Lagu-lagu popular sepanjang 2014

TAHUN 2014 bakal melabuhkan tirainya beberapa hari saja lagi. Sepanjang tahun ini, peminat-peminat muzik kita dilihat ‘tak menang tangan’ menghayati ratusan lagu pelbagai genre tidak kira tempatan mahupun dari luar negara.

Hendak mencipta lagu berkualiti yang malar segar sememangnya bukan mudah terutamanya apabila perlu bersaing dengan ribuan komposer lain bagi memastikan lagu itu mampu mencetuskan fenomena serta diterima baik peminat.

Minggu ini, Sensasi Bintang mengajak pembaca Kosmo! Ahad mengimbau semula beberapa lagu yang seringkali menjadi pilihan pendengar serta berkumandang di corong-corong stesen radio tempatan.



Knock Knock

Artis: Elizabeth Tan

Komposer / Lirik: Faizal Tahir dan Mike Chan

- Artis baharu ini mula dikenali ramai apabila lagu-lagu cover popular yang dimuatnaiknya di laman Youtube mendapat sambutan menggalakkan. Menjadikan Yuna, Zee Avi, Liyana Fizi dan Diandra Arjunaidi sebagai sumber inspirasi, Elizabeth, 21, semakin menggamit perhatian khalayak apabila singlenya, Knock Knock mula mendaki carta radio-radio tempatan. Kini, karier seni Elizabeth yang pernah mengikuti kelas vokal di Dallas, Texas, Amerika Syarikat ini diuruskan oleh Paranormal Talents. Susunan lagu Knock Knock yang catchy juga tampak sempurna apabila dilengkapi gaya sebutan Elizabeth yang disifatkan unik.

Malaikat

Artis: Hazama

Komposer / Lirik: Omar K, Mike Chan dan Hazama

- Kredibiliti yang dimiliki juara Akademi Fantasia musim kesembilan ini tidak lagi perlu dipersoal. Suara serak-serak basah yang dimiliki Hazama berupaya melonjakkan lagu ini supaya mudah diterima pendengar. Lirik yang ringkas tetapi penuh bermakna juga menyaksikan Malaikat seringkali bersilih ganti mendaki carta pilihan peminat. Tidak mustahil mesej yang terkandung dalam lirik ini yang memohon supaya insan tersayang sentiasa dijaga dengan sempurna menyebabkan ia menjadi antara lagu popular tahun ini.

Malam Ini Kita Punya

Artis: Bunkface

Komposer / Lirik: Sam Bunkface

- Lagu yang terkandung dalam album ketiga Bunkface ini tidak mengambil masa yang lama untuk dihafal peminat tanpa sempadan usia. Sejak dulu, magis yang dimiliki Bunkface terutamanya Sam dalam menghasilkan lagu berentak pantas dan catchy dilihat masih belum pudar. Sam bijak menyusun lirik bagi membakar adrenalin peminat melayan lagu ini sehingga penamat. Menerusi lagu ini, Bunkface dilihat cuba mengajak pendengar supaya tidak mudah mengaku kalah dalam setiap cabaran sepanjang kehidupan.

Hujung Waktu

Artis: Azhael

Komposer / Lirik: Omar K

- Paduan suara duo ini sentiasa disifatkan ‘hidup’ tidak kira ketika membuat persembahan secara langsung mahupun menerusi rakaman studio. Tatkala Mohd. Azhar Osman dilihat memiliki tona suara yang lebih nyaring, tona harmoni yang dimiliki Hal Husaini Razmi pula berjaya mengimbangi kekuatan vokal mereka secara menyeluruh. Tidak keterlaluan menyifatkan Azhael sebagai antara kumpulan harmoni terbaik tempatan yang masih aktif setakat ini.

Tepi Sikit

Artis: Sleeq feat. Joe Flizzow

Komposer / Lirik: Alyph Sleeq dan Joe Flizzow

- Lagu ini adalah contoh terbaik yang sering menjadi pilihan remaja ketika ini. Suka atau tidak, generasi Y tidak lagi mahu dimomokkan dengan bait lirik berpuitis, cukuplah sekadar ringkas serta menggunakan bahasa pasar seperti ‘muka ketat’, ‘padan muka’ dan ‘banyak songeh’ yang terkandung dalam lirik lagu Tepi Sikit. Mukadimah Joe dalam lagu ini juga mendatangkan kesan yang mendalam sementara paduan suara Syarif dan Alyph pula memastikan lagu ini mesra pendengar.






Mewangi

Artis: Akim & The Magistrate

Komposer / Lirik: Aiman (Zul 2 By 2)

- Lagu Mewangi dilihat berjaya menyerlahkan kematangan vokal Akim. Naskhah ini memiliki identitinya tersendiri dan tidak terlalu dibayangi dengan pengaruh ‘bau’ muzik dari luar. Naratif mood yang terbentuk sejak intro sehingga chorus juga meningkat naik dengan begitu cantik. Maka tidak hairanlah lagu ini sentiasa menguasai carta-carta radio tempatan sepanjang tahun ini.

Matahari

Artis: Hafiz Suip

Komposer / Lirik: Ajai

- Material Ajai ini dilihat seolah-olah dicipta khusus buat Hafiz. Biarpun kekuatan lagu ini dilihat seimbang termasuk lirik yang baik, belum tentu ia mampu mencetuskan impak jika dinyanyikan penyanyi lain selain Hafiz. Kekuatan dan kelunakan vokal yang dimiliki juara Akademi Fantasia musim ketujuh ini tidak perlu disangkal biarpun penghayatannya dilihat tidak jauh berbeza berbanding lagu-lagu popularnya sebelum ini.

Selimut Tetangga

Artis: Repvblik

Komposer / Lirik: Ruri Repvblik

- Penangan Band Terdahsyat Indonesia 2014 ini terus berkesinambungan apabila single terbaharu Repvblik, Selimut Tetangga tetap mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mengulangi fenomena yang dicetuskan single terdahulu, Sandiwara Cinta. Band yang berasal dari Jakarta, Indonesia ini juga dilihat lebih gemar bereksperimen dengan penggunaan lirik yang santai serta mudah dihadam peminat. Melodi lagu ini juga dianggap mudah dan tidak terlalu abstrak asalkan sedap didengar.

Come Back Home

Artis: 2NE1

Komposer / Lirik: Teddy Park

- Single dari album kedua 2NE1, Crush berjaya memartabatkan kumpulan gadis dari Korea Selatan menembusi pasaran antarabangsa. Biarpun pernah dianggap lagu ‘rojak’ lantaran penggunaan Bahasa Inggeris yang dicampur aduk dengan bahasa Korea, ia tidak mematahkan semangat 2NE1. Mungkin, sentimen sebegini tidak lagi wajar dijadikan isu seandainya mahu memastikan material itu diterima umum secara universal.

Rude

Artis: MAGIC!

Komposer / Lirik: Nasri Atweh, Adam Messinger, Mark Pellizzer, Ben Spivak dan Alex Tanas

- Band reggae dari Kanada ini mula mencuri perhatian khalayak apabila single mereka, Rude yang diadaptasikan daripada kisah benar Nasri berjaya menarik perhatian khalayak. Lirik yang digunakan dalam lagu ini menceritakan bagaimana hubungan sepasang kekasih yang tidak mendapat restu orang tua. Rude merupakan antara contoh lagu yang berupaya ‘mengikat’ pendengar dalam tempoh yang lama serta tidak jemu untuk dilayan berulang kali secara berterusan.



Previous Post Next Post