Jihan Muse Popular bukan jangkaan



Kepetahan berbicara diselit dengan telatah lucu yang tidak berkesudahan sudah cukup untuk mengukir senyuman setiap orang yang melihatnya. Ditambah pula dengan sifat yang bersahaja merapatkan lagi jurang mesra buat seseorang yang baru mengenalinya.

Itulah sedikit-sebanyak kelebihan milik Nur Jihan Musa, 31, atau lebih mesra disapa Jihan Muse.

Di sebalik elemen humor tersebut, terselit keazaman dan kecekalan tinggi terutamanya apabila melibatkan karier seninya.

Bagi Jihan, dia akan terus berkarya selagi diberi peluang oleh peminat yang mahu melihatnya di hadapan kaca televisyen. Mengakui bukan mudah untuk terus mendaki kekal meneruskan perjalanan penuh liku kariernya, Jihan memberitahu, usaha gigih selama ini menjadi senjata utama untuk terus kekal dalam industri seni tanah air.




“Alhamdulillah, sejak muncul dalam program realiti Raja Lawak sekitar lima tahun lalu, rezeki saya kini dalam industri seni terbuka luas. Saya tidak pernah mengehadkan bakat saya dalam bidang seni, malah saya mencuba segala cabang dalam bidang seni yang dirasakan sebagai peluang untuk terus kekal dan menonjolkan kebolehan saya.

“Saya mengakui, bukan mudah untuk sampai ke tahap ini, saya tidak pernah menjangkakan pencapaian saya dalam bidang seni berada di tangga sekarang. Saya rasakan ini merupakan berkat doa digaul dengan kesabaran dan usaha yang tidak putus-putus selama ini,” ujarnya ketika ditemui usai majlis pratonton filem terbaharu arahan Mamat khalid berjudul Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Membawa terus perbualan lebih mendalam mengenai rangkuman keseluruhan perjalanan karier seninya, anak kelahiran Selangor itu mengakui, tahun 2014 merupakan tahun cemerlang baginya dalam bidang seni.

Bukan sahaja terus kekal bergelar seorang pelawak, kini, Jihan terus kukuh menduduki carta dengan mengembangkan kariernya apabila terlibat secara langsung dalam bidang pengacaraan dan lakonan.

“Saya sangat bersyukur apabila diberi peluang untuk menjadi pengacara bagi beberapa buah rancangan program realiti televisyen. Bukan semua pelawak diberi peluang ini. Hal ini membuktikan mereka (pihak produksi) nampak bakat saya. Insya-Allah, peluang sebegini akan digunakan dengan sebaiknya,” katanya.

Jihan menambah, dia tidak pernah bersifat selektif dalam memilih kerja yang ditawarkan kepadanya. Namun, dia terpaksa menolak beberapa tawaran terutamanya dalam bidang lakonan demi menjaga kualiti kerja.

“Tahun ini (2014) merupakan tahun yang paling sibuk bagi saya. Jadual saya daripada awal sehingga hujung tahun begitu padat. Tidak kira sama ada mengacarakan program rancangan televisyen ataupun menjalani penggambaran, ruang masa yang diberikan sangat terhad.

“Bagaimanapun, di sebalik jadual kerja yang padat, saya masih lagi mengekalkan kualiti kerja. Saya tidak pernah mengambil tawaran lakonan ataupun pekerjaan di luar kemampuan saya.

“Biarlah saya tumpukan kepada satu-satu kerja sahaja. Saya tetap mahu menjaga kualiti kerja dan kepuasan peminat. Ia penting buat saya untuk terus kekal relevan dalam industri seni tanah air,” kata pemenang kategori Artis Komedi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular (ABP) 2013 itu.


JIHAN (enam dari kiri) bersama pengarah Mamat Khalid (tujuh dari kini) dan pelakon-pelakon yang terlibat dalam filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.

Positif

Semakin menjadi tumpuan, harus diakui Jihan sudah menjadi rebutan dalam kalangan pengarah, penerbit dan stesen televisyen untuk bekerjasama dalam projek-projek mereka.

Bagaimanapun, terdapat kata-kata tidak enak yang bagaikan ingin menguncupkan bunga mekar yang berasal dari Selangor itu. Dikatakan kurang profesional terutamanya apabila mengacarakan sesebuah program televisyen, Jihan memberitahu, lemparan pandangan tersebut tidak pernah menggugat kelancaran perjalanan seninya. Baginya, setiap teguran diambil positif dan dia akan cuba sedaya-upaya membaiki diri dari semasa ke semasa.

Ulasnya: “Saya tidak pernah menganggap setiap teguran yang dilemparkan sebagai kata-kata hinaan atau sebaliknya. Bagi saya, setiap kritikan yang diterima merupakan motivasi kepada saya untuk terus membaiki diri pada masa akan datang.

“Sebelum ini, ada kata-kata kurang enak yang mengkritik saya, terutamanya dalam bidang pengacaraan. Saya masih lagi mempelajari bidang tersebut. Insya-Allah saya akan membaiki segala kelemahan tersebut.”

Ditebak mengenai penampilannya yang mula menyerlah sejak kebelakangan ini, Jihan memberitahu, penampilan memang perlu dijaga walaupun dalam apa jua kerjaya yang diceburi.

“Saya belajar daripada pengalaman. Walaupun sebelum ini saya kurang mendapat perhatian tetapi itu bukan bererti paras rupa yang menjadi ukuran. Lagipun, saya percaya industri menerima saya kerana bakat dan kesungguhan,” jelas mesra.

Pun begitu, Jihan berkata, dia tetap menjaga batas-batas yang sepatutnya dipertahankan oleh seorang wanita.

“Sebagai manusia dan wanita biasa, saya memang perlu tahu batas yang sepatutnya. Sejak kali pertama saya memilih bidang ini, saya sentiasa menerima kritikan. Apa pun, saya ambil kritikan sebagai iktibar dan memandang positif untuk membantu karier saya,” katanya lagi.

Senang bersama Mamat Khalid

Tampil dengan filem terbaharu berjudul Rumah Pusaka Di Simpang Jalan (RPDSJ) yang bakal ditayangkan pada 1 Januari 2015, Jihan yang memegang watak sebagai Bik Susantik meluahkan keselesaannya bekerjasama dengan sutradara Mamat Khalid.

“Filem ini merupakan filem kedua saya diberi peluang untuk bekerjasama dengan Abang Mamat (Mamat Khalid). Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Amukan Buas Frankenstein Tempatan. Abang Mamat merupakan seorang yang sangat fleksibel.

“Malah, dia selalu memberikan saya kebebasan. Dia juga mahu berkongsi dan mendengar idea daripada pelakon. Jadi, pelakon dapat menjayakan setiap babak yang dilakonkan dengan baik tanpa cuba menjadi orang lain,” katanya.


MEMPERKENALKAN diri sebagai peserta program Raja Lawak, Jihan kini melebarkan sayap kariernya. Bukan lagi seorang pelawak tempelan, dia kini sudah mampu menggalas tugas sebagai pengacara program televisyen dan majlis-majlis hiburan.

Menyifatkan dirinya bertuahnya ketika dipilih untuk membintangi filem berkenaan, Jihan akui, seronok bekerjasama dengan Mamat, pelakon-pelakon lain dan semua tenaga produksi filem itu.

“Semenjak mula melibatkan diri dalam dunia hiburan lagi saya sudah teringin untuk bekerja di bawah arahan Mamat kerana dia merupakan seorang pengarah yang ternama. Tapi, saya rasa tidak mungkin dia akan panggil saya berlakon. Bila peluang itu datang, saya hanya mengikut sahaja arahan yang Mamat berikan. Saya seronok bekerja dengan Abang Mamat dan semua tenaga produksi filem ini,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai watak Bik Susantik yang merupakan seorang wanita berketurunan Indonesia, Jihan mengambil inspirasi menerusi watak dalam filem seram seberang, Suzanna Sundel Bolong.

“Semasa membawakan watak Bik Susantik, saya tidak terbayangkan sesiapa. Namun begitu, kebetulan saya gemar menonton sinetron Indonesia dan saya juga gemarkan filem Suzanna Sundel Bolong. Jadi, boleh dikatakan saya mengambil sedikit inspirasi menerusi apa yang saya lihat dalam filem tersebut dan juga sinetron,” ujarnya.

Terpaksa memakai tiga lapis rambut palsu bagi menjayakan watak berkenaan, pengacara rancangan Gegar Vaganza itu mengakui, dia mempunyai keyakinan yang tinggi semasa membawakan watak tersebut dan berpuas hati dengan hasil lakonan yang ditonjolkan.

“Saya kena pakai tiga lapis rambut palsu. Kepala saya rasa berat, tetapi apabila semua kostum dan rambut palsu tersebut tersalut ke tubuh, secara automatik saya rasa sangat yakin untuk membawakan watak Bik Susantik. Saya hanya tonton hasilnya semasa tayangan perdana dan saya berpuas hati dengan hasil keseluruhan filem ini” kata Jihan mengakhiri perbualan.



Previous Post Next Post