil dan dapatlah sikit hidup senang. Peluang menyanyi di hotel saya ambil untuk terus menimba pengalaman. Saya banyak menyanyi lagu yang sukar dibawakan.

"Tapi lama kelamaan kerja di situ, biasalah skeptikal orang terhadap mereka yang bekerja di hotel masih ada.

"Jiran dan orang yang dikenali memandang rendah kerja saya di situ. Tak tahan dengan mulut orang, saya nekad berhenti saja.

"Ingatkan dunia nyanyian saya berakhir di situ. Lalu saya terima tawaran bekerja sebagai setiausaha di pejabat milik pakcik. Setahun tiga bulan juga saya bertugas di situ dan pada masa yang sama hujung minggu saya sambung belajar dalam bidang pengurusan perniagaan," katanya yang sudah 26 tahun ketika bekerja dan belajar.

Menurut Indah lagi, dengan usianya yang semakin meningkat, beliau sendiri sudah berputus asa dan tidak pernah terfikir semula untuk kembali menyanyi, sekali gus menyertai industri seni.

"Tetapi tidak sangka percubaan beliau menyertai Akademi Fantasia 2013 membuahkan hasil. Emak memang antara individu yang selalu mendorong untuk menyanyi dan masuk Akademi Fantasia 2013.

"Tapi macam-macam alasan yang membuatkan saya berfikir banyak kali sebelum menyertai pertandingan itu. Tahun lalu pun saya bertunang.

"Saya kembali juga berkelana ke KL hanya kerana AF. Kali ini saya tinggal seorang dan percaturan saya menyertai AF bagaikan memberi sedikit sinar. Lagu single Percayalah sedikit sebanyak membuatkan nama saya dikenali.

"Cuma ikutkan selepas tiga bulan masuk AF, saya tak ada tawaran kerja. Saya bergelut semula sebenarnya. Tapi kerana sudah terbiasa tempuhi benda ini semua, saya jadi kuat dan tabah. Saya tak mahu usaha ini berakhir lagi seperti sebelum ini," katanya.

Peluang Indah menyertai siri jelajah dan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 24 Mei lalu membuka jalan untuk Indah terus bernyawa.

"Terima kasih BH dan ABPBH 2013 atas peluang keemasan ini. Lebih indah lagi, lagu itu bolos ke peringkat separuh akhir dan final Anugerah Juara Lagu 29. Saya kini sudah 70 peratus bersedia untuk malam kemuncak AJL 29 di Stadium Putra Bukit Jalil pada 18 Januari depan.

"Bangga juga dapat masuk AJL kerana saya pernah sasarkan dalam diri untuk bertanding menerusi anugerah ini. Tak sangka ia jadi kenyataan," katanya yang akan menggayakan baju rekaan Syamil Fazwan pada malam kemuncak AJL 29 terbitan TV3.



Previous Post Next Post