#MyIndieFilem cungkil bakat pengarah baharu



AHMAD IDHAM ketika majlis pelancaran program #MyIndieFilem. Hadir sama Azlina Othman (dua dari kanan).

Arus perkembangan pembikinan filem kecil atau ringkasnya filem indie sudah ada gelombang tersendiri dalam kalangan peminat filem di Malaysia. Kelainan dan idea baharu yang ditonjolkan menjadikan filem daripada pembikin filem indie semakin mendominasi arena perfileman negara.

Menambahkan lagi semangat pembikin filem indie, apabila filem-filem seperti KIL dan Cuak diangkat memenangi beberapa anugerah berprestij, sekali gus mampu membuka mata seluruh masyarakat bahawa filem daripada pembikin filem indie atau bebas mempunyai potensi untuk berkembang di Malaysia.

Sedar situasi memberangsangkan itu, sebuah program yang dikenali sebagai #MyIndieFilem telah diadakan bagi mencungkil bakat golongan muda, terutamanya berkaitan bidang pengarahan filem.

Ahmad Idham yang kini menerajui Akademi Filem Ahmad Idham menyifatkan, golongan belia mempunyai idea yang sangat bernas, terutamanya berkaitan filem, namun sayangnya idea tersebut tidak dapat diekspresikan melalui saluran yang betul.




“Ada banyak potensi dalam diri anak-anak muda sekarang dari segi idea untuk menghasilkan filem. Namun, disebabkan kurangnya saluran dan dominasi daripada pihak tertentu, idea tersebut tidak disalurkan dengan cara yang betul.

“Kita mahu satu pembaharuan dalam industri perfileman, kita tidak mahu hanya disogokkan dengan filem klise dan masih menggunakan idea lapuk daripada pengarah lama. Kita mahu industri ini membangun dengan menggunakan sepenuhnya idea daripada golongan belia.

“Saya sangat berharap program ini dapat menjadi wadah kepada penggiat seni muda untuk menonjolkan bakat mereka, terutamanya dalam bidang pengarahan,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang akhbar majlis pra pelancaran program #MyIndieFilem di Top Hat Restaurant, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bertindak selaku penganjur acara, Ahmad Idham menambah, negara mempunyai lambakan graduan daripada bidang perfileman, namun disebabkan industri perfileman yang kecil, lepasan filem terpaksa mencari pekerjaan dalam bidang lain. Hal itu menyebabkan pembaziran kemahiran dalam industri perfileman.

“Saban tahun, beratus-ratus graduan dalam bidang industri kreatif lahir daripada universiti di seluruh Malaysia. Namun, disebabkan skop pekerjaan yang kecil mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan kehidupan.

“Melalui program ini, kita mahu kumpul seramai mungkin penyertaan daripada seluruh graduan yang mempunyai latar belakang dalam bidang industri kreatif. Kita mahu mereka menghantar penyertaan walaupun hanya idea yang ditulis di atas kertas.

“Dari situ, pihak kami akan menilai karyanya dan jika karya tersebut dilihat berpotensi, kami akan memberi dana agar karya itu diteruskan menjadi sebuah filem,” getusnya.

Dalam pada itu, pengarah urusan Marhein Production, Datuk Azalina Othman yang bertindak selaku penganjur bersama menjelaskan, kerajaan sentiasa menyokong setiap usaha untuk memajukan industri perfileman tempatan.

Salah satu usaha yang dilihat dapat memberi nafas baharu dalam industri perfileman ialah mencari idea baharu yang terdapat dalam kalangan golongan belia.

“Golongan belia telah membuktikan kejayaan mereka menerusi pelbagai produk sebelum ini. Jika diamati, filem-filem yang diarahkan oleh pengarah muda mampu menandingi filem tempatan lain dengan memenangi pelbagai anugerah berprestij.

“Itu membuktikan mereka mampu memberi saingan hebat walaupun dana yang digunakan kecil, namun filem mereka mampu memberi impak bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di peringkat antarabangsa,” kata Azalina.

Berbalik kepada kepada penyertaan bagi program #MyIndieFilem, Ahmad Idham memberitahu, penyertaan dibuka sejak 5 November lalu dan program itu terbuka kepada seluruh belia bawah umur 40 tahun.

“Penyertaan boleh dihantar walaupun hanya melalui penulisan skrip dan video pendek ke laman Facebook dan Instagram #MyIndieFilem.

“Kami akan mengumpul sebanyak mungkin penyertaan sehingga akhir bulan Disember. Kami akan memilih sekitar 15 sinopsis tertakluk kepada penyertaan yang diterima dan kami akan membantu mereka menghasilkan filem.

“Insya-Allah, finalis akan diumumkan pada majlis pelancaran program tersebut yang juga akan diadakan dalam masa terdekat. Saya juga bangga untuk mengumumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri

Muhyiddin Yassin telah pun bersetuju untuk menjadi penaung program ini,” kata Idham.

Sebarang maklumat atau syarat penyertaan #MyIndieFilem boleh didapati dengan menghubungi talian 013-774 2007 atau 016-995 7995.

Previous Post Next Post