Misi Fizi, Mamat ke udara 24 jam


FIZI (kiri) dan Mamat menyiapkan diri secara fizikal serta mental untuk menjayakan misi bersiaran 24 jam.

HARI ini merupakan Ahad terakhir untuk kita semua menikmati hari hujung minggu pada tahun ini sebelum kita semua membuka lembaran baharu 2015 dalam tempoh empat hari lagi.

Semestinya, masing-masing mempunyai kenangan-kenangan indah untuk diabadikan sebagai memori tahun 2014.

Begitu juga dengan dua orang penyampai radio Ultra FM, Fizi Ali dan Mamat yang bakal mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat pertama kali mereka akan bersiaran selama 24 jam bermula 31 Disember 2014 sehingga 1 Januari 2015.

Justeru, Sensasi Bintang kali ini membawakan gandingan pasangan yang mengendalikan program slot pagi itu untuk berkongsi cerita mengenai misi mereka yang diberi nama Merentas 2014 ke 2015 Dalam 24 Jam.




Bagaimana idea untuk melakukan misi bersiaran ke udara selama 24 jam ini boleh tercetus?

FIZI: Idea untuk bersiaran selama 24 jam ini sebenarnya merupakan idea daripada kami berdua. Ia datang secara spontan apabila terfikir apa kelainan yang mahu kita lakukan sempena sambutan tahun baru. Biasanya orang akan buat countdown sahaja. Tapi kali ini kita mahu bersama pendengar selama satu hari.

MAMAT: Perancangan untuk melaksanakan misi ini sebenarnya timbul dua bulan sebelumnya. Apabila kita suarakan kepada pihak pengurusan Ultra FM, mereka pun bersetuju. Hasil perbincangan, kami akan bersiaran dari pukul 6 pagi pada 31 Disember sehinggalah 1 Januari pukul 6 pagi keesokannya.

Bukan mudah untuk mengendalikan siaran di konti selama satu hari tanpa henti. Jadi, apakah bentuk persediaan yang dilakukan bagi menjayakan misi tersebut?

FIZI: Saya memang jenis biasa tidur lewat malam. Lagipun, jika pada hari-hari biasa, pada sebelah malam, saya menjalankan perniagaan sendiri. Sekarang ini, saya perlu memastikan keadaan kesihatan diri dalam keadaan baik.

MAMAT: Suara kena jaga. Takut juga kalau tiba-tiba batuk pula. Fizikal dan mental perkara utama kena jaga betul-betul. Bagi saya sendiri, saya berterima kasih kepada pihak Jr. Muscle & Fitness Gym yang berbesar hati ingin menaja keperluan suplemen tambahan dan kemudahan gimnasium untuk saya.

Boleh kongsikan isi kandungan yang telah direncanakan untuk mengisi slot ke udara pada hari tersebut?

FIZI: Kita telah susun atur slot sepanjang 24 jam bersiaran. Apa yang pasti kita akan ada rangkuman dan imbas kembali kisah dan peristiwa menarik sepanjang 2014 termasuklah cerita-cerita artis yang menarik perhatian pada tahun ini.

MAMAT: Pemilihan genre lagu juga berbeza berbanding hari-hari biasa. Lagu-lagu lama yang kita jarang putarkan di Ultra FM juga akan dimainkan nanti selain lagu-lagu yang mendapat permintaan tinggi tahun ini.


Mamat (kiri) dan Fizi mahukan kelainan pada sambutan tahun baru kali ini.

Apakah keistimewaan yang bakal dihidangkan kepada para pendengar Ultra FM pada hari kejadian?

FIZI: Kita akan ada berlintas langsung bersama penyampai Sharifah Shahira yang berada di gerai Enjoys Corner bersama pendengar bertuah Ultra FM pada malam sambutan tahun baru nanti.

MAMAT: Ada ramai artis yang akan menemani kami di konti untuk mengisi slot-slot tertentu. Antaranya, Mark Adam, Asfan, Sofazr, RJ dan Republik.

Hari yang dinantikan sudah hampir tiba. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kalian akan bersiaran tanpa henti. Apakah perkara yang paling dibimbangkan?

FIZI: Takut pula.

MAMAT: Apabila kita bersiaran ini, perkara yang membimbangkan ialah jika berlakunya masalah teknikal. Itu akan menganggu kelancaran perjalanan misi kami nanti. Apapun kami harap semuanya berjalan lancar.

Saluran Ultra FM hanya boleh didengari oleh pendengar yang tinggal di sekitar Lembah Klang. Bagaimana cara untuk pendengar lain mahu mengikuti misi bersiaran 24 jam anda?

FIZI: Memandangkan Ultra FM hanya di sekitar Lembah Klang, maka pendengar dari tempat lain masih boleh mengikuti kami secara langsung menerusi online.

MAMAT: Bukan itu sahaja, dari masa ke masa juga, kami akan mengemas kini perjalanan pada hari itu nanti di media sosial Ultra FM. Mungkin dalam setiap lima minit, kami akan muat naik aktiviti apa yang telah dilakukan untuk dikongsikan kepada pendengar semua.

Apakah pengalaman atau kenangan yang pernah kalian alami sepanjang menjadi penyampai radio?

FIZI: Pemanggil yang membuat panggilan berbagai-bagai jenis dan ragam. Ada juga yang jenis gatal nak mengurat saya dan nak berkenalan pula.

MAMAT: Sewaktu tragedi MH370, ada sedikit isu yang timbul apabila ada pihak yang mendakwa saya tidak peka dan sensitif dengan apa yang berlaku. Perkara itu mendapat kecaman daripada pendengar sehingga saya tidak boleh tidur malam.



Previous Post Next Post