Kate Hudson buru cinta baharu



LAZIMNYA, setiap insan memerlukan sedikit masa untuk kembali pulih daripada kisah cinta duka yang tidak kesampaian.

Lain pula ceritanya dengan srikandi Hollywood, Kate Hudson yang dikatakan tidak mengambil masa lama memburu cinta baharu.

Selepas berpisah dengan tunangnya yang juga vokalis kumpulan Muse, Matthew Bellamy secara rasminya dua minggu lepas, Kate dikhabarkan sudah meneruskan kehidupan apabila fotonya bermesra dengan selebriti Hollywood, Derek Hough di sebuah restoran eksklusif mula bertebaran di laman sosial baru-baru ini.

Ia merupakan kali pertama pasangan itu menghabiskan masa secara terbuka di tempat awam, biarpun dikhabarkan telah mula rapat ketika Kate menjadi tunangan orang lagi.

Ini kerana, Derek dikhabarkan cukup menghormati Matthew dan enggan ‘kacau daun’ selagi hubungan itu belum berakhir.

Biarpun situasi itu jelas mengejutkan ramai pihak memandangkan Kate dan Matthew baru saja berpisah, ia tidak menjejaskan fokus Kate.

Sebaliknya, bekas isteri Chris Robinson itu percaya, tiada sesiapa yang berhak menentukan perjalanan hidupnya melainkan dirinya sendiri.




“Hidup satu perjalanan yang penuh suka dan duka serta merangkumi kejayaan dan kegagalan. Jadi, jangan biarkan sesiapa menindas anda,” kata Kate.

Kembali menemui penonton menerusi filem Good People yang bakal menjengah pawagam tempatan pada 8 Januari tahun depan, Kate juga menyifatkan ibunya, Goldie Hawn yang juga selebriti Hollywood sebagai sumber inspirasinya sejak dahulu.

“Ibu saya seorang wanita yang hebat dan kekal menjadi ‘role model’ sejak dahulu. Saya juga cukup sayangkan kedua-dua anak lelaki dan mempelajari banyak perkara tentang hidup daripada mereka.

“Melihat anak-anak membesar depan mata selain berkomunikasi sememangnya mencetuskan inspirasi buat saya untuk kekal dalam industri,” jelas teraju utama filem How to Lose a Guy in 10 Days itu.

Kate menjelaskan, usianya yang mencecah 35 tahun pada 19 April lalu juga tidak mengekangnya menikmati kehidupan sebagai seorang wanita berkarisma.

“Saya cukup tidak faham dengan tanggapan sesetengah pihak kononnya, usia sebegini merupakan detik terbaik dalam hidup. Jika ini dianggap sebagai waktu prima buat saya, apa lagi yang tinggal dengan baki kehidupan saya selepas ini?

“Jadi, saya lebih suka menikmati usia sebegini terutamanya apabila dianugerahkan anak-anak yang comel,” jelas Kate.

Mengimbau semula karakternya dalam filem Good People arahan Henrik Ruben Genz, Kate membawakan watak sebagai Anna Wright, isteri Tom Wright (lakonan James Franko).

Mereka merupakan pasangan suami isteri dari Amerika Syarikat yang tinggal di kota London serta dibebani masalah hutang gara-gara mengubah suai kediaman.

Musibah mula menimpa pasangan yang baik itu apabila terjumpa wang tunai bernilai ratusan ribu pound sterling milik penyewa lama sehingga diburu penjenayah.

“Saya cukup meminati watak komedi, tetapi saya perlu menvariasikan watak bagi mengelak menjadi bosan asyik ditawarkan watak yang sama.

“Buat masa ini, saya gemar melihat sejauh mana kemampuan saya menjadi pelakon versatil dan tidak sekadar berada di dalam zon selesa,” ujarnya.



Previous Post Next Post